Pages

Thursday, May 12, 2011

PERJUANGAN UMNO SANGAT BERMAKNA, TERUS RELEVAN – Syed Naquib

Profesor Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Hari UMNO ke-65 melihat UMNO sebagai sebuah parti yang sangat bermakna dan perlu terus diperturunkan kepada generasi akan datang untuk kesinambungan masa hadapan. Katanya, perjuangan UMNO hari ini jika dibandingkan dengan dahulu terlalu banyak perubahan-perubahan yang berlaku bukan sahaja kepada orang Melayu dan Islam tetapi ia juga turut memberi pengaruh kepada perkembangan semasa dari dalam dan luar.

“Dalam perjuangan UMNO ini, alhamdulillah saya lihat sudah mulai ada keinsafan bahawa soal adab itu penting kerana adab itu ilmu yang bukan dipelajari di Universiti tetapi harus diturun temurunkan untuk mereka terus faham maksud perjuangannya.”
Syed Naquib yