Pages

Thursday, November 10, 2011

KEBIJAKSANAAN KU LI; ANWAR MANGSA KONSPIRASI

Tengku Razaleigh Hamzah adalah nama besar dalam politik Negara pada dekad 80-an. Tapi barangkali bukan selepas tahun 2000. Bukan rahsia bahawa beliau adalah antara tokoh politik yang sangat bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri (walaupun sehari, khabarnya). Gagal dalam percubaaannya untuk mendapat jawatan Presiden UMNO, keluar dan menubuhkan Semangat 46, kemudian membina kerjasama dengan PAS dan DAP dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Di bawah pimpinan beliau, untuk kali pertama dalam sejarah politik Negara, BN ditentang hebat oleh parti pembangkang yang bergabung. Tidak sesuai untuk membuat persamaan, tetapi liku politiknya hampir sama dengan anwar Ibrahim. Namun bila beliau mengatakan bahawa keyakinannya tetap tinggi kepada UMNO, itu mungkin berdasarkan pengalaman lengkap, berada di dalam, di luar, kemudian di dalam UMNO semula.

Sejarahnya itu menjadikan beliau sangat kritis sebagai pemerhati politik. Tetapi sebagai ahli politik, sesekali beliau kelihatan tidak sabar melihat, walaupun kerenah kecil dalam politik UMNO dan Negara. Sebagai orang yang pernah atau mungkin masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, memang beliau sangat yakin untuk menjadi Perdana Menteri yang lebih baik. Sebenarnya perasaan seperti itu bukan bermula sekarang, tetapi mungkin sejak beliau mula bercita-cita demikian, barangkali seawal zaman Tun Hussien Onn.

Percubaan menentang Perdana Menteri dibuat di zaman Dr. Mahathir, kemudian Pak Lah, lalu apa bezanya di zaman Najib. Walaupun nampak jelas Ku Li sudah begitu jauh dari arus perdana politik UMNO dan Negara, sebagai polikus yang bijak dan berpengalaman luas, dia tahu untuk meletakkan diri di tempat yang betul pada ketika yang sesuai.

Sekarang, kedudukan anwar sebagai de facto dan PKR sebagai “glue” kepada PAS dan DAP yang sentiasa seperti minyak dan air, sudah semakin lemah, hilang taring, hilang wibawa. Anwar kelihatan seperti ‘dinasour yang tak berkaki dan cedera parah’. Kalau bukan ke penjara pun, kredibilitinya telah menjunam serendah rumput di bumi. PKR pula menjadi parti yang tak boleh langsung dijadikan model parti yang bakal memerintah Negara.

Maka, Ku Li terhidu pantas vakum yang serius itu. Ada khabar yang mengatakan DAP turut menjadi “pemandu” kepada momentum itu, sementara PAS yang semakin rimas dengan percikkan “darah dan nanah” anwar Ibrahim, dalam senyap memberi ‘blessing’ kepada hasrat Ku Li dan DAP itu. Kalau begitu, anwar yang selama ini ‘takut dengan bayang konspirasi’ akan benar-benar menjadi mangsa konspirasi DAP dan Ku Li.

Peluang berbeza, keadaan berbeza, era yang berbeza. Ku Li mungkin faham kalau kemungkinan dia harus menentang UMNO secara besar-besaran dan membuta tuli, pengalamannya mengatakan, dia akan dilihat penderhaka oleh majoriti orang Melayu yang sebahagiannya bukan ahli UMNO pun. Strategi Ku Li kali ini mungkin lebih “bersifat Melayu” seperti Brutos yang menikam Ceaser, Ku Li menyanjung UMNO tapi mempertikai seluruh kepimpinannya.

Sejauh mana kebijaksanaan political game Ku Li kali ini membuktikan beliau mempunyai finishing yang bagus, hanya masa dan kebijaksanaan Najib dan UMNO akan menentukannya.

Wednesday, November 2, 2011

SEKSUALITI MERDEKA; JIJIK, LUAR TABIE, MUSIBAH - DATO' AIDIT GHAZALI

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama menentang keras penganjuran Seksualiti Merdeka yang mahu memperjuangkan hak golongan homoseksual berlandaskan hak asasi manusia. Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Aidit Ghazali berkata, semua pihak perlu membantah sekeras-kerasnya penganjuran program tersebut kerana ia suatu yang jijik, luar tabie dan tidak selari dengan nilai-nilai suci agama.

“Program ini bukan setakat barah kepada negara malah boleh dianggap satu musibah kerana perjuangan mereka yang mahu menghalalkan hubungan golongan-golongan tersebut sememangnya bertentangan dengan agama dan nilai moral. Mereka yang anjur program ini adalah golongan yang menipu diri sendiri kerana ia langsung tidak mencerminkan moral masyarakat di negara ini.”

“Jadi, saya menyeru semua persatuan agama termasuk agama-agama lain, pihak media dan orang ramai agar membantah penganjuran tersebut,” Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan dengan program itu yang dianjurkan oleh Majlis Peguam, Amnesty International Malaysia dan Justice For Sister. Program berkenaan akan mengadakan beberapa aktiviti seperti bengkel, forum, pameran dan persembahan seperti Drag Queens.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, program tersebut adalah satu provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan terhadap masyarakat negara ini kerana majoritinya tidak pernah bersetuju dengan pendirian golongan tersebut.

“Malah saya difahamkan di Amerika Syarikat (AS) hanya enam daripada 50 buah negeri yang mengiktiraf golongan ini. Ia jelas menunjukkan majoriti masyarakat dunia tidak menghalalkan perkara yang menentang undang-undang itu,” Tambah beliau, semua pihak tanpa mengira agama perlu menentang dan mengecam penganjuran aktiviti tersebut yang boleh menjejaskan pembangunan modal insan golongan muda khususnya. “Penganjur perlu menarik balik program tersebut dan sekiranya mereka berkeras, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas mengikut peruntukkan undang-undang yang ada.

Timbalan Pengerusi Hindu Sanggam Wilayah Persekutuan, P. Chandiran menegaskan kerajaan harus memainkan peranan penting dalam mengekang program seumpama itu. “Jelas dan nyata program itu bertentangan dengan budaya dan kehidupan masyarakat kita. Jadi kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan berkaitan agar penularan gejala itu dapat dibendung. “Tidak mustahil sekiranya gejala ini tidak ditangani segera ia akan menjadi barah di kalangan masyarakat kita di masa hadapan,” ujarnya. petikan U. Malaysia.