Pages

Tuesday, December 29, 2009

CINA MB? OH ! LIBERALNYA NIK AZIZ !

BUKAN MELAYU JADI MB KELANTAN?

Kerajaan Pas Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi memberi peluang kepada bukan Melayu beragama Islam menjadi MB. Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, itu selaras dengan dasar Islam yang tidak memandang bangsa dalam memilih pemimpin sebaliknya mengutamakan kelayakan dan akhlak seseorang.

"Dasar Islam adalah dia orang Islam, akhlak baik cukuplah, tak kira bangsa, tidak ada kelebihan bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali takwa. Kalau orang Arab jahat, saya akan kempen tak beri, saya akan lawan, tapi kalau Cina baik, saya akan sokong jadi MB, ini boleh meluaskan keadilan Islam di Malaysia." (petikan U. Malaysia)

ULASAN:
Saya fikir, itu bukan kenyataan tuntas dan asli seorang ulamak atau seorang pemimpin Melayu. Mungkin betul dia ulamak, tapi nampaknya dia juga dalam keadaan confuse, sedang terperangkap/terbelit dengan ‘kekeliruannya sendiri’.
Secara jelas, dengan platform, latar, status, malah realiti dirinya, kenyataan tersebut sangat jelas satu kenyataan politik, dari seorang yang sedang merengek, terus merengek, untuk mendapat sokongan.

Merengek sambil memberi; dapat
Merengek, terus memberi lebih banyak; dapat sikit.
Merengek, terus memberi lagi banyak; kena gigit….
Kena gigit, terus kena gigit; tapi tak rasa sakit,
Sebab terus hayal dan mabuk akibat dapat sikit yang dulu
Terus tak dapat, atau terus dapat sikit, tapi terus kena gigit,
Tapi terus beri banyak,
Beri lebih banyak, lebih banyak !!!
Terus kena gigit! Hayal!!!
Oh! Tuhan!


Kita kena faham, ada beza antara sesuatu yang ideal, dengan realiti semasa yang ada di depan mata, apatahlagi dengan realiti yang tak terjangka dan tak terjangkau.
Saya fikir, mungkin kita akan sampai ke tahap itu, secara proses natural, tapi jika satu usaha drastik cuba dibuat seperti percubaan Nik Aziz itu, apatahlagi melihat senario semasa, kebarangkalian terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi sangat besar.

Nik Aziz juga sebenarnya mendedahkan dirinya kepada kemungkinan dituduh cuba 'blame' kejadian tuhan (nauzubillah)kerana Tuhan sendiri yang mencipta dan mengiktiraf bangsa-bangsa, dengan wilayahnya. Lebih baik cari sebab dan kekuatan di sebaliknya, bukan cari jalan mudah seperti itu.

Semoga kita tidak mudah terperangkap dengan kenyataan yang kononnya Islamik, tapi sebenarnya cuma bertopeng Islam, tidak patriotik, dan tidak futuristik.

Waalahua'alam.

Saturday, December 19, 2009

UMNO/BN MAKIN LEMAH ?

KEADAAN LUAR BIASA
TINDAKAN MESTI LUAR BIASA


Kemenangan tipis, kekalahan di beberapa negeri pada PRU 12, masih menghantui UMNO/BN. Perbincangan tentang banyak faktor penyebab, sudah jadi klise dan membosankan.

NAMUN ;
. Lagak kehadiran di parlimen macam BN menang besar, tak serius dengan amanah dan amaran rakyat!
. Lagak bodoh sombong pemimpin UMNO memungkinkan kita berhadapan dengan satu lagi pilihanraya kecil yang memenatkan dan membuang masa dan duit rakyat!
. Lagak ramai pemimpin di negeri kalah masih macam dia memerintah!
. Lagak pengkritik dalaman, dari yang sudah bergelar negarawan, sampailah kepada bloggers, tak tahu membezakan kritikan membina dan kritikan membunuh!
. Krisis politik lampau cuba dibawa dan diwarisi oleh pewaris dan kumpulannya, sehingga barisan pemimpin muda yang sebenarnya cerdik tapi semakin dibadutkan di mata rakyat!
. Trend mengagungkan kejayaan silam, tidak mengkaji kelemahan silam, tapi memperlekeh usaha semasa, tidak membantu membina masa depan!
. Pemimpin dan ahli di bawah tak menampakkan bahawa mereka benar-benar engage dengan transformasi parti yang digerakkan Presiden.

LALU KITA TERFIKIR ;
. Sejauh mana segala faktor kekalahan sudah dikenalpasti?
. Sejauh mana strategi komprehensif sudah disusun mengikut prioriti?
. Sejauh mana prestasi jentera dan kualiti pelaksanaannya?
. Kalau semua itu sudah dibuat, apa yang kurang, apa yang perlu ditambah, sudahkah dikenalpasti?

DALAM NADA LAIN ;
. Sejauh mana kerja dilakukan secara kolektif, berpasukan, dengan satu comand?
Atau beberapa pemimpin membuat kerja mengikut cara masing-masing?

. Sudahkah pemimpin dari MT, negeri, bahagian, cawangan, terjaga dari mimpi?
Atau masih lena, semakin lena kerana kurang vitamin, kurang yakin, kurang macam-macam?

SEJUJURNYA ;
. Yang nampak serius memerah kepala, mengerah keringat, membanting tulang, cuma PM, TPM dan beberapa orang MT atau menteri. Yang lain ?
. Secara rambang,(ambil kira - & +), adakah kekuatan UMNO/BN meningkat? Macam tidak.
. Polemik di sayap, khususnya Pemuda mesti dihentikan. Krisis di Negeri/Bahagian mesti segera diatasi. Krisis parti gabungan mesti segera diselesaikan.

KEADAAN AGAK LUAR BIASA;

Strategi dan rancangan mesti luar biasa.
Semangat dan komitmen kerja juga mesti luar biasa.
Mereka yang Cuma buat kerja macam biasa, apa lagi tak buat kerja, adalah sabotaj kepada transformasi parti, mesti diambil tindakan.
Rakyat memang mahu kesan @ hasil dari perubahan
Tapi sebelumnya kerajaan mesti membuat
Tindakan yg mengejutkan & meyakinkan.

Friday, December 11, 2009

SEKALI MELAYU LEMAH- BERPUSU DATANG MEMIJAK

ANWAR-PAS-DAP HANCURKAN MELAYU-ISLAM

Yang bercakap ialah Datuk Ibrahim Ali,
Yang mengulas ialah Anuar Shaari.
Siapa yang bercakap tidak penting,
Yang penting Melayu perlu sedar kedudukannya sangat genting
.

TAIPING 7 Dis. Melayu akan hancur selagi terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya. Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, orang Melayu juga tidak boleh bergantung kepada Pas kerana parti itu hanya mempergunakan Islam dan menjadi tunggangan PKR serta DAP. Kehancuran orang Melayu akan lebih kritikal jika tidak bersatu menentang DAP yang semakin melampau dan kurang ajar memijak kepala bumiputera dan Islam.

"Kalau tidak ditangani dengan betul, Melayu boleh jadi bangsa Palestin dan Melayu Singapura yang kehilangan negara." Beliau berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang pada ceramah perdana isu-isu semasa di Dataran Kampung Paya, Batu Kurau. Menurutnya, kejahatan Anwar, yang dahulunya ditatang 'bagai minyak penuh' di zaman Tun Dr. Mahathir telah dihukum Allah SWT 'secara tunai' di dunia ini kerana sikapnya itu. Katanya, Anwar sanggup menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada Pas dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib Melayu dan Islam.

Melayu dalam pembangkang jadi pengecut dan hanya diam bila DAP kurang ajar. ''Apabila DAP menghina institusi raja, menyamakan Islam dengan agama lain dan memperlekeh bahasa Melayu, Anwar diam membisu, sampai sekarang tidak bersuara. Pas hanya dipergunakan oleh DAP dan PKR untuk memecahkan undi Melayu.
Melayu perlu kuat dan bersatu kembali di bawah UMNO dan BN demi agama, bangsa dan negara."

GUNA MELAYU HANCUR MELAYU

K. LUMPUR 8 Dis. – Datuk Seri Anwar menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan Melayu. Anuar Shaari bekas Setiausaha Sulitnya berkata, “Dia memang licik, sehingga sebilangan orang Melayu taksub kepadanya. Depan Melayu, dia tonjol diri sebagai juara. Tapi di depan kaum lain, dia cakap lain. Dia sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Beliau menasihatkan Melayu yang masih percaya Anwar, sedar dan meninggalkannya. (Petikan U.Malaysia)


ULASAN:

Sekali Melayu berpecah dan lemah, berpusu-pusu orang datang memijak pusara nenek moyangnya.
Sekali bukan melayu diajar kurang ajar, beribu kali mereka menghina, mencabar dan menuntut segala di luar batasan.

Apa lagikah yang mampu membuat Melayu bangkit sedar dari mimpi bahawa serigala lapar sedang menyalak, menggigit dan merobek di sekelilingnya?
Apa lagikah yang mampu membuat Melayu sedar, nenek moyang mereka menderita melihat dari kuburan, cucu cicitnya semakin dayus dan tak berdaya?
Apa lagi yang mampu membuat kita insaf, anak cucu bakal mati kelaparan di kepuk sendiri, mati kehausan di sungai yang luas?

Sedarkah bahawa kita semua sedang mengumpul dosa, meracuni anak dalam kandungan sendiri?

Monday, November 30, 2009

KURIKULUM BTN DIROMBAK ? KENAPA ?

TAK PERLU TERGOPOH-GAPAH

Kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia. Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet telah membuat keputusan untuk mengubah kurikulum tersebut supaya bersifat lebih inklusif dan tidak membelahbahagikan rakyat. "BTN mesti dirombak bagi menampakkan kehendak PM yang memperjuangkan semangat 1Malaysia. "Saya percaya BTN telah diarah oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menukar kurikulumnya,"

ULASAN:
Kenapa Dirombak? Kenapa baru sekarang Nazri buat kenyataan itu?
Kenapa sejak mula PM mengumumkan gagasan 1 Malaysia (dah hampir setahun), Nazri atau yang lain-lain tak nampak keperluan itu?
Betul ke kurikulum yang ada membelahbagikan rakyat?
Apakah rombakan itu nanti tepat dengan aspirasi sebenar 1 Malaysia, yang tidak mengusik hal-hal fundamental?
Alang-alang dah ketinggalan keretapi, baiklah buat persiapan yang terbaik, tak perlu gopoh-gapah kerana sedikit provokasi dangkal.

1 MALAYSIA : JAMBATAN & RUMAH API

Sejak “1 Malaysia” dilancar, pelbagai pandangan dikemukakan oleh pelbagai pihak. Ada yang bersifat akademik, ada yang spekulatif, sebahagiannya bersifat ekspektasi. Tidak kurang yang provokatif, akibat salah persepsi dan manipulasi pihak yang cuba mengambil kesempatan dari suasana pemahaman yang kurang jelas.

Polemik berpanjangan itu, boleh diibarat orang buta melihat gajah. Semua memberi pandangan dari perspektif masing-masing. Betul,tidak salah, selagi ia berniat ikhlas, bertujuan baik, serta tidak mendatangkan kesan tidak sihat. Ia menyuburkan budaya perdebatan terbuka, bersifat ilmu, kreatif dan inovatif.

Di celah polemik itu, timbul beberapa soalan bukan saja dari pembangkang, malah di kalangan rakan dalam BN. Misalnya;
.Sejauh manakah Najib benar-benar bersedia dan telah menghadam semasak-masaknya gagasan itu sebelum dia melancarkannya.
.Apakah bijak tindakan melahirkan gagasan yang menimbulkan satu polemik besar dan berpanjangan di peringkat nasional seperti itu?

Satu fakta yang kurang terlintas di pemikiran para pengkritik ini barangkali ialah realiti bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang bijaksana. Walaupun berkelebihan lahir sebagai anak Perdana Menteri, namun perjalanan politiknya yang bermula selepas ketiadaan bapanya bukanlah satu laluan yang mudah. Dari seorang pemuda yang mentah politik ketika pulang dari luar negara, menjadi wakil rakyat, sehingga menjadi seorang Perdana Menteri; Berkolek dan dilanda pelbagai badai besar dalam politik negara dan parti selama empat dekad, di mana ramai senior dan sebaya, mahupun junior yang karam, gagal mengharungi arus; Najib berjaya sampai ke kemuncak – antara kebijaksanaan dan takdir.

Sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun sebagai TPM, apakah dia tidak mempersiapkan diri dari segi perancangan dan pemikiran untuk mengambil alih tampuk. Tentu satu tanggapan yang silap jika ada yang cuba memandang rendah keupayaan pemikiran dan kredibiliti kepimpinan yang dimilki oleh Najib.
Najib ditakdirkan menjadi PM ketika prestasi UMNO/BN pada tahap paling rendah dalam sejarah. Pada tahap ini, atas pelbagai faktor; nilai setia kepada pemimpin, malah setia kepada negara, juga berada pada tahap paling buruk sejak kemerdekaan. Nilai rasa kepunyaan kepada keharmonian dan kehidupan bernegara, tergugat dengan begitu besar. Budaya kurang ajar, biadap, anti-establishment meluap-luap. Rakyat seakan kehilangan jatidiri dan dengan agresif dikelirukan dengan pelbagai unsur negatif.

1 Malaysia, lahir di tengah kemelut itu, sebagai satu rumah api.
Semua orang melihat diri sendiri, membetulkan arah bahteranya. Yang sebelumnya tersesat jauh perjalanannya, mula membetulkan arah, mula berfikir dan terdorong untuk berpatah balik. Sementara yang angkuh dan tak mahu mengaku tersesat, dan meneruskan perjalanan, sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan sesat.
Saya yakin, Najib memang sedar gagasan yang dikemukakan itu akan menimbulkan polemik pada peringkat awal, tetapi percayalah, dia sangat optimis, akhirnya ia akan menjadi titk temu yang akan melahirkan perpaduan jitu dan Malaysia yang hebat.

Hujahnya di sini ialah; lebih baik mengetengahkan sesuatu yang kabur dan mengelirukan pada peringkat awal, tetapi akhirnya mewujudkan fokus yang tinggi dan titik temu yang luar biasa; daripada membiarkan banyak perkara yang jelas dan sudah difahami tetapi telah dikelirukan dan dimanipulasi serta dikaburkan, oleh pihak yang berniat tidak baik (spt isu hak istimewa, DEB, kuota, institusi raja, dsb).

1 Malaysia juga ialah satu jambatan lurus yang dibina oleh Najib untuk semua kembali ke landasan asas,kemudian melonjak mencapai dan menggenggam tahap tertinggi perpaduan dan kemajuan.
Polemik yang meluas telah meningkatkan fokus seluruh rakyat. Secara psikologi, itu adalah cara mendidik untuk mereka kembali kepada asas yang sangat berkesan.Semua orang mahu memberi pendapat, mahu terlibat dalam polemik dan perbincangan, dan semua orang diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, tetapi dalam satu wadah dan ke arah satu matlamat.

Najib pernah memberi amaran, 1M berteraskan perlembagaan dan undang-undang Negara dan kesinambungan semua PM yang lepas. Pemurniannya ialah dari segi strategi dan implimentasi.
Pada tahap ini saya fikir, fasa 1 yang berupa krisis, sudah pun kita tinggalkan, kita sudahpun dapat merasakan bahawa rakyat sedang meraikan rasa keterlibatan kepada masa depan negara, berbanding sebelumnya yang penuh rasa tidak peduli, marah dan kecil hati. Kini kita berada di fasa kedua. Dengan pelbagai program dan implimentasi, pasti tidak lama, akan sampai kepenghujung dan kita akan melihat majoriti rakyat melangkah seiring mendukung cita-cita bersama, membina negara dan menjadikannya tempat terbaik dan hebat untuk didiami oleh semua orang, seperti yang dihasratkan oleh PM, dan tentunya oleh kita semua.

Apa yang sangat perlu sekarang ialah semua orang, apatahlagi para pemimpin dan ahli UMNO/BN, memberikan keyakinan dan pemahaman serta komitmen yang tinggi kepada kepimpinan Najib, kemudian tampil memberikan pemahaman kepada rakyat, dan membantu, menyambung setiap hasrat dan perancangan.
Proses pemilihan pemimpin sudah lama berlalu (baik dalam parti atau PRU), maka setiap lapisan rakyat wajib memfokuskan sokongan kepada pemimpin yang terpilih melalui proses demokarasi yang kita bersama iktiraf. Rakyat pula harus faham bahawa tugas memulihkan ekonomi dan perpaduan, membina masa depan, jauh lebih besar dari politiking dalaman kelompok dan antara kelompok yang remeh tetapi kini semacam tidak berkesudahan.

Thursday, November 26, 2009

OH ! DR. HALIMAH - KHALID IBRAHIM

TAHNIAH !
BANTU MELAYU SATU DOSA BESAR !!!


Tahniah kepada Dr. Halimah dan kerajaan Selangor, kerana telah berjaya menjadi juara di mata cina dan india, dengan menuduh BTN sebagai racist Melayu.
Sedarkah bahawa dia telah melihat BTN dan programnya dari aspek yang sempit dan salah.

Faham dan tahukah Halimah, bahawa selain realiti semasa di depan matanya, kita mempunyai banyak realiti sejarah yang perlu dipertahan kesinambungannya, jika mahu melihat negara dan masyarakat ini terus survive.
Tahukah dia bahawa BTN memiliki matlamat yang lebih besar untuk membina patriotisma. Dan tahukah dia bahawa di sebalik patrotisma itu terkandung sejarah bangsa-bangsa, tentang Tanah Melayu, tentang eksploitasi kolonial ke atas buruh cina dan india, tentang amanah Raja-Raja Melayu, tentang persetiaan kemerdekaan cina dan india.

Tahukah dia sebagai Melayu yang dah bertitle Dr. , dia masih dikelilingi oleh 20 Dr. cina dan india, dan masih banyak lagi anak bangsanya yang mahu jadi Dr. seperti dia, dan sedarkah bahawa dia jadi Dr. atas dasar yang sedang dia ludah dan pijak-pijak sekarang ini.

Adakah sekolahnya yang tinggi gagal menginsafkan Halimah bahawa kerja-kerja membantu dan memperkuatkan Melayu adalah agenda nasional yang perlu dikongsi oleh semua kaum, bukan untuk dimusuhi oleh kaum lain.
Tahukah dia bahawa menjadi tugasnya sebagai pemimpin Melayu memberi sedar kepada orang cina dan india tentang perkara itu.

Tidakkah dia membuka mata bahawa di luar sana, jika bangsa yang majoriti dan dominan tapi tercicir, akan mengakibatkan ketidakstabilan, mengancam perpaduan dan membahayakan masa depan Negara..
Maka kerja membetulkan kedudukan Melayu adalah tugas yang patriotik. Bukan tugas picisan. Bukan perkara racist. Bukan merampas hak sesiapa.
Bukan seremeh gaji RM5,000 (EXCO) yang digilai oleh politik remeh, dangkal dan memualkan seperti itu.


TAHNIAH KEPADA HALIMAH, YOU TAK SEORANG,
TAHNIAH 3 ANAK PAK BRAHIM
zaid IBRAHIM, khalid IBRAHIM, DAN anwar IBRAHIM…..
Yang memiliki kebijaksanaan sangat luarbiasa :
Berjaya menjadikan Agenda membantu Melayu, keturunan mak dan neneknya sendiri, sebagai satu … DOSA BESAR !!!
ITULAH PENGORBANAN BESAR ANDA SEMPENA HARI RAYA KORBAN....

Monday, November 23, 2009

BELAJAR HIDUP TANPA DR. MAHATHIR

REAKSI DARI KOMEN TUN DAIM

Baru-baru ini timbul beberapa cadangan dari penyokong Dr. Mahathir untuk melantik beliau ke beberapa jawatan. Adakah cadangan itu sesuatu yang bijak, memandangkan zaman beliau sudah berlalu, walaupun jasanya tidak dinafikan. Komen Tun Daim dalam Mingguan Malaysia semalam elok kita renungkan. Baik UMNO, BN, malah orang Melayu perlu mula belajar hidup tanpa Dr. Mahathir.

DAIM:
Keputusan PRU lalu bukan penolakan BN oleh rakyat. Apakah sebab utama perubahan pendapat pengundi? Dr. Mahathir, dialah faktor utama di sebalik perubahan keputusan para pengundi. Dr. Mahathir dengan terbuka dan tegas membangkitkan isu PM pada masa itu, Tun Abdullah yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Apabila Dr. Mahathir, seorang tokoh yang terus dihormati kebanyakan rakyat menyuarakan ketidakyakinan terhadap kepimpinan BN, ia suatu hentaman kuat bagi kerajaan semasa. Ramai pengundi berasa hampa. Pengundi yang ingin mengundi, terus mengundi parti lain daripada BN.

Itulah situasi di Kedah dan Perak. Negeri-negeri di mana BN ditewaskan bukanlah swing states. Mereka hanya mengikut jejak langkah pemimpin iaitu Dr. Mahathir. Jika ada pertentangan pendapat di dalam UMNO, hasilnya tak akan begitu di negeri-negeri tersebut. Kenapa Johor masih kekal dipegang oleh BN? Sebab Johor mempunyai ramai pemimpin taraf nasional yang masih berpengaruh dan berwibawa.

Keputusan PRU lalu adalah kenyataan para pengundi yang selama ini menyokong BN terhadap kegagalan Pengerusi BN pada masa itu menangani hubungannya dengan Dr. Mahathir. Kerana itu UMNO dihentam teruk. Parti komponen lain seperti MCA dari dahulu adalah parti untuk para pengundi bandar dan tidak pernah menonjol. Selangor dan Perak jatuh kerana faktor ini. Pada masa sama para pengundi generasi muda yang memperolehi faedah dari era Dr. Mahathir tiba-tiba merasa diri mereka terkandas tanpa pemimpin. Mereka yang tidak suka kepada Dr. Mahathir memang tidak menyokong UMNO dan BN, tetapi mereka yang mengikuti dan menghormati Dr. Mahathir membandingkan Abdullah dengan Dr. Mahathir.

Akhirnya golongan ini mengundi parti apa saja atau siapa saja calon, asalkan ia bukan daripada komponen BN. Lain-lain sebab telah diperkatakan. BN sombong, terlalu yakin (over confident) dan tidak tunai janji dan bila hendak menghadapi pilihan raya kita jangan mencipta isu, kita mesti selesaikan isu. Kenaikkan harga minyak, isu video Lingam, demokrasi dibiarkan dan tidak dikawal serta perkara lain yang disebutkan tadi. Ternyata bagi saya keputusan itu bukan penolakan terhadap BN atau UMNO secara mutlak, tetapi reaksi kepada aksi Dr. Mahathir. Jika analisis ini betul, ia akan terbukti pada PRU yang berikutnya.

Najib muncul daripada keruntuhan puing-puing dan serpihan pilihan raya. Masih terlalu awal untuk melihat impak penuh polisi beliau. Pendapat saya ialah beliau telah mengambil laluan betul dan kebanyakan rakyat Malaysia yang bersuara lantang mengkritik Abdullah sekarang memerhati dan meneliti situasi Najib.

ULASAN : Semuga Najib tidak menghadapi situasi yang sedemikian.
Adalah sangat mencabar bagi Najib untuk mengurus Negara dengan pelbagai cabaran baru, kemudian terpaksa berhadapan dengan gelombang luarbiasa rakyat, dalam masa yang sama juga terpaksa menjaga hati dan kebajikan dua bekas bosnya yang kadangkala kelihatan masih ghairah untuk berada di arus perdana.
Saya fikir semua orang boleh menyumbang, tapi kalau kita mengaku sebagai sahabat, tentu sumbangan itu dibuat dengan cara yang tidak menimbulkan ‘kesulitan’.

Monday, November 9, 2009

OH ! JAHILIAHNYA PAS

OH ! JAHILIAHNYA PAS ...
ISTERI MENANGIS, SUAMI MENGGIGIL ...

(Petikan dari UM)


Terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan menggeletar pada majlis bai'ah apabila mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan politik kepartian yang sempit dan jumud.

Si suami turut menggigil sewaktu mengangkat bai'ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri. Debaran dan suasana hiba pada majlis bai'ah Pas itu didedahkan oleh Zulkifli Noordin selepas mendengar pengakuan beberapa wakil rakyat parti itu. Wakil rakyat terbabit juga meminta bantuannya membawa isu bai'ah itu ke tengah selepas ia menjadi perdebatan umum apabila disahkan oleh Khalid Samad.

Katanya, mereka sudah tidak mampu menanggung bebanan yang dipikul tetapi tiada kekuatan untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan. "Mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah. "Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar buat mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini.”

Zulkifli lebih terkejut apabila diberitahu bai'ah itu dilulus dan direstui kepimpinan Pas. Katanya, beberapa tokoh parti yang dihubungi bukan sahaja tidak berasa bersalah dan berdosa dengan bai'ah itu, malah mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan tanpa sandaran kepada al-Quran, sunah Rasulullah mahupun amalan para sahabat.

Jelas beliau, ia sekadar dasar yang berpaksikan alasan dan sandaran akal dangkal semata-mata. "Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. "Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian, kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik." Zulkifli berkata, dasar tersebut umpama kembali ke zaman jahiliah dengan menjadikan wanita sebagai bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

"Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?" ujar Zulkifli.


ULASAN:
Dari segi dasar - Diktator
Dari segi kemanusian - Zalim/tak berperi kemanusiaan
Dari segi akal - Dangkal/low class
Dari segi perangai - Jahiliah
Dari segi politik - Kekampungan

INIKAH KAREKTOR BAKAL PEMERINTAH NEGARA?

Tuesday, October 27, 2009

RAHSIA ANWAR ? KENAPA TAK BONGKAR?

HADI TAHU RAHSIA ANWAR

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga antara individu yang mengetahui rahsia sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun atas kepentingan untuk berkuasa katanya, para pemimpin Pas yang mengetahui 'sesuatu' mengenai Anwar sanggup 'menelan' rahsia itu.Disebabkan faktor itu kata beliau, umum mengetahui bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong Anwar secara keterlaluan.

Katanya, jika senario politik Pas dinilai, maka penyokong terkuat Anwar daripada parti itu adalah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. ''Nik Aziz adalah penyokong terkuat Anwar daripada Pas, Hadi tidak kuat sangat, mereka semua mengetahui sesuatu mengenai Anwar tetapi demi politik, mereka sanggup untuk melupakannya,'' katanya.
Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan juga pernah memberitahu bahawa ada rahsia di sebalik mengapa terdapat pemimpin dalam PKR yang dilihat mendapat layanan istimewa daripada Anwar. Beliau berkata akan mendedahkan rahsia itu apabila tiba masanya.

Mengulas kemelut dalaman yang sedang melanda Pas pada masa ini, Dr. Mahathir berkata, disebabkan ketidakselesaan beberapa pemimpin parti itu, rahsia Anwar mungkin akan terbongkar tidak lama lagi. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan apakah rahsia yang mungkin diketahui para pemimpin tertinggi Pas termasuk Abdul Hadi.

ULASAN : Sebenarnya mungkin ramai orang yang mempunyai rahsia besar Anwar, TAPI tentu ada RAHSIA LAIN kenapa mereka enggan mendedahkannya. Rakyat berhak diberitahu kebenaran - apatahlagi tentang seorang yang mereka sangat percaya sebagai sangat bersih dan dianggap boleh diharap.

Sunday, October 25, 2009

ANWAR NEXT PM ?

ANWAR NEXT PM ?
HAYALAN MAT JENIN PENYOKONG
MIMPI NGERI MELAYU
BENCANA KEPADA ISLAM....
SATU SINDROM.


Anwar next PM.
Bukan rahsia bahawa dengan pelbagai andaian dan rasional yang rapuh dan kalut,ada segelintir sahabat dan bekas sahabat Anwar, apa lagi pengikutnya, yang masih yakin bahawa Anwar "material next pm". Justeru, walaupun gembar-gembur cerita 16 September 2008 telah diberi peluang waktu lebih dari setahun, dan terbukti ia masih bersifat hayalan dan provokasi kosong, namun pengikut, sahabat dan bekas sahabat, masih meletakkan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada manusia Anwar bin Ibrahim.

Bahawasanya toleransi Anwar yang melampau dalam PKR dan dalam PR terhadap segala polisi yang melindungi Melayu, termasuk menolak ketuanan Melayu dan memperlekeh DEB itu berjaya menarik sokongan luarbiasa Cina dan India, kita tidak perlu hairan.
Namun setelah sekutunya memegang tampuk beberapa negeri dan melaksanakan pelbagai polisi atau keputusan yang "memperlekeh" Melayu dan Islam, seperti dasar 999 tahun tanah kepada Cina di Perak, dasar pembesaran saiz dan bajet untuk kuil dan gereja di Selangor, tetapi, pengikut dan sahabat Melayu masih yakin dan percaya kepada kepimpinannya; itu menjadi tanda tanya.

Anwar mungkin tidak terlalu bodoh untuk tidak sedar kerosakan yang ditinggalkan kepada orang Melayu. Atau, barangkali Anwar fikir dia cukup cerdik dan berjanji kepada pengikut dan sahabatnya bahawa dia berupaya membuat pembetulan kepada kerosakan yang dianggap sedikit yang sudah dilakukannya. Namun dia lupa, kalau nasi sudah menjadi bubur, kalau nila sudah dititikkannya ke susu, Melayu akan jadi seperti ayam di kepuk, dan itik di air yang mati kebulur.

Anwar memang satu karektor yang meyakinkan bila memujuk. Kata orang dia ada aura, ada bakat untuk memikat, mempengaruhi, memanipulasi, malah memprovokasi. Namun ideanya selalu bergantung kepada think tank. Kelebihannya - petah.
Ramai yang kurang faham bahawa Anwar sebenarnya tidak sehebat seperti yang difikirkan oleh pengikutnya. Begitu juga rakan dan musuh politik kurang faham tentang "ketergamakan" Anwar untuk melakukan sesuatu yang diluar dugaan.

Atau barangkali juga dia digeruni kerana ketergamakannya itu, sehingga menyebabkan tidak ramai pemimpin UMNO yang berani "menyerangnya". Bahawasanya Anwar telah pernah begitu lama bersama kerajaan, bersama UMNO, bersama Nalakarupan, bersama Ezam, tetapi tidak ada pula pemimpin UMNO yang benar-benar lantang, konsisten, menyerang segala "ketempangan" Anwar; yang terang-terang menjadi musuh UMNO dan Melayu, adalah sesuatu yang agak aneh.

Sindrom "Anwar next PM" yang disebarkan nampaknya turut memberi kesan kepada para pemimpin UMNO untuk tidak "menghentam" Anwar, walaupun telah begitu lama Anwar "menyerang dan menelanjangkan" tokoh-tokoh terpilihnya dalam UMNO. Fikiran mereka seperti terganggu dengan mimpi "jelmaan anwar kembali", dan menjadi "dracula yang membalas dendam" bila Anwar betul-betul kembali memimpin kerajaan.

Ramai kurang sedar - inilah sindrom senyap yang melambatkan transformasi UMNO sekarang, dan sindrom ini mesti cepat disedari dan diubati, sebelum dia betul-betul merosakkan.
Atas perkiraan apapun, sama ada congakan politik pengikut dan sahabat Anwar, atau harapan dan keghairahan dangkal penyokong fanatiknya, yang pasti, Anwar bukan dalam senarai the next PM. Malah berdasarkan reputasi, rekod, realiti diri dan karektor manusia Anwar bin Ibrahim itu, kalau betullah ditakdirkan dia menjadi PM, seolah-olah Tuhan barangkali mahu menurunkan bala kepada orang Melayu dan negara ini.

Tuesday, October 13, 2009

OH ! ONG TEE KIAT

ORANG LAIN MAKAN NANGKA
UMNO PULA DIKENAKAN GETAHNYA

Sudah menjadi semacam budaya pembangkang, apa sahaja perkara negatif yang berlaku di sekeliling akan cuba dikaitkan dengan UMNO. Kali ini krisis dalaman MCA yang tidak ada kaitan dengan UMNO pun cuba dikaitkan.

Tuduhan yang mengatakan UMNO perancang kejatuhan Ong Tee Kiat, sangat tidak adil dan berniat jahat.

Tetapi seperti biasa:

Penjenayah yang mati, UMNO yang salah.
Orang mati jatuh bangunan, UMNO salah
Skandal gambar bogel diambil boyfriend, UMNO yang salah.
Ada orang usung kepala lembu UMNO salah
Ada pemimpin Melayu dungu luluskan kuil UMNO salah
Pembangkang kalah pilihanraya, UMNO salah
Mangsa liwat buat repot, peliwat buat onar, UMNO salah
Apa sahaja… UMNO berjaya disalahkan di mata sebahagian rakyat

Parti-parti pembangkang cukup kaya dengan segerombolan tukang karut yang apabila mereka bercakap, pengikut akan percaya bulat-bulat. Tukang putar ini pula disanjung macam wira. Rakyat yang kurang faham, akan dengan mudah dikelirukan.

Thursday, October 8, 2009

ISA - PASTIKAN MENANG LEBIH BESAR

ISA SAMAD - KEPUTUSAN SUDAH DIBUAT
SOKONG, KERJA KUAT, SATU PASUKAN
PASTIKAN MENANG LEBIH BESAR


Apa bezanya, pengkritik akademik, pengkritik luar (pembangkang), pengkritik dalaman.

Pengkritik akademik biasanya menyelindung sokongan dan kecenderungan, tidak memihak, walaupun kadangkala pahit, tapi seringkali membina.
Kecualilah jika pengkritik itu tidak jujur dan menyembunyikan agenda tertentu.

Pengkritik luar biasanya mengkritik secara semberono dan tidak bertanggungjawab dengan kritikannya. Tiada kejujuran dan jelas berniat buruk.
Matlamatnya hanya mahu melihat UMNO tewas. Kritikan bersifat pemusnah.

Pengkritik dalaman, sifatnya memberi analisis dan teguran, dan mesti membina. Kecuali jika pengkritik itu mempunyai agenda jahat dan tersirat.
Lebih penting selepas memberi kritikan, kemudian pihak Kepimpinan membuat keputusan, semua mesti kembali merapatkan barisan, sokong, pastikan kekuatan dan kemenangan.

Isa Samad dipilih walaupun pelbagai pandangan telah diberikan.
Semua pandangan atau perbezaan menjadi tidak penting. Yang penting semua mesti bekerja kuat memastikan Isa menang lebih besar. Ia penting untuk menutup mulut pembangkang.
Ia juga penting sebagai moral, mood dan momentum sokongan rakyat kepada kerajaan.

Pembangkang semakin agresif memanipulasi isu, memainkan emosi dan persepsi rakyat. Maka tugas memberi penerangan perlu berlipat kali ganda.
Sebarang kelebihan undi dari keputusan PRU lepas kepada pembangkang, tentu akan menjadi bonus dan modal besar mereka untuk terus memperlekeh UMNO.

Saturday, September 26, 2009

BAGAN PINANG & TRANSFORMASI UMNO

Isa & PRK Bagan Pinang
BUKAN SOAL HAKIKAT, TAPI PERSEPSI
KALAULAH PEMIMPIN FAHAM DIRI

Usaha membersihkan dan memperkuatkan semula UMNO adalah satu perjalanan yang sukar dan bukan singkat. Banyak perkara boleh dirancang dan diprogramkan di pelbagai peringkat. Banyak tindakan, perubahan struktur atau perlembagaan yang boleh dilakukan.

Namun, pembersihan dan kekuatan yang hakiki, dan yang diperlukan oleh UMNO, khususnya ke arah kekuatan jangka panjang serta berupaya bukan sahaja menumpaskan sebarang parti pembangkang, malah memacu pembinaan bangsa dan Negara (membina tamadun), ialah pengukuhan jatidiri setiap lapisan ahli dan pemimpin.

Kena diakui bahawa dalam era langit terbuka dan informasi di hujung jari, UMNO memerlukan ahli, malah, barisan kepimpinan terbaik (berkualiti-ilmu/ketrampilan/bersih, karismatik, kredibiliti, dihormati).

.Proses perkaderan ahli dan pelapis kepimpinan memang perlu dibina dengan kukuh.
.Di mana pemimpin tertinggi berpeluang mencorak, memlilih tokoh untuk mengisi kerusi di pelbagai peringkat, maka ambillah peluang itu dengan meletakkan individu yang terbaik dan selayaknya. Ini kerana, orang ini kemudian akan menjadi teras kepada kekuatan parti.

.Era memilih seseorang kerana dia sahabat atau saudara, kedudukan di Bahagian, atau untuk mengenang jasa, sudah berakhir. Kualiti, keupayaan, imej, mengatasi segala perkiraan lain kerana rakyat tidak bertolak ansur, khususnya kepada parti pemerintah, jika berlaku kesilapan memilih.

.Sama ada dia seorang menteri, dia seorang ketua jabatan, dia seorang ketua kampung, apatah lagi kalau dia yang dipilih itu seorang calon dalam satu-satu pilihanraya.

.Hari ini kita berdepan dengan polemik pemilihan calon untuk PRK yang dihadapi oleh Negara satu persatu. Salah satu petanda atau isyarat yang cuba ditunjukan oleh rakyat pada PRU 12, 2008, ialah penolakan serius kepada majoriti calon UMNO yang terdiri dari senarai bahagian.

.Kita sedar bahawa keterikatan untuk memilih calon dari senarai yang ada di UMNO Bahagian perlu juga dianggap sudah berakhir. Cuma soalnya sejauh mana mereka di bahagian itu sendiri sudah faham dan bersedia menerima hakikat itu.

Hakikat bahawa jawatan di bahagian bukan tiket untuk jadi wakil rakyat atau mendapatkan jawatan penting. Hakikat bahawa jawatan di bahagian adalah pentas untuk memperjuangkan bangsa secara hakiki.

Bunyinya ideal, tapi itulah salah satu unsur transformasi yang diperlukan UMNO.

Berbeza dengan pembangkang, ketika ini mereka tidak tertekan untuk memilih calon. Mereka masih penuh dengan “excuse” yang mudah diterima oleh rakyat.

Kalau ada rekod buruk dalam pemerintahan negeri, kononnya masih baru memerintah, belum sempat buat itu dan ini. Atau dengan mudah menyerah sebarang kegagalan kepada problem kerajaan pusat.
Kalau tokoh “tak berapa elok” dipilih menjadi calon pun, tak mengapa sebab calon BN mereka boleh korek lebih banyak keburukannya, sama ada yang real atau yang dimanipulasi, dan rakyat sedang percaya dengan mereka.

Kita kena faham, bila BN pilih calon, ia bukan cuma untuk menang dalam pilihanraya di kawasan itu sahaja, tapi ia mesti memenuhi aspirasi nasional, mencerminkan apakah standard yang ada dalam parti penuh reputasi tetapi sedang berhadapan dengan serangan pelbagai persepsi.

Dalam keadaan “demam rajuk rakyat yang belum kebah” kepada UMNO dan BN, pembangkang sedang menikmati lanjutan tempoh bulan madu (selagi UMNO/BN belum betul-betul meyakinkan rakyat transformasinya).

Bagan Pinang secara simboliknya adalah klimaks ujian kredibiliti kepimpinan BN dalam memilih calon. Walaupun kawasan ini agak selamat, namun baik pembangkang, pengundi, atau rakyat, mereka tidak akan bertolak ansur dengan calon yang sembarangan.

Usaha melobi oleh para penyokong Isa, di peringkat bahagian, mahupun di peringkat nasional, nampaknya sangat agresif, meluas dan berkesan, sehingga seolah-olah mewujudkan tekanan kepada kepimpinan BN.

Namun sebagai pemimpin berjiwa besar, saya menjangka Isa akan meminta dirinya tidak dicalonkan. Isa mungkin pemimpin yang baik, malah orang UMNO, MIC, MCA juga mungkin benar menyokongnya, namun persepsi umum rakyat terhadap Isa sebenarnya meletakkan beliau bukan sebagai pilihan utama.

Pemilihan calon oleh kepimpinan UMNO/BN, bukan sekadar untuk menang, tapi lebih dari itu. Isa tentu faham tentang itu, dan dia juga tentu faham bahawa gerakan para penyokongnya adalah satu gerakan menentang arus nasional.

Hakikat bersihnya Isa, urusan dia dengan Tuhan. Tapi proses penghukuman telah berlaku. Mempertikaikan proses itu, satu isu lain. Tsunami persepsi rakyat tidak boleh dibendung dengan pelbagai hujah para penyokong Isa.

Kalau Isa dipilih, mungkin dia boleh menang, tapi UMNO akan terus berhadapan dengan tsunami persepsi rakyat yang tidak ada belas ikhsan. Maka kalau para penyokong Isa sayangkan UMNO, mereka harus memilih calon lain, dan cara lain untuk memperkuatkan parti.

Tuesday, September 22, 2009

BERKUPIAH, PETAH:GUNTING DALAM LIPATAN

BERKUPIAH? BELUM TENTU MELAYU
PETAH DAN MENGHIBURKAN?
AWAS, GUNTING DALAM LIPATAN
UMNO, AMANAH UNTUK ORANG MELAYU


Seluruh orang Melayu kena faham, tidak keliru atau dikelirukan. UMNO adalah satu-satunya bahtera yang sesuai dan terbaik untuk orang Melayu. Bukan PAS, apa lagi PKR.
Sangat penting bagi orang Melayu faham dengan jelas tentang sejarah, tidak keliru atau dikelirukan, faham dan jelas tentang masa depan bangsanya, baru dia akan tahu bahawa setakat ini, tidak ada alternatif bagi UMNO.

Oleh itu;

Tugas memperkuatkan dan memperbetulkan UMNO, bukan sahaja terletak dipundak orang UMNO, tetapi juga di batu jemala seluruh orang Melayu.

Sebagai bahtera yang sedang dalam perlumbaan, walaupun ia bocor, ia harus terus belayar sambil memperbaiki kebocoran.

Sebagai pahlawan yang sedang berjuang, ia perlu terus tangkas bertempur, walaupun sedang cedera, dan sambil merawat lukanya sendiri.

Kewujudan UMNO, sejarah gemilang UMNO, keupayaan UMNO, tanggungjawab masa depan UMNO, adalah satu anugerah luarbiasa kepada bangsa Melayu. Kalau dia cedera, seluruh orang Melayu perlu bersama merawatnya. Yang lemah dikuatkan, yang bersalah dihukum, yang tak layak diketepikan, yang jadi liabiliti mesti sedar diri.

Rakyat pula kena faham perbezaan antara, marahkan anak tangan-tangankan, dengan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Menghina, memperlekeh, mempermainkan, memperkecil atau memutarbelitkan segala kebaikan yang telah dibawa oleh UMNO, adalah satu RAHMAT BESAR KEPADA SELURUH ORANG YANG MEMUSUHI MELAYU.
Semua Melayu harus faham bahawa PROSES MEMBUNUH UMNO ADALAH PROSES MEMBUNUH MELAYU.

Walau siapa pun yang mendalangi kerja itu, walau siapa pun yang menjadi tali barutnya, orang Melayu jangan mudah keliru dan terperangkap dengan golongan yang bertopeng kononnya alternative pejuang Melayu. Ada yang berkupiah, ada yang bersongkok, bermadah seloka, kelihatan sangat Melayu, lebih Melayunya, tetapi kerja yang dibuat ialah MEMBAKAR BAHTERA MELAYU.

Percayalah, Tuhan sayangkan UMNO, Tuhan sayangkan Melayu, Tuhan sayangkan Islam di bumi Malaysia. Tsunami 2008 adalah amaran, supaya bukan sahaja UMNO, tapi Melayu mesti berubah. Kalau UMNO terlalu busuk seperti dibandingkan oleh orang yang jahil, dengan parti di India, Indonesia, atau Jepun, UMNO hanya tinggal sejarah pada 2008. TAPI jika amaran 2008 itu tidak mewujudkan keadaan UMNO dan Melayu yang lebih baik, percayalah, bahawa, tsunami yang lebih besar akan melanda, kali ini, ia bukan sahaja akan MENGHANCURKAN UMNO, MALAH SELURUH BANGSA MELAYU.

Tuesday, September 8, 2009

ANWAR & KHALID IBRAHIM : KERA & BUNGA : ANJING & BAYANG-BAYANG

ANTARA:
ANWAR YANG CUMA PETAH BERCAKAP
DAN KHALID YANG CUMA BERLAGAK KORPERAT
SELANGOR MUSNAH

Seorang atau sebuah parti yang selama ini atau sudah menjadi pembangkang terlalu lama, apatahlagi terperangkap dalam lingkungan budaya politik yang tidak matang, tiba-tiba mendapat kuasa di beberapa negeri.
Secara jujur mereka kena akui bahawa (selain Kelantan) mereka tidak pernah terfikir dan merancang atau bersedia untuk dapat memerintah beberapa negeri selepas PRU 12. Yang mereka tahu, lawan tetap lawan, bangkang tetap bangkang.
Ini kerana sebahagian pemimpin di atas dan sekelompok pengikut di bawah sangat marah atau kecewa dengan UMNO/BN. Separuh dari pengikut mereka tidak faham kenapa mereka ikut pakatan atau parti itu. Tapi secara psikologi sebenarnya :
mereka berasa seronok menaiki gerabak band wagon anti eshtablishment.

Memang ada segelintir karektor manusia yang suka menjerit, puas bila dapat menegur dan mengaibkan orang lain yang buat silap, atau orang lain yang dia tidak suka. Orang seperti ini akan berasa dirinya hebat bila berada 'di sebelah kiri', dan berasa dirinya bodoh atau diperbodohkan bila berada di arus eshtablishment.
Kelompok ini sebenarnya kecil, tapi nampak dominan kerana mereka rajin menonjolkan diri dan terus-terusan mempengaruhi rakyat marhain – pendekatan sosialis yang sangat efektif, terutama dalam era kegawatan ekonomi dan sosial.

Kesannya: apabila mereka sudah menjadi pemerintah, mereka terlajak perangai, terus berlagak seperti pembangkang. Terus berkempen, bercakap, berarak, menjerit ke hulu ke hilir kerana ghairah untuk mendapat kuasa yang lebih besar (memerintah negara), sehingga mereka terlupa bunga yang sudah ada di tangan.
Macam kera dapat bunga. Macam anjing dengan bayang-bayang.

Mereka tidakpun merancang atau membuat apa-apa kerja besar untuk membina bangsa atau negeri yang dikuasai, tapi cuma sibuk kepada pelbagai perkara kecil, gula-gula untuk rakyat, yang membuat rakyat terleka, terus taksub kepada mereka, sedangkan masa depan semakin dirosakkan.
Perancangan pembangunan negeri jadi lintang pukang.
Pelaburan merudum. Pendapatan negeri merosot teruk.
Duit zakat cuba dirampas untuk mengurus negeri, kerana cemas masa untuk membentang belanjawan makin dekat, tapi kantung semakin kering.

Baru mereka sedar kail di tangan cuma sejengkal, tapi berlagak ke laut dalam.
Anak kapal lapar, kebingunan, tak ada yang tahu melayarkan bahtera.
Namun kerana ego, keangkuhan, dan kuasa, mereka tak akan undur. Rakyat yang tak sedar, dan masih marah dengan BN kerana beberapa isu, terus memberi sokongan. Segelintir yang sedar, sedang cemas, bimbang, ada yang menangis kerana sangat takut melihat bahaya di depan anak cucunya.

Tsunami kesan dari globalisasi sudah menunjukkan kemusnahan yang dahsyat. Sudah diberitahu sejak dua dekad lepas (era 90-an), namun tiada usaha mempersiapkan diri. Ini satu era di mana satu virus sebesar zarah, boleh memusnahkan satu benua. Gelombang maya berupaya menukar hitam menjadi putih, putih menjadi hitam.
Rakyat yang walaupun terpelajar,
tapi sama ada kerana masih liar dengan IT atau globalisasi,
atau kerana tidak patriotik dan tidak kuat jatidiri,
atau kerana tekanan ekonomi,
atau tekanan kegagalan semasa parti pemerintah yang menjolok mata,
maka mereka keliru dan membuat perhitungan dengan memberi peluang kepada pembangkang yang tidak pernah bersedia untuk memerintah itu.

Setelah 1 tahun 6 bulan mereka memerintah, kerosakan kepada Melayu, Islam, dan perpaduan, semakin menjadi-jadi, semakin besar dan semakin menakutkan.
Maka apabila ada kemungkinan KERAJAAN ANWAR-KHALID-KIT SIANG akan tumbang, anggaplah itu sebagai kerja besar untuk menyelamatkan bangsa, sebelum kerosakan yang lebih besar berlaku. Kalau ada segelintir rakyat yang marah, masih terlena dengan gula-gula pembangkang, biarlah.

MASA AKAN MEMBUKTIKAN BAHAWA KITA MEMBUAT KERJA YANG BETUL!

Tuesday, September 1, 2009

OH! ONG TEE KIAT, OH! SAMY VELLU

ONG TEE KIAT & SAMY VELLU
MESTI MENGADAP NAJIB
NAJIB ADA HAK UNTUK 'MEROTAN'


Bukan rahsia lagi bahawasanya, MCA dan MIC, kini berada di tahap tidak menyumbang langsung kepada kekuatan BN. Walaupun UMNO juga sebelum ini menghadapi kemelut, namun nampak jelas UMNO berusaha keras memperbaiki keadaan, dan terbukti hasilnya dalam beberapa pilihanraya kecil.
Sokongan orang Melayu jauh meningkat. Kecenderungan hilang kepercayaan kepada pembangkang meningkat, sedangkan sokongan bukan Melayu semakin buruk.
Sebagai satu keluarga yang kuat, pada ketika UMNO diasak hebat oleh pembangkang Melayu, sepatutnya ketika inilah kita menagih komitmen dan 'kesehidupsematian' persahabatan dari MCA dan MIC.

Malangnya, dalam beberapa aspek, mereka sebaliknya menjadi liabiliti kepada BN.
Krisis kepimpinan Samy Vellu sudah menjadi pertikaian sejak beberapa dekad.
Konflik kepimpinan MCA masih berterusan walau sudah tiga kali bertukar team kepimpinan.
Selama inipun mereka memang sentiasa selesa kerana bergantung kemenangan pilihanraya dari kekuatan UMNO dan BN keseluruhan.
Sehingga mereka seperti tidak ada kesedaran untuk membantu ketika UMNO sedang dilemahkan.

2 parti komponen yang paling besar, dan paling diharapkan gagal memberi sumbangan ketika UMNO kritikal memerlukan bantuan. Lantas sampai bilakah keadaan itu akan berterusan?
BN adalah satu keluarga besar yang mempunyai sistem berorganisasi yang dihormati.
BN ada pemimpin tertinggi, ada Majlis Tertinggi.
Sejak bila mereka berfikir yang masalah MCA adalah masalah dalaman MCA.
Masalah MIC adalah masalah dalaman MIC.
Sebarang masalah yang mereka anggap dalaman tetapi menyebabkan BN lemah, itu adalah masalah BN. Pemimpin tertinggi BN bukan sahaja perlu dirujuk, malah wajib dilibatkan untuk mencari jalan penyelesaian.
Saya fikir Najib sendiri sudah cukup layak dan berupaya menangani ‘kebongkakkan senioriti’ pemimpin BN lain, sekiranya ada. Majlis Tertinggi BN juga sewajarnya sentiasa berada di kedudukan mampu menangani setiap krisis komponennya.

Pilihanraya kecil hadir satu persatu, PRU pula semakin hampir mendatang, sepak terajang ekonomi dan globalisasi semakin mencabar. Jadi, ISU REMEH TEMEH dalam kelambu yang sepatutnya bukan sukar untuk diselesaikan, kita kena selesaikan dengan pantas.
Jangan kerana sehelai benang layang-layang yang terbuang, dibiar terbelit dan membelit kaki, kita tergolek jatuh menyembah bumi.

Tuesday, August 25, 2009

SUFIAH YANG LUARBIASA

KECEMERLANGAN YANG LUARBIASA
PENDERITAAN SEORANG IBU

Halimahton Yusof, ibu kepada pelajar perempuan genius, Sufiah Yusof, akan berkongsi pengalaman mendidik anak pintar dengan Permata Negara dan Permata Pintar. Penaung projek itu yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerjasama tersebut akan dimulakan dalam waktu terdekat.

Beliau melakukannya secara sukarela tanpa bayaran kerana menganggapnya tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara. Permata Negara adalah program bertujuan merangsang minda kanak-kanak melalui imaginasi yang baik supaya dapat membantu perkembangan peringkat awal terutama di bawah usia 5 tahun. Permata Pintar pula bertujuan membantu kanak-kanak pintar cerdas berusia 9 hingga 15 tahun menjalani proses pembelajaran untuk merangsang minda.
Halimahton akan menggunakan pengalamannya bagi memastikan kanak-kanak lain menjadi pintar berterusan tanpa tekanan, bukan seperti yang dialami Sufiah. Adik Sufiah, Iskandar, 23, akan menyertai berkongsi pengalaman sehingga turut dikategorikan pelajar genius.

"Diharap dengan usaha ini, semua pihak akan lebih memahami cara mendidik anak genius dan belajar daripada kesilapan. Berhubung harapan Halimahton yang ingin Sufiah pulang, saya menyeru masyarakat di negara ini mendoakan agar gadis itu kembali kepada keluarga dan ajaran Islam," ujar Rosmah.
Kisah Sufiah mula mendapat perhatian meluas dan menggemparkan dunia apabila kanak-kanak pintar itu layak memasuki Universiti Oxford. Pada tahun 2000, ketika berusia 15 tahun, Sufiah melarikan diri dari universiti apabila dikatakan tertekan dengan sikap bapanya yang sentiasa memaksanya belajar bagi memastikan kecemerlangan prestasi akademiknya terus berkekalan.

Selepas perkahwinannya dengan seorang peguam pelatih, Jonathan Marshall pada 2004 menemui kehancuran, Sufiah terus mencetuskan kontroversi. Dalam laporan akhbar, Sufiah kini dikatakan terpesong jauh dari landasan Islam apabila menjadi pekerja khidmat seks di Manchester bagi menampung perbelanjaan kehidupannya.

ULASAN : Dalam rancangan SUDUT PANDANG di ASTRO AWANI 20 ogos lepas, saya ada menghuraikan bahawa sikap taksub kita kepada subjek sains dan matematik perlu diimbangi dengan pembinaan jatidiri dan sahsiah. Sebab yang hendak kita bina ialah manusia, mereka punya roh dan perasaan. Perlu dikaji dari mana-mana sudut dalam sistem pendidikan kita, bagaimana untuk melahirkan generasi kuat jatidiri, hebat daya saingnya.
Jangan sampai kita tersalah perhitungan sehingga melahirkan the lost generation
yang tercabut akarnya, tidak kenal diri, tidak kenal sejarah, tidak kenal bangsa.

Kita sangat mengkagumi pencapaian luarbiasa Sufiah, tapi kita sedih dengan nasibnya, kita juga sangat tersentuh hati dengan penderitaan ibunya, Puan Halimaton.
Beliau sekali lagi menampilkan kehebatannya, mengetepikan kemungkinan rasa malu dan penderitaannya, untuk berkongsi ilmu dan iktibar yang sangat luarbiasa itu.
Mungkin tragedi Sufiah ini Tuhan lahirkan sebagai pengajaran sangat besar kepada seluruh bangsa kita yang sedang dalam proses membina tamadun.
Justeru, saya percaya, ungkapan ringkas yang sempat saya kupas melalui ASTRO AWANI itu, perlu diberi perhatian yang serius.

Friday, August 21, 2009

KHALID IBRAHIM-TAK KISAH KALAU MELAYU YANG DILUKAKAN

"SIBUK SUSUKAN KERA DI HUTAN"
"JANGAN JADI LEMBU KORBAN"

Tan Sri Khalid Ibrahim, bersungguh-sungguh mempertahankan keputusan pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam. Katanya, rakyat kena bertolak ansur. Khabarnya ada 400 penduduk Melayu yang diarahkan beliau untuk mesti bertolak ansur dengan 40 penduduk india. HEBAT.

Nampaknya perkiraan untuk mendapatkan undi bukan Melayu sudah menjadi satu kegilaan yang luarbiasa dalam pimpinan PR. Nampaknya mereka dah ambil sikap alang-alang menyeluk pekasam.
Mereka tahu bahawa mereka akan menyinggung sebahagian besar orang Melayu. Tetapi mereka juga tahu bahawa sebahagian kecil Melayu sudah cukup solid dan taksub menyokong mereka.

Itu memadai kerana dengan pelbagai langkah radikal (mengorbankan kepentingan Melayu), mereka jangka undi dari bukan Melayu akan mereka dapat 99.9 peratus.
Kerana mereka telah memegang tampuk negeri, tidak banyak yang mampu dibuat oleh orang Melayu, tapi soalnya sejauh manakah mereka tergamak "menyembelih satu persatu" hak Melayu.
Dan sejauh manakah pula para pengikut Melayu PKR dan PR, yang telah "dipukau dan dilencongkan", memiliki kekuatan dalaman untuk "menarik keluar leher mereka dari terus disembelih dan dijadikan lembu korban"?

Tuesday, August 18, 2009

MELAYU TAK MAMPU BERBUAT APA-APA ?

ADAKAH KITA CUMA MAMPU MELIHAT ?

Saudara-saudaraku sekalian,

Isu raja, isu hak istimewa, isu minuman keras, isu kuil, isu penghinaan Islam, dan banyak lagi yang menjolok mata dan dilempar ke hujung kaki kita.
Kalau semua itu masih tidak menggugah kesedaran orang Melayu untuk bangkit, membina perpaduan dan kekuatan, memang Melayu dan Islam di negara kita sedang mengundang bala.
Kita sekarang ketandusan barisan pemimpin yang dengan ikhlas boleh menjerit, ‘langkah mayatku dulu kalau mahu usik bangsaku’.
Melayu sedang lemah dan dilemahkan dari atas sampai bawah.
Yang ada di barisan depan tiada keberanian, barangkali tandus semangat perjuangan.
Yang di bawah leka lalai, tak cemas walau air dah sampai ke paras hidung.
Masih seronok jadi tukang pukul gendang melihat orang lain menari, di atas pusara nenek moyangnya. Oh !!!
Masih seronok salah menyalah, korek mengorek kesilapan sebesar kuman yang tertanam seribu kaki di bawah tanah, semata-mata mahu mendedah aib dan melemahkan lawan, sedang yang bertepuk menenggek adalah orang lain yang terus menendang dari belakang.

Keseluruhan senario dan momentum yang ada di depan mata kita hari ini, memang secara jelas, mengheret kita kepada kemusnahan. SANGAT JELAS !!!
Kita semua tahu, kita sendiri nampak, tapi tak ada apa-apa yang dibuat oleh sesiapa pun.
Kalau adapun, cuma melepas batuk ditangga.
Keadaan ini kritikal, luarbiasa.
Sudah tentu langkah yang luarbiasa juga perlu diambil.
Tapi seolah-olah semua orang mengharapkan orang lain membuatnya.
TAPI SIAPAKAH ORANG LAIN ITU???
APAKAH KITA CUMA MAMPU BERDEBAT, BERTHINK TANK DAN BERDOA ???

Monday, August 17, 2009

DR. RIDHUAN TEE : BILA CINA TAK HORMAT MELAYU

MELAYU KETANDUSAN PEMIMPIN?

Kerana perpecahan, perpecahan dalam parti atau antara parti, Melayu menjadi lemah, orang bukan Melayu yang sentiasa dianggap dan mahu dijadikan sahabat oleh orang Melayu, telah memanipulasi secara bersungguh-sungguh.
Dalam suasana yang gawat itu, banyak yang diperolehi oleh bukan Melayu.
Tapi itu tidak menjadikan mereka bersyukur.
Malah mereka semakin tamak dan kurang ajar.
Secara berani dan terbuka mereka mencabar kuasa raja, mencabar hak Melayu, mencabar segala yang tercatat dalam perlembagaan.
Bila ada sesorang tokoh Melayu yang lantang mempertahankan hak Melayu, mereka akan dituduh racist, diserang habis-habisan. Malangnya, dalam keadaan politik Melayu yang sedang lemah, tidak cukup ramai pemimpin Melayu yang bangkit, berani, pintar dan berwibawa untuk menenggelamkan kebiadapan itu.

Di celah-celah konflik yang rencam ini, muncul seorang tokoh intelek cina Muslim yang jujur, lantang dan bijak, Dr. Ridhuan Tee. Tiba-tiba saja kelantangannya mengkritik bangsanya sendiri telah menerima reaksi luarbiasa dari orang Cina. Kalau pejuang Melayu diserang sebagai racist, mereka kehabisan idea untuk memberi label kepada tokoh ini.
Akhirnya, mereka memilih untuk memaki hamun, sumpah seranah hingga ke nenek moyang dan cucu cicit.
Rupanya demagogi/golongan racist cina itu lebih rasa tergugah dengan kelantangan kaumnya sendiri, bila Melayu sudah tidak dihormati.

Inilah wajah sebenar kekasih-kekasih PAS dan Anwar Ibrahim, yang sedang bersama-sama "berpesta memijak-mijak pusara nenek moyang Melayu/Islam".
Saya fikir, ada ramai lagi "Dr. Ridhuan" yang sedang menunggu giliran untuk berbuat demikian.

DARI EKSTREM JUMUD KPD TERBUKA MEMBUTA TULI

TSUNAMI SIKAP PAS

PERUBAHAN sikap PAS dari;
menuduh UMNO yang bekerjasama dengan bukan Islam, MCA dan MIC itu perbuatan kafir, tapi tiba-tiba PAS sendiri bukan setakad bekerjasama,
malah menyokong segala perlakuan biadap dan menentang Islam oleh DAP
ADALAH tsunami sikap yang menakjubkan dan luar biasa.
TETAPI bahawasanya parti itu sudah berjaya membina pengikut yang setia dan taksub kepada pemimpin dan parti, ia sangat membimbangkan.
MEMBIMBANGKAN dari aspek sejauh manakah para pemimpin PAS berani atau sanggup memperjudikan masa depan bangsa dan membelakangkan perjuangan Islam,
semata-mata kerana mahu menikmati percikkan kuasa kecil yang diberi oleh DAP dan PKR.

SOALNYA;
selama manakah PAS rela diperalatkan oleh PKR dan DAP?
sejauh mana PAS tergamak untuk terus melempar kepentingan Melayu/Islam demi persahabatan palsu dalam PR?
sejauh mana para penyokong taksub mereka mampu bertahan membiarkan parti mereka dijadikan alat untuk memijak bangsa sendiri?

PERCAYA ATAU TIDAK,
Tuhan juga akan menjatuhkan hukuman kepada dosa-dosa yang mereka cuba nafikan.
Semoga anak cucu kita yang tak berdosa terhindar dari balak bencana angkara perbuatan kita semua....

Monday, August 10, 2009

SI KITUL, PAK PANDIR : GEE HIN, HAI SAN

SI KITUL, PAK PANDIR….
GEE HIN, HAI SAN….

Baik ia sejarah, ataupun ia legenda, generasi terdahulu sudah banyak meninggalkan falsafah dan pemikiran, iktibar dan pengajaran, supaya kita semua sentiasa ingat, insaf, berwaspada, dan yang penting tidak mengulangi kesilapan yang serupa.

Malangnya, ia tidak begitu;
Pembunuhan Hang Nadim Masih berleluasa.
Pak Pandir masih berkeliaran dalam masyarakat.
Dialog Demang lebar Daun dan Sang Sapurba tak pernah dihayati.

Falsafah dan kepahlawanan Tuah jadi bahan tawa
Kesetiaan, kebijaksanaan Tun Perak tak pernah dihayati
Si Kitul dipuja dan diberi kuasa
Gee Hin dan Hai San sentiasa berlegar, tak pernah diwaspada...

Thursday, August 6, 2009

DEKAT BAU BUNGA, JAUH BAU TAHI

Semoga Kiambang Bertaut

Kita bersyukur bahawa kekerapan bertemu secara formal atau tidak formal, antara pemimpin kerajaan dan pembangkang, akan membina rasa selesa, membina persefahaman, dan meminimakan rasa curiga, sangsi atau salah persepsi.

Pertemuan Dato’ Seri Najib dan Dato’ Nik Aziz kelmarin dan semalam, adalah peristiwa yang sebaiknya dipertingkatkan dari semasa ke semasa, dan di semua peringkat kepimpinan Melayu. Semua pemimpin Melayu kena faham, matlamat utama berpolitik ialah bangsa. Jika hasil dari berpolitik itu ialah bangsa menjadi lemah/dipijak, maka kita adalah `politikus parasit’ yang hanya membawa bencana kepada bangsa.

Berbeza dengan makna asal pepatah Melayu itu, jauh bau bunga, dalam politik, kalau kita sentiasa berjauhan, dan tidak ada komunikasi langsung, maka lama kelamaan ia akan menyebabkan terbinanya jurang, dan terdedah kepada pelbagai persepsi yang salah. Akhirnya ia menjadi snowball effect, iaitu konflik atau percakaran yang sukar dimeterai.

Kita yakin, Dato’ Seri Najib seorang yang berjiwa besar, dan mampu mengendalikan kiambang, walaupun baru dilanda ombak besar. Semoga episod yang seterusnya akan memberi makna kepada masa depan Melayu dan negara.

Wednesday, August 5, 2009

DRAMA TERBARU - RONNIE LIU

PILIHANRAYA KECIL:
DRAMA TERBARU PAKATAN RAKYAT

Di Manik Urai, isu Hadi Awang vs Nik Aziz berjaya dimanipulasi dengan baik. PAS menang walaupun majoriti kecil.
Di Bukit Gantang, isu Nizar yang turun dari kerusi MB dimanipulasi dengan hebat. PAS menang. Isu Karpal Singh bantai Anwar, juga menjadi advantage.
Di Penanti, isu Timbalan Ketua Menteri PKR yang tidak perform dieksploit dengan berkesan, mereka menang selesa, apatahlagi BN tidak bertanding.
Di Permatang Pauh, isu sodomi Anwar dieksploit dengan bijaksana, sehingga akhirnya ia menjadi advantage kepada Anwar, dan dia menang selesa.

Sama ada insiden yang sebenar, atau krisis yang direka, nampaknya pengarah dan pelakon yang dimiliki oleh PR sedang topform. Mereka betul-betul mampu memanfaatkan semuanya menjadi faktor yang memihak kepada PR.

Sekarang kita berhadapan dengan pilihanraya kecil Permatang Pasir. Plot drama baru sudah bermula. Satu Teoh Beng Hock. Satu lagi Ronnie Liu. Satu kejadian kematian, satu isu pemecatan. Dua nama itu bukan sekadar satu watak, tapi satu tajuk kepada filem baru mereka. BN tidak boleh membiarkan diri mereka menjadi penonton dan terus dimainkan dengan plot mendebarkan lakonan itu, kemudian tertewas.

Untuk menumpaskan lawan, kita perlu sentiasa berada di depan, bukan di sisi, apa lagi di belakang mereka. Kita juga bukan sahaja perlu up-to-date dengan strategi sendiri, tapi juga up-to-date tentang strategi lawan. Ini adalah satu fakta yang bukan rahsia, tetapi bukan mudah dalam mempraktikkannya.

Tuesday, August 4, 2009

SINDROM BARBARIAN ANWAR IBRAHIM

DEMONSTRASI JALANAN:
BUDAYA BARBARIAN

YANG PERLU DISEKAT

Apa saja alasan Anwar dan sahabatnya, tindakan membawa penyokong ke jalanan, membakar semangat pengikut supaya berperangai seperti orang tidak bertamadun, berarak, memekik, memaki hamun, merosakkan harta benda awam, adalah perlakuan yang terkeluar dari ciri norma Melayu, malah manusia yang waras dan berpendidikan.

Ia suatu cermin kepada tingkah laku manusia yang gelap hatinya, dan buntu akal fikirnya, tiada kredibiliti dan kreativiti untuk merungkai persoalan. Lalu kerana kedangkalannya itu, dia memilih jalan pemberontakan fizikal.

Bahawasanya berasa puas, bangga dan rasa berjaya setelah melakukan keganasan dan berperangai rebel dan barbaric; adalah salah satu ciri manusia psiko yang sedang cuba disebarluaskan. Dan ini sangat merbahaya bagi masa depan bangsa dan negara.

Lihat saja pengalaman di India, Pakistan, Filipina, Indonesia, atau Thailand. Mungkin ada kes di mana sama ada secara kebetulan atau benar, matlamat yang diperjuangkan tercapai dengan pendekatan barbarian itu. Namun kebanyakannya menemui kegagalan.

PENGIKUT YANG DIMANIPULASI, dibakar semangatnya, tidak sedar yang bagi pemimpin mereka, gagal atau jaya tujuan yang dilaungkan itu langsung tidak penting. Yang dipentingkan ialah ia berjaya menyusahkan barisan yang ditentang, dan berjaya meyakinkan lebih ramai calon pengikut, bahawa ia berada di pihak yang benar dan kuat.

Yang sangat merbahaya ialah, bila segolongan rakyat, berjaya ditanam dengan SINDROM BARBARIC ini, seluruh negara akan terperangkap dalam krisis berpanjangan, yang bakal menghancurkan kita semua. Mereka akan menukar tingkahlaku sesat dan buruk itu sebagai naluri, sehingga satu ketika nanti, mereka sanggup turun MEMBERONTAK DI JALANAN HANYA KERANA HARGA BELACAN NAIK 10 SEN.

Kita akan menjadi seperti beberapa negara lain yang sentiasa bertukar pemimpim, bertukar pemerintah, tidak stabil, menakutkan pelabur dalam atau luar. Kita akan terus terperangkap dalam SENGKETA DAN PUSINGAN POLITIK PARIAH YANG BERPANJANGAN.

Thursday, July 30, 2009

"SELANGOR JADI NEGERI SAMSENG"


“SELANGOR JADI NEGERI SAMSENG”
MENJELANG 5 TAHUN PR BERKUASA


Dalam tempoh setahun PR berkuasa, pertumbuhan pusat hiburan, rumah urut dan judi di Selangor telah meningkat 6 kali ganda, dari 700 kepada 4000.
Ini satu angka yang WOW!!! .
Satu strategi marketing luarbiasa yang sangat berkesan, dari kepimpinan korporat barangkali.
4,000 itupun angka yang berjaya dikesan. Kalau kita andaikan 25 peratus lagi gagal dikesan bermakna ada tambahan 1,000 lagi, jadi jumlahnya mungkin 5,000.

Kata orang, setiap pusat hiburan, biasanya dilindungi atau “membela” sekumpulan samseng. Kalau satu pusat itu “membela” 10 orang samseng, 5,000 premis bermakna ada 50,000 samseng. Kalau peningkatan itu berlaku secara konsisten selama 5 tahun PR berkuasa, bermakna ada kira-kira 25,000 premis, dan 250, 000 orang samseng akan berlegar di negeri itu.

Inikah hasil dari perjuangan “Islamik” PAS ?
Siapakah yang benar-benar bersahabat dengan syaitan ?
APA LAGI YANG BOLEH MEMBUAT PAS DAN PKR INSAF,
KEMBALI KE PANGKAL JALAN ?


Wednesday, July 29, 2009

LAYAN TUNTUTAN @ KUATKAN PERPADUAN

ADAKAH SEMUA INI
KONDUSIF UNTUK PERPADUAN ?

Untuk mewujudkan perundingan ke arah perdamaian, satu tempoh yang boleh dipanggil sebagai “gencatan senjata” adalah sangat diperlukan. Ia boleh dijadikan satu jangka waktu untuk bertenang, semua pihak memuhasabah diri, dan menyediakan persekitaran iklim dan mood yang kondusif ke arah perbincangan yang positif.

Dalam hal cadangan perundingan dan perpaduan UMNO dan PAS, adakah semua pihak sedar tentang itu, dan melakukan apa yang sepatutnya, untuk memastikan matlamat yang disasarkan tercapai.

Misalnya sikap para pemimpin bawahan yang suka membuat kenyataan provokatif, kecaman melampau, dan sengaja menimbulkan suasana hubungan semakin tidak selesa.
Begitu juga media arus perdana, mahupun media picisan, atau media arus baru, terutama yang sepatutnya mendukung mesej perpaduan Melayu, perlu menjauhi liputan yang besifat melaga-lagakan.

Keberanian pelbagai pihak membuat tuntutan melampau, penghakisan hak Melayu yang membimbangkan, HANYA BERPUNCA KERANA MELAYU LEMAH DAN TIDAK BERPADU. Maka jawapannya, jangan layan sebarang tuntutan, sebaliknya perkuatkan perpaduan.

Tapi ke arah mewujudkan perbincangan, semua pihak mesti bertanggungjawab menyediakan suasana yang kondusif.
SEMAKIN LAMA KITA BERPECAH – MELAYU SEMAKIN RUGI
SEMAKIN LAMA KITA LEMAH - SEMAKIN BANYAK KITA HILANG

Friday, July 24, 2009

KERANA KUASA-KORBANKAN JATIDIRI & AKIDAH

Nak Ambil Hati, Berpada-pada...
Bila Tersilap, Jangan Angkuh...

Peristiwa Anwar dan Nizar terlibat dengan perbuatan pelanggaran tingkahlaku seorang Islam dan Melayu - Jatidiri dan Akidah, dalam cuba nak tunjuk simpati yang luarbiasa dan ekstrem kepada kematian Beng Hock.
Apakah sikap dan respon mereka jika kesilapan besar itu dilakukan oleh seorang pemimpin BN?
Silap yang sebesar semut pun boleh direka menjadi sebesar gajah dan pengikutnya pun percaya…
Nasihat saya, orang Melayu dan Islam, kalaupun ghairah sangat nak berpolitik atau nak berkuasa, nak tunjuk hebat, ingat, di atas kita semua ada kuasa yang lebih besar dan hebat sedang memerhati. Sekali balak turun, bukan kita sahaja yang akan kena, tapi anak cucu yang tak berdosa yang sangat kita sayangi akan turut terkena bencana.
Apa lagi yang boleh membuat mereka tunduk insaf,
akui kesilapan dan balik ke pangkal jalan....
Sekarang ni semua orang berlagak macam dah tak ada jalan kembali. Kalau dah rosak, biarlah semua hancur lebur.
Apa nak jadi, jadilah. Apa aku peduli...

Thursday, July 16, 2009

KERANA MARAH - NEGERI TERGADAI

ADAKAH INI SATU
KONSPIRASI ?

4 Exco Selangor disiasat.
Ada yang disyakki rasuah, ada yang disyakki terlibat dengan kumpulan haram.
Sebelum ini, Exco ada lelaki simpanan dan bergambar bogel.
Inilah barisan pemimpin yang dihadiahkan oleh PAS, DAP dan PKR kepada rakyat.
Inilah habuan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang marahkan BN dan 'membaling undi' kepada PR.
Inilah barisan impian yang diharap lebih hebat dari BN.
Anehnya, tentu akan ada yang tetap menganggap mereka sebagai wira...
Anehnya, kita jarang mahu belajar dari sejarah, membuta tuli ketika sedang marah...

Tuesday, July 14, 2009

KEMBALI KE PANGKAL JALAN

PAKATAN RAKYAT
SERIGALA LAPAR DAPAT KUASA.

Perang babi di Kedah, Perang tanah di P.Pinang, Perang saudara, kacau bilau di Selangor.
Cukup cukuplah untuk buat rakyat faham dan jelas, bahawa PR adalah ibarat sekumpulan serigala lapar, yang rakus berebut dan menyiat-nyiat mangsa buruan. Kalau dulu mereka mengutuk BN habis-habisan walaupun jika ada silap kecil, hari ini secara terang dan gelap, ’membahagi habuan, jawatan dan peluang’ sesuka hati, dan membuta tuli.
Lihatlah di Selangor, belum pun sampai setengah penggal, isu berebut jawatan majlis tempatan, EXCO, malah jawatan MB, terus hangat didebatkan. Kerja hakiki semakin diabaikan.

Godaan kuasa dan harta sebagai pemerintah memang dahsyat. Rakyat menolak BN dalam PRU lalu kerana ramai wakil rakyat yang terkulai dengan godaan itu, rakyat meluat. Tapi terbukti apa yang ditakuti, berlaku secara lebih teruk dalam PR hari ini.
Jadi, rakyat dah patut sangat berhenti merajuk, kembali ke pangkuan BN yang sedang hebat menggerakkan perubahan dan kesedaran. Tak mengapa, marahkan anak tangan-tangankan, tapi jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Jangan pula, kerana Isteri tua merajuk, pergi ke rumah isteri muda. Tapi kalau dua-dua rasanya tak boleh pakai, pergi ke pilihan ketiga. Orang Melayu terutamanya, jangan sembarangan membuang BN seperti Quran buruk. UMNO adalah parti keramat yang penuh mistik dan misteri. Sinonim dan sebati dengan Melayu dan Malaysia. Hayatilah rentetan sejarah dan insiden atau pencapaian yang luarbiasa.
Kalau ada kerosakan kecil, sama-sama sabar dan betulkan, jangan dihumban parti yang jasa dan keupayaannya masih tiada tandingan.

Jangan kerana salah persepsi, konon berada di mulut buaya, dengan gelojoh melompat, tapi tergelincir ke mulut naga. Kembalilah menjadi padi (makin tunduk makin berisi), menjadi ubi (diam-diam berisi), menjadi tuah (setia dalam bijaksana), jangan jadi jebat (yang derhaka membuta tuli), menjadi lalang (yang ikut arah angin) menjadi enau dalam belukar dan menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan. Jangan korbankan anak hanya kerana telor ikan tembakul. Tinggalkan lebai malang dan si luncai. Jadilah Tun Perak, Hang Nadim, dan Panglima Hitam.

Friday, July 10, 2009

PPSMI - JANGAN HENTAM KEROMO

NAK BANGUNKAN BANGSA
TAK BOLEH HENTAM KEROMO
Nak bangunkan bangsa, bukan macam nak buat kilang bertih/keropok. Ada cara untuk mempercepat pembinaan tamadun, tapi tak ada jalan singkat menjanjikan kejayaan. Kebangkitan empayar Rom memakan masa hampir seratus tahun, tetapi kebangkitan Islam di bawah pimpinan Nabi dan para sahabat cuma mengambil masa sekitar 30 hingga 40 tahun sahaja. Ada modelnya, tapi pun bukan jalan singkat.
Kaji kekuatan dan kelemahan tamadun dan bangsa-bangsa besar lain, adaptasi pengalaman dan ilmu mereka, tetapi kita bina tamadun berteraskan acuan sendiri.
PPSMI adalah manefestasi membangunkan bangsa dengan tergesa-gesa, mengguna acuan orang lain, akibat ketidakyakinan kepada acuan sendiri, akibat keserakahan menghadapi provokasi globalisasi.
Nak bina tamadun, bukan macam nak bina istana pasir. Anggaplah macam nak bina piramid. Berjaya dibina dan kukuh bertahan beribu tahun. Jangan lupa bahawa yang nak kita bina ialah manusia, bangsa kita. Baik matematik, sains, atau teknologi, atau benda apapun yang terhebat di dunia, ia cuma sekadar alat. Perkara yang wajib diberi fokus utama ialah manusia itu sendiri. Bukan bermakna alat itu tidak penting, tetapi mungkin nombor dua.
Bahasa adalah salah satu komponen yang sangat dominan dalam aspek budaya dan jatidiri. Satu perkara yang tidak nampak, tidak boleh dinilai oleh ujikaji makmal. Ia bukan sekadar manifestasi naluri dan perasaan, atau world view, malah salah satu unsur dalam roh, dan denyut nadi sesuatu bangsa. Kesilapan besar kita apabila menganggap enteng perkara yang tidak boleh kita lihat atau pegang, sedangkan ia perkara tunjang kepada jawapan kenapa kita boleh berdiri. Seperti graviti. Seperti falsafah hidup. Seperti weistanchung.
Ia satu perkara yang agak akademik, filosofik, sehingga barangkali para pendukung bahasa dan budaya, sukar nak berkomunikasi dengan rakyat dan meyakinkan pemimpin untuk mendengar nasihat mereka, betapa kita sedang berdepan isu yang sangat pokok, tapi gagal difahami dan dianggap remeh.
Langkah Najib mengembalikan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu, satu langkah yang tepat dalam keperluan membina bangsa dan tamadun, mengikut acuan sendiri.
Salah satu ciri globalisasi ialah kemungkinan bangsa kecil ditelan oleh gelombang besar yang didominasi bangsa tertentu. Dan dasar PPSMI sebelum ini ialah satu langkah membenarkan bangsa kita ditelan oleh ular besar itu. Tidak pula bermaksud kita mesti jumud, bertahan dan menolak segala kebaikan. Kita mesti terbuka, terima segala kehebatan, tapi dalam masa yang sama, kita bina kehebatan sendiri.

Tun Dr. Mahathir sendiri mengakui pada detik akhir sebelum berundur, selama 22 tahun memimpin, beliau gagal mengubah sikap orang Melayu. Tun Abdullah juga sudah mengesan kepincangan itu, dengan memberikan fokus yang besar kepada aspek bina insan, intergriti, mentaliti kelas pertama. Namun masih tidak ada satu perancangan, apa lagi pelaksanaan yang jitu dan konkrit.
Ini adalah satu vakum yang terbiar selama beberapa dekad. Dan Najib sudah mula melihat vakum itu. Maka sewajarnya beliau memberi fokus yang besar kepada segala aspek berkaitan isu membina manusia, membina jatidiri, membina bangsa ini. Kita tidak harus terperangkap dengan memberi fokus besar kepada isu luaran yang cuma kosmetik.
Kita boleh membantu seorang usahawan berjaya dalam sekelip mata, tetapi tanpa kekuatan dalaman yang kukuh, dia boleh jadi bankrap keesokan harinya. Atau dia menjadi seorang yang sangat berjaya sepanjang hidupnya, tapi tanpa pembinaan budaya usahawan atau budayaniaga di kalangan generasi pelapis, kejayaannya gagal diwarisi hatta oleh generasi keduanya pun. Bagi bangsa yang memiliki jatidiri dan daya saing yang tinggi, kejayaan oleh satu generasi akan menjadi landasan kepada kejayaan lebih besar generasi seterusnya.
Kebudayaan adalah teras dalam membina bangsa atau tamadun. Sementara bahasa pula adalah teras kepada kebudayaan, satu aspek non-fizikal, yang sangat dominan tetapi selama ini dipandang remeh, malah dipinggirkan setiap kali kita merangka sebarang dasar. Saya fikir Najib jelas tentang itu, dan beliau perlu diberi sokongan dan nasihat yang sewajarnya untuk menjayakan segala gagasannya itu.

PPSMI-KEPUTUSAN SUDAH DIBUAT-SOKONGLAH

NAJIB JAGUH BAHASA MELAYU
Tun Abdul Rahman Yaakub
Petikan daripada Berita Harian

Tun Abdul Rahman Yaakub menyifatkan Datuk Seri Najib sebagai jaguh bahasa Melayu, menyamai ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Keputusan melaksanakan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia. "Saya sokong 100 peratus langkah ini. Ia tindakan yang wajar dipuji.”
Tun Abdul Rahman bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu pada 1970, iaitu suatu penegasan semula dari Penyata Razak, Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Beliau adalah ahli politik veteran, berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, bekas Ketua Menteri Sarawak (1970-1981) dan Yang Dipertua Negeri Sarawak (1981-1986).
Ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1969, Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) mengarahkan beliau mengkaji dan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam semua mata pelajaran.
Pada 1969, Tunku Abdul Rahman meminta beliau mengkaji penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal di semua jabatan kecuali bidang perundangan dan mahkamah.
Abdul Rahman tidak bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir bahawa keputusan itu akan menjejas masa depan generasi muda dan menyukarkan mereka belajar serta mengetahui perkembangan dalam bidang sains.
Beliau berkata, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dapat dilakukan dengan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris. "Justeru, saya lihat keputusan kerajaan pimpinan Najib amat tepat. Mewajibkan lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM satu keputusan tepat.”

Tuesday, July 7, 2009

PERJUANGAN DIKOMODITIKAN

APA JADI PADA MELAYU,
SIAPA PEDULI?


Selama ini, orang yang sentiasa berfikir tentang apa yang akan terjadi kepada negara ini dan apa akan terjadi kepada orang Melayu adalah orang Melayu. Dari dulu sampai sebelum ini. Orang lain saya tak fikir langsung mereka peduli apa akan terjadi kepada negara ini dan orang Melayu. Tapi sekarang kita tengok, tak ada siapa lagi yang peduli, apa nak jadi kepada negara ini dan orang Melayu - termasuk orang Melayu sendiri.
Orang Melayu dalam keadaan paling lemah. Kalau dulu, bila politik Melayu lemah, ada pelbagai NGO, tokoh-tokoh akademik, dsb yang bangkit serius, dengan garang dan teguran dan nasihatnya didengar. Sekarang, semua dah berfikir macam orang bisnes opotunis. “Apa aku dapat?” Perjuangan dah dikomoditikan.
Hari ini, orang Melayu macam lemah dari atas sampai bawah. Semua lesu dan macam pasrah - tak tau pasrah kepada siapa. Orang lain jangan lupa dan sombong, orang Melayu jangan lupa dan tertipu, walaupun ekonomi masih tertinggal tapi teras dan tiang seri negara ini ialah Melayu. Kalau semua tak peduli kepada Melayu, rosak Melayu, hancurlah negara ini. Cuma masanya yang kita tak pasti. Pemimpin politik Melayu Islam nampak sangat tak cerdik dan sombong. Melayu tengah lemah dan dipijak. Tak faham-faham lagi. Perlu sangat parti-parti Melayu duduk semeja berbincang, berpadu.
Bateri Melayu sedang sangat lemah, kena charge. Bersatu Melayu, orang lain hormat. Mereka tak berani tuntut yang bukan-bukan, dan pijak kepala. Mereka berani kerana kita lemah. Jadi jawapannya, jangan layan tuntutan sembarangan. Sebab isu pokoknya ialah Melayu lemah. Melayu kuat, mereka akan berhenti kurang ajar. Tak kan pemimpin Melayu-Islam yang banyak cerdik-cerdik tak faham itu. Jadi, kerja utama para pemimpin dan pemikir Melayu ketika ini ialah memastikan bagaimana nak membangkitkan rasa kepedulian orang Melayu kepada dirinya sendiri. Dan bagaimana perpaduan Melayu dapat segera diwujudkan, dalam masa yang singkat. Tentu ada caranya. Kita dah terhimpit ke dinding, Cuma tindakan segera yang boleh menyelamatkan Melayu.

Anggaplah Melayu dalam keadaan DARURAT.

Monday, July 6, 2009

NIK AZIZ KUBUR PERPADUAN

AWAS!
JANGAN DIGANGGU!!
NIK AZIZ SEDANG MABUK CINTA DENGAN DAP!!!

Datuk Nik Abdul Aziz berkata cadangan kerajaan perpaduan demi kepentingan Melayu telah ‘berkubur’ dan Pas tidak akan menyebutnya lagi. Beliau berkata, ruang untuk Pas atau UMNO berbincang lagi mengenai isu tersebut sudah tertutup kerana Pas telah mencapai perpaduan melalui pakatan pembangkang.
“Isu (kerajaan) perpaduan kami dah tanam, dah berkubur. Pakatan adalah lebih melambangkan perpaduan, lebih daripada maksud perpaduan iaitu ia terdiri daripada berbilang kaum. “Melayu buat apa? Tak usahlah timbul isu perpaduan itu lagi kerana kami dah baca talkin, jadi apa masalahnya?” tegas beliau.
Beliau sekali lagi ditanya berhubung cadangan dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di sini hari ini. – Petikan Utusan Malaysia

Wednesday, July 1, 2009

INSAN KERDIL BERJIWA BESAR

Petikan daripada Utusan Malaysia 1 julai 2009.
Marilah kita hayati makna kredibiliti & intergriti. Dalam keserabutan manusia memburu wang dan harta secara membuta tuli, tak toleh halal haram, ada insan kecil yang tak heran dengan jutaan ringgit di depan mata.

LANS KOPERAL & KOPERAL
TOLAK RASUAH RM½ JUTA


Gaji anggota polis biasa bukanlah begitu besar namun Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi Arbayee tidak pernah gelap mata apabila ditawarkan rasuah RM500,000. Suspek yang ditahan sempat berkata "awak ambillah wang di dalam poket seluar saya ini, ada RM10,000 dan akan serahkan lagi RM500,000 kemudian, tolong lepaskan saya dan kawan saya".
Mereka menolak tawaran itu dan membuat laporan. Ketegasan mereka telah menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis syabu yang terbesar di negara ini. Pada 2 Mei lalu, mereka menahan sebuah lori yang mencurigakan, hasil pemeriksaan ia membawa syabu seberat 978 kilogram bernilai RM280 j.
Hari ini mereka mendapat penghargaan tertinggi Sijil Integriti yang ditandatangani dan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri di Parlimen . Mohd. Surani, 44, hampir menitiskan air mata, begitu sebak apabila ditanya perasaannya menerima penghargaan tersebut kerana begitu terharu tindakannya itu mendapat perhatian pucuk pimpinan pasukan dan negara.

"Saya berpegang dengan integriti pasukan ini apabila menolak tawaran rasuah itu," katanya sambil menunjukkan lencana Integriti yang disemat pada pakaian seragamnya.
"Saya harap rakan-rakan kami di luar sana akan menjadikan kami sebagai contoh," katanya. Tarmazi, 25, yang baru lima tahun berkhidmat. P
olis berjaya menyita harta pengedar bernilai RM22 j termasuk wang tunai RM4 j. Selain menerima sijil, cenderamata dan wang saguhati, mereka dinaikkan pangkat Detektif Sarjan dan Koperal.

Tuesday, June 30, 2009

NIK AZIZ & SAJAK

ULAMAKKAH AKU ?
@ PEMIMPIN ANGKUHKAH IA ?
(antara label & realiti = keliru)

Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi dia bukan maksum
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi belum tentu dia pemimpin yang terbaik
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi belum tentu dia tak buat silap
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi dia tak boleh tuduh orang kafir
Ya, dia mungkin ulamak,
Tapi kenapa dia sokong projek babi mega
Ya, dia mungkin ulamak,
Tapi bukan dia seorang saja ulamak

Kalau dia berjiwa besar
Dia tak tolak perpaduan
Kalau dia berjiwa besar
Dia tak kata orang lain sentiasa buruk
Kalau dia berjiwa besar
Dia tak sentiasa rasa diri betul
Kalau dia berjiwa besar
Dia tidak besar kepala
Kalau dia berjiwa besar
Dia tidak cakap besar
Kalau dia berjiwa besar
Hal kecil tak diperbesar-besarkan

Kalau dia pemimpin hebat
Dia tak musuhi majoriti rakyat
Kalau dia pemimpin hebat
Dia jadikan dirinya milik semua
Kalau dia pemimpin hebat
Dia akan jadi pendamai
Kalau dia pemimpin hebat
Dia akan buat dua orang berjabat tangan

Bahawasanya dia
Tak mau terima teguran
Bahawasanya dia
Menuduh orang Islam - komunis

Bahawasanya dia berkata
Mencarut itu o.k
Bahawasanya dia berkata
Sikafir pergunakan al Quran itu o.k
Bahawasanya dia berkata
Syaitan boleh dijadikan sahabat itu o.k
?

Kalau dia ulamak, pemimpin umat
Dia bukan ahli sebuah parti - PAS
TAPI, dia sepatutnya pemimpin sejagat.

Monday, June 29, 2009

MANIK URAI: PAS ANGKUH - GENTAR

UMNO : SAKIT - BANGKIT





Pembalakan aktif di Manik Urai







PAS, NYIOR YANG LESU, DEDAUN KERING YANG RAPUH




MANIK URAI-Pas berasa dirinya masih kuat seperti sebelum PRU 12, dengan meletakkan calon dari luar Manik Urai, kerana masih yakin pengikutnya tetap setia. Walau siapapun yang dinamakan, keputusan presiden tetap dihormati.
Sedangkan UMNO yang dikatakan mempunyai ahli semasa yang kurang setia, suka berbalah berebut kerusi, calon yang dipilih presiden pun sering dipertikai, kali ini dengan rendah diri mendepani rakyat dengan calon lokal yang khabarnya begitu rapat dengan masyarakat.
Seperti beberapa pilihanraya kecil yang lepas, isu besar yang masih berlegar dalam parti itu ialah rapuhnya perpaduan, komitmen, kesetiaan kepada parti dan pemimpin, jentera yang lemah, tak terkordinasi dan tak berkesan, masih menghantui.
Kelemahan itu tentu sudah lama diketahui tapi ternyata masih gagal diatasi. Ia sudah menjadi pengetahuan umum, malah menjadi lagu iringan yang begitu mengasyikkan PAS, DAP dan PKR.

