Monday, November 30, 2009

KURIKULUM BTN DIROMBAK ? KENAPA ?

TAK PERLU TERGOPOH-GAPAH

Kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia. Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet telah membuat keputusan untuk mengubah kurikulum tersebut supaya bersifat lebih inklusif dan tidak membelahbahagikan rakyat. "BTN mesti dirombak bagi menampakkan kehendak PM yang memperjuangkan semangat 1Malaysia. "Saya percaya BTN telah diarah oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menukar kurikulumnya,"

ULASAN:
Kenapa Dirombak? Kenapa baru sekarang Nazri buat kenyataan itu?
Kenapa sejak mula PM mengumumkan gagasan 1 Malaysia (dah hampir setahun), Nazri atau yang lain-lain tak nampak keperluan itu?
Betul ke kurikulum yang ada membelahbagikan rakyat?
Apakah rombakan itu nanti tepat dengan aspirasi sebenar 1 Malaysia, yang tidak mengusik hal-hal fundamental?
Alang-alang dah ketinggalan keretapi, baiklah buat persiapan yang terbaik, tak perlu gopoh-gapah kerana sedikit provokasi dangkal.

1 MALAYSIA : JAMBATAN & RUMAH API

Sejak “1 Malaysia” dilancar, pelbagai pandangan dikemukakan oleh pelbagai pihak. Ada yang bersifat akademik, ada yang spekulatif, sebahagiannya bersifat ekspektasi. Tidak kurang yang provokatif, akibat salah persepsi dan manipulasi pihak yang cuba mengambil kesempatan dari suasana pemahaman yang kurang jelas.

Polemik berpanjangan itu, boleh diibarat orang buta melihat gajah. Semua memberi pandangan dari perspektif masing-masing. Betul,tidak salah, selagi ia berniat ikhlas, bertujuan baik, serta tidak mendatangkan kesan tidak sihat. Ia menyuburkan budaya perdebatan terbuka, bersifat ilmu, kreatif dan inovatif.

Di celah polemik itu, timbul beberapa soalan bukan saja dari pembangkang, malah di kalangan rakan dalam BN. Misalnya;
.Sejauh manakah Najib benar-benar bersedia dan telah menghadam semasak-masaknya gagasan itu sebelum dia melancarkannya.
.Apakah bijak tindakan melahirkan gagasan yang menimbulkan satu polemik besar dan berpanjangan di peringkat nasional seperti itu?

Satu fakta yang kurang terlintas di pemikiran para pengkritik ini barangkali ialah realiti bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang bijaksana. Walaupun berkelebihan lahir sebagai anak Perdana Menteri, namun perjalanan politiknya yang bermula selepas ketiadaan bapanya bukanlah satu laluan yang mudah. Dari seorang pemuda yang mentah politik ketika pulang dari luar negara, menjadi wakil rakyat, sehingga menjadi seorang Perdana Menteri; Berkolek dan dilanda pelbagai badai besar dalam politik negara dan parti selama empat dekad, di mana ramai senior dan sebaya, mahupun junior yang karam, gagal mengharungi arus; Najib berjaya sampai ke kemuncak – antara kebijaksanaan dan takdir.

Sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun sebagai TPM, apakah dia tidak mempersiapkan diri dari segi perancangan dan pemikiran untuk mengambil alih tampuk. Tentu satu tanggapan yang silap jika ada yang cuba memandang rendah keupayaan pemikiran dan kredibiliti kepimpinan yang dimilki oleh Najib.
Najib ditakdirkan menjadi PM ketika prestasi UMNO/BN pada tahap paling rendah dalam sejarah. Pada tahap ini, atas pelbagai faktor; nilai setia kepada pemimpin, malah setia kepada negara, juga berada pada tahap paling buruk sejak kemerdekaan. Nilai rasa kepunyaan kepada keharmonian dan kehidupan bernegara, tergugat dengan begitu besar. Budaya kurang ajar, biadap, anti-establishment meluap-luap. Rakyat seakan kehilangan jatidiri dan dengan agresif dikelirukan dengan pelbagai unsur negatif.

1 Malaysia, lahir di tengah kemelut itu, sebagai satu rumah api.
Semua orang melihat diri sendiri, membetulkan arah bahteranya. Yang sebelumnya tersesat jauh perjalanannya, mula membetulkan arah, mula berfikir dan terdorong untuk berpatah balik. Sementara yang angkuh dan tak mahu mengaku tersesat, dan meneruskan perjalanan, sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan sesat.
Saya yakin, Najib memang sedar gagasan yang dikemukakan itu akan menimbulkan polemik pada peringkat awal, tetapi percayalah, dia sangat optimis, akhirnya ia akan menjadi titk temu yang akan melahirkan perpaduan jitu dan Malaysia yang hebat.

Hujahnya di sini ialah; lebih baik mengetengahkan sesuatu yang kabur dan mengelirukan pada peringkat awal, tetapi akhirnya mewujudkan fokus yang tinggi dan titik temu yang luar biasa; daripada membiarkan banyak perkara yang jelas dan sudah difahami tetapi telah dikelirukan dan dimanipulasi serta dikaburkan, oleh pihak yang berniat tidak baik (spt isu hak istimewa, DEB, kuota, institusi raja, dsb).

1 Malaysia juga ialah satu jambatan lurus yang dibina oleh Najib untuk semua kembali ke landasan asas,kemudian melonjak mencapai dan menggenggam tahap tertinggi perpaduan dan kemajuan.
Polemik yang meluas telah meningkatkan fokus seluruh rakyat. Secara psikologi, itu adalah cara mendidik untuk mereka kembali kepada asas yang sangat berkesan.Semua orang mahu memberi pendapat, mahu terlibat dalam polemik dan perbincangan, dan semua orang diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, tetapi dalam satu wadah dan ke arah satu matlamat.

Najib pernah memberi amaran, 1M berteraskan perlembagaan dan undang-undang Negara dan kesinambungan semua PM yang lepas. Pemurniannya ialah dari segi strategi dan implimentasi.
Pada tahap ini saya fikir, fasa 1 yang berupa krisis, sudah pun kita tinggalkan, kita sudahpun dapat merasakan bahawa rakyat sedang meraikan rasa keterlibatan kepada masa depan negara, berbanding sebelumnya yang penuh rasa tidak peduli, marah dan kecil hati. Kini kita berada di fasa kedua. Dengan pelbagai program dan implimentasi, pasti tidak lama, akan sampai kepenghujung dan kita akan melihat majoriti rakyat melangkah seiring mendukung cita-cita bersama, membina negara dan menjadikannya tempat terbaik dan hebat untuk didiami oleh semua orang, seperti yang dihasratkan oleh PM, dan tentunya oleh kita semua.

Apa yang sangat perlu sekarang ialah semua orang, apatahlagi para pemimpin dan ahli UMNO/BN, memberikan keyakinan dan pemahaman serta komitmen yang tinggi kepada kepimpinan Najib, kemudian tampil memberikan pemahaman kepada rakyat, dan membantu, menyambung setiap hasrat dan perancangan.
Proses pemilihan pemimpin sudah lama berlalu (baik dalam parti atau PRU), maka setiap lapisan rakyat wajib memfokuskan sokongan kepada pemimpin yang terpilih melalui proses demokarasi yang kita bersama iktiraf. Rakyat pula harus faham bahawa tugas memulihkan ekonomi dan perpaduan, membina masa depan, jauh lebih besar dari politiking dalaman kelompok dan antara kelompok yang remeh tetapi kini semacam tidak berkesudahan.

4 comments:

  1. Salam encik Zainal,
    ada kelapangan mama akan baca N3 disini ye, selamat menyambut tahun baru 2010

    panjang umur kita jumpa lagi..

    salam..

    ReplyDelete
  2. Tq Mamamin,
    Selamat tahun baru,
    Teruskan ikuti perkembangan politik tanahair yang sentiasa mendebarkan.
    Doakan agar Melayu terus menjadi lebih baik, terbaik.

    ReplyDelete
  3. saudara, ada benarnya apa yang dihujahkan itu..
    namun, mengapa yang kabur itu diutamakan?
    nanti susah, tak nampak ,terhantuk apa2..manalah tahukan..
    pada pandangan saya, apabila sesuatu itu bernama gagasan ,ianya seperti satu visi yang perlu dicapai, jelas ,terang dan nyata,,tetapi ,maaf..saya tidak nampak hala tuju sebenar gagasan ini,,

    ReplyDelete
  4. Saudara,
    Terima kasih komen yang jujur.
    Sebenarnya pandangan itu juga mewakili ramai lagi rakan-rakan kita di luar sana.
    Saya fikir, Najib kurang mendapat sokongan kerja yang mencukupi dari pasukannya.
    Lambat menterjemah dan bertindak, tidak jitu, kurang berkesan, malah komitmen masih banyak lagi perlu ditingkatkan.

    Saya setuju bahawa satu tindakan susulan terhadap gagasan 1Malaysia ini perlu dibuat segera, supaya percubaan berterusan untuk menyalahtafsirkan dapat dipadam, dan hasrat sebenar dapat segera dicapai.

    ReplyDelete