Pages

Thursday, October 21, 2010

Hak Melayu Terkunci Kemas Dlm Perlembagaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta  “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.
"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis (Raja-Raja) yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit, sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ketika menyampaikan ucapan bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran" itu, Najib dengan tegas berkata, tindakan pihak tertentu yang kini mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai bangsa yang dilindungi hak-hak tertentu, ternyata telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak puas hati terhadap bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap dan sifat akomadatifnya.

“Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan kaum yang telah terjalin semenjak dahulu,” katanya diiringi tepukan gemuruh tanda sokongan daripada lebih 4,000 perwakilan dan pemerhati. – Bernama

Wednesday, October 6, 2010

Azmin Wajib Minta Maaf Kpd Dr. Mahathir & Rakyat Malaysia

Pelbagai pihak hari ini mendesak Azmin Ali supaya memohon maaf secara terbuka terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tegas mereka, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak bukan setakat perlu membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi turut wajib bersemuka dengan negarawan itu bagi memohon keampunan.
Selain itu, orang kepercayaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini yang amat menyayangi dan menyanjungi Dr. Mahathir tetapi tersinggung akibat dihina oleh Azmin. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omardin ternyata amat kecewa, sedih dan tersinggung dengan kenyataan Azmin yang menggunakan istilah 'tersungkur' ketika merujuk kepada Dr. Mahathir yang dirawat di Australia.
Beliau menyelar Azmin  yang disifatkan sebagai lebih hina dan teruk daripada binatang kerana tidak tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap sumbangan Dr. Mahathir. "Binatang pun tahu berterima kasih apabila kita berbuat baik terhadapnya, contohnya anjing apabila kita memberinya tulang, binatang ini akan mengerak-gerakkan ekornya sebagai tanda terima kasih.  "Segala kekayaan dan kesenangan yang diperoleh Azmin kini semuanya dikaut semasa era Dr. Mahathir iaitu semasa bekerja dengan Anwar yang pada ketika itu menjadi anggota kerajaan, jadi kenalah bersyukur dan berterima kasih,"
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengulas kenyataan Azmin kelmarin yang mengakui individu yang dimaksudkan sebagai sedang 'tersungkur' dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak ialah Dr. Mahathir. Malah, Azmin dengan angkuhnya berkata, perkataan 'tersungkur' itu langsung tidak kasar, sebaliknya amat lunak dirujuk kepada Dr. Mahathir berikutan kedegilan beliau bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Sementara itu, bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan berkata, walaupun berlainan pendirian politik tetapi Azmin masih perlu menghormati Dr. Mahathir yang banyak berjasa kepada negara. Beliau menarik perhatian bahawa agama Islam sendiri mengajar penganutnya supaya menghormati orang lain yang lebih berusia sama ada beragama Islam atau sebaliknya. "Azmin kena ingat dulu dia langsung tiada apa-apa, Dr. Mahathirlah yang mencadang namanya supaya diambil oleh Anwar untuk bekerja dan membantunya.
"Malah saya semasa ditahan oleh kerajaan (Dr. Mahathir) bersama dengan Anwar pada 1998, tidak pernah berdendam atau memaki-hamun Dr. Mahathir kerana saya tahu jasanya terlalu besar kepada negara," katanya. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom menyifatkan Azmin sebagai pemimpin 'tidak sedar diri' yang langsung tidak layak menghina atau mengkritik Dr. Mahathir jika dibandingkan dengan jasa dan sumbangan calon Timbalan Presiden PKR itu.
"Azmin terlalu kerdil. Orang muda 'tidak sedar diri' ini perlu memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Mahathir dan seluruh rakyat negara ini. PVTM tidak boleh sampai bila-bila menerima penghinaan ini," katanya. U.Malaysia