Yang paling menarik untuk diperhatikan dalam pertarungan kali ini ialah antara;
PAS yang angkuh seperti arnab tangkas, mendapat sorakan sokongan, sedang seronok bebulan madu dengan lempahan harapan rakyat, tapi dia mungkin boleh terlena.
UMNO/BN yang malu dan rendah diri seperti kura-kura yang sedar lemah tapi terus berusaha memperbaiki diri dan membina keyakinan sesama sendiri.
Untuk terus menjadi arnab yang gembira bukan mudah bagi PR, kerana sifatnya yang semakin angkuh akan menyebabkan dia tersandung jatuh. Sorakan akan semakin berkurangan, bila penyokong makin kenal arnab cuma tahu berlagak, tak tau berlumba.
Untuk BN kembali dari kura-kura menjelma semula menjadi singa, mereka mesti bersedia menghadapi proses yang menyakitkan. Kalau terus terbuai dengan zaman kehebatan yang telah berlalu, kura-kura boleh jatuh ke sungai, lepas ke laut luas tak dapat dikesan.


Friday, June 26, 2009

MALAPETAKA DI TERANGGANU?

Terengganu Terus Bergolak.
APAKAH INI TANDA MALAPETAKA?

Nampaknya usaha Hishamuddin untuk menjinakkan 'penyu-penyu liar di Batu Buruk',
makin sukar. Mereka terus bertelagah.
Bila para pemimpin dah makin lupa kepada asas, menyimpang dari penghayatan dan iktibar yang Tuhan beri, semakin tak sedar diri, bahawa kapal yang dinaiki semakin bocor.
Segelintir yang celik bertungkus lumus menampal kebocoran yang semakin banyak, tapi sebahagian pula sibuk bertembak dan menyebabkan lebih banyak peluru sesat dan mencipta lebih banyak kebocoran.
Langsung buta dan tak ambil iktibar perang uhud. Tentera dah banyak terkorban, tercedera, tapi semakin sibuk pula berebut harta rampasan perang yang semakin sedikit. Masyaallah. Apa lagi yang boleh membuat mereka sedar. Kembali ke pangkal jalan.
Wahai para pemimpin tikus yang sedang membaiki labu, Wahai ketam kekenyangan yang dah tak mampu pun mengajar anak berjalan. Tolehlah ke belakang, lihatlah para pengikut, kekasih UMNO yang compang-camping, tetapi sedang menangis meratap, sambil bertungkus lumus menampal setiap lubang pada bahtera yang semakin tenggelam ini.
Berhenti membuat kerja tolol, berperangai seperti spastik, dan cepatlah bantu mereka menampal setiap kebocoran, atau semua akan karam bersama, dan kamu akan mati dengan sumpahan para pengikut (ahli & rakyat) tak berdosa yang akan sama terkorban....

Monday, June 22, 2009

PEMIMPIN:JIWA BESAR@CITA-CITA BESAR?

Isu Perpaduan, Apa Bezanya
BERJIWA BESAR & BERCITA-CITA BESAR?


Perdebatan tentang kerajaan perpaduan yang berlaku sekarang ini sekurang-kurangnya telah memperlihatkan kepada masyarakat tentang ciri atau kepribadian sebenar para pemimpin yang ada di hadapan mereka. Pendedahan itu sepatutnya memudahkan mereka membuat penilaian siapakah pemimpin sebenar yang patut mereka dukung, dan siapakah yang tidak layak untuk berada dalam gelanggang politik.


PEMIMPIN BERJIWA BESAR

Semakin tinggi diberi kuasa, dia semakin merendah diri, semakin tawaduk
Menghadapi setiap isu dan krisis dengan positif dan optimis.
Bersedia melupakan perselisihan, bersifat pemaaf dan bersikap terbuka.
Bersifat pelindung, sentiasa menasihat, tapi turut sedia menerima pandangan/teguran
Kepentingan rakyat keseluruhan sentiasa diberi keutamaan.


PEMIMPIN BERCITA-CITA BESAR

Semakin diberi kuasa, dia semakin tamak kuasa, tidak mahu berkongsi, angkuh.
Menghadapi isu dan perbincangan dengan prejudis/prasangka dan pesimis.
Bersikap memendam rasa, pendendam dan jumud.
Bersifat penakluk, diktator. Sentiasa mahu memberi nasihat dan arahan, tetapi
tidak bersedia menerima nasihat dan terguran.
Sentiasa memikirkan kepentingan diri atau kelompok kecil, bukan rakyat keseluruhan.

Rakyat sepatutnya tidak terkeliru menilai pemimpin berdasarkan imej dan label semata-mata, dan mereka seharusnya tahu meletakkan seseorang tokoh di tempat yang sepatutnya...

Wednesday, June 17, 2009

PERPADUAN: IKHLASvsPRASANGKA

PERPADUAN:
IKHLAS VS PRASANGKA



Sejak berlaku kegawatan politik beberapa tahun lalu, kita lihat beberapa perlakuan negatif semakin meningkat. Sikap biadap, kurang ajar, prasangka, tuduhan dan tuntutan melampau, provokasi dan dengki, bercampur baur dalam masyarakat. Di tengah-tegah kemelut itu, tiba-tiba Datuk Seri Najib melahirkan keyakinannya terhadap keikhlasan, orang yang boleh dianggap setengah orang sebagai musuh politik UMNO, Presiden PAS, Dato’ Seri Hadi Awang, untuk berbincang.
Saya fikir, hati kita patut tersentuh bila menghayati bahawa kenyataan itu dikeluarkan oleh Najib juga dengan ikhlas (dari psikologi riak wajah dan patah-patah perkataan yang diungkapkan). Rakyat, terutama para pemimpin, lebih khusus lagi pemimpin Melayu, patut mengambil iktibar dari keikhlasan pemimpin nombor satu itu. Kenyataan yang ringkas tapi penuh makna dan implikasi. Semoga semua pihak mula mengendurkan setiap ketegangan, membuang prasangka, melihat ke depan dengan cara yang lebih baik.
Akhirnya, keikhlasan itu akan teruji tahap dan kualitinya, dari sejauh mana pihak yang terlibat dalam perbincangan itu sanggup mengenepikan ego dan prasangka, citarasa dan cita-cita peribadi, dan memberikan keutamaan yang hakiki kepada masa depan bangsa.
Sebarang unsur seperti kebimbangan satu pihak kepada kemungkinan diperalat oleh pihak yang lain, atau kecelaruan emosi dari rekod sejarah yang negatif dari perspektif masing-masing, adalah gangguan kepada keihklasan yang patut dikikis.
Dalam persekitaran yang Melayu sudah terhimpit di sudut, saya optimis, bahawa kedua-dua pemimpin itu akan berupaya memikir dan merangka sesuatu yang penting untuk survival bangsa Melayu, dan negara Malaysia. Marilah kita berdoa agar kita akan melihat tahap seterusnya yang lebih positif dari keikhlasan tersebut.

Tuesday, June 16, 2009

1MALAYSIA - RUMAH API

1 MALAYSIA;

ANTARA JAMBATAN & RUMAH API

Sejak Dato’ Seri Najib mengutarakan gagasan utama kepimpinannya iaitu, ”1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Sebahagiannya bersifat akademik, ada pula bersifat spekulatif, sebahagiannya bersifat ekpektasi, tidak kurang pula yang menjadi provokatif (akibat daripada salah persepsi dan manipulasi) oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari suasana pemahaman yang kurang jelas masyarakat.
Polemik yang berpanjangan dan menarik itu, barangkali boleh kita ibaratkan seperti orang buta melihat gajah. Semua yang memberikan pandangan dari perspektif masing-masing, sebenarnya betul dan tidak salah, selagi pandangan itu berniat ikhlas dan bertujuan baik, serta tidak mendatangkan kesan yang tidak sihat. Ia telah menyuburkan budaya perdebatan terbuka yang bersifat ilmu dan kreatif.
Di celah-celah polemik itu, timbul beberapa soalan bukan sahaja dari kalangan pembangkang, malah di kalangan rakan dalam BN. Misalnya soalan;
.Sejauh manakah Najib benar-benar bersedia dan telah menghadam semasak-masaknya gagasan itu sebelum dia melancarkannya.
.Kedua apakah baik tindakan melahirkan gagasan yang menimbulkan satu polemik besar dan berpanjangan di peringkat nasional seperti itu?
Satu fakta yang barangkali kurang terlintas di dalam pemikiran para pengkritik ketika ini barangkali ialah realiti bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang bijaksana. Walaupun mendapat kelebihan dilahirkan sebagai anak Perdana Menteri, namun perjalanan politiknya yang bermula selepas ketiadaan bapanya bukanlah suatu laluan yang mudah.
Daripada seorang pemuda yang mentah politik ketika pulang dari luar negara, dan menjadi wakil rakyat, sehingga menjadi seorang Perdana Menteri; Berkolek dan dilanda pelbagai badai besar dalam politik negara dan parti selama empat dekad, di mana ramai senior dan sebaya, mahupun junior yang karam gagal mengharungi arus; Najib berjaya sampai ke garisan akhir – antara kebijaksanaan dan takdir.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri, apakah dia tidak mempersiapkan diri daripada segi perancangan dan pemikiran untuk mengambil alih tampuk. Tentu satu tanggapan yang silap jika ada yang cuba memandang rendah keupayaan pemikiran dan kredibiliti kepimpinan yang dimilki oleh Najib.
Najib ditakdirkan menjadi Perdana Menteri ketika prestasi UMNO dan BN berada pada tahap paling rendah dalam sejarah. Pada tahap ini, atas pelbagai faktor; nilai setia kepada pemimpin, malah setia kepada negara, juga berada pada tahap paling buruk sejak kemerdekaan. Nilai rasa kepunyaan kepada keharmonian dan kehidupan bernegara, tergugat dengan begitu besar. Budaya kurang ajar dan biadap, anti-establishment begitu meluap-luap. Rakyat seakan kehilangan jatidiri dan dengan agresif dikelirukan dengan pelbagai unsur dan pendekatan.
Satu Malaysia, lahir di tengah-tengah kemelut itu, sebagai satu rumah api.
Semua orang melihat diri sendiri. Semua orang membetulkan arah bahteranya. Ramai yang sebelumnya tersesat jauh perjalanannya, tetapi masih yakin arahnya betul, mula berfikir dan terdorong untuk berpatah balik. Sementara yang angkuh dan tak mahu mengakui diri tersesat, dan meneruskan perjalanan, sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan sesat.
Najib mungkin memang sedar gagasan yang dikemukakan itu akan menimbulkan polemik pada peringkat awalnya, tetapi percayalah, dia sangat meyakini bahawa hasil akhirnya akan menjadi titk temu yang akan melahirkan perpaduan yang jitu dan Malaysia yang hebat.
Hujahnya di sini ialah; adalah lebih baik mengetengahkan sesuatu yang kabur dan mengelirukan pada peringkat awal, tetapi motif akhirnya mewujudkan fokus yang tinggi dan titik temu yang luar biasa; daripada membiarkan banyak perkara yang jelas dan difahami tetapi telah dikelirukan dan dimanipulasi serta dikaburkan, oleh pelbagai pihak yang berkepentingan (seperti contohnya isu hak istimewa, DEB, kuota, institusi raja, dsb).
Satu Malaysia juga sebenarnya ialah satu jambatan lurus yang telah dibina oleh Najib untuk semua kembali kapada landasan asas dan kemudian melonjak mencapai dan menggenggam tahap tertinggi perpaduan dan kemajuan.
Polemik yang meluas telah meningkatkan fokus seluruh rakyat. Secara psikologi, itu adalah cara mendidik untuk mereka kembali kepada asas yang sangat berkesan. Agak provokatif, tetapi sangat mendidik. Semua orang mahu memberi pendapat, mahu terlibat dalam polemik dan perbincangan, dan semua orang diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, tetapi dalam satu wadah dan ke arah satu matlamat.
Pada tahap ini, walapun masih di peringkat krisis, kita sudahpun dapat merasakan bahawa rakyat sedang meraikan rasa keterlibatan kepada masa depan negara, berbanding sebelumnya yang penuh rasa tidak peduli, marah dan kecil hati. Mungkin tidak terlalu lama, segala polemik itu akan sampai kepenghujungnya dan kita akan melihat majoriti rakyat melangkah seiring mendukung cita-cita bersama, membina negara dan menjadikannya tempat terbaik untuk didiami oleh semua orang, seperti yang dihasratkan oleh Perdana menteri, dan tentunya oleh kita semua.
Apa yang sangat perlu sekarang ini ialah semua orang, apatahlagi para pemimpin dan ahli UMNO dan BN, memberikan keyakinan dan pemahaman serta komitmen yang tinggi kepada kepimpinan Najib, kemudian tampil memberikan pemahaman kepada rakyat, dan membantu, menyambung setiap hasrat dan perancangan kepimpinan.
Proses pemilihan pemimpin sudah berlalu (baik dalam parti atau PRU), maka setiap lapisan rakyat berkewajipan memfokuskan sokongan kepada pemimpin yang terpilih melalui proses demokarasi yang kita bersama iktiraf. Seluruh rakyat pula harus faham bahawa tugas memulihkan semula ekonomi dan perpaduan, jauh lebih besar dari politiking dalaman kelompok dan antara kelompok yang remeh tetapi kini semacam tidak berkesudahan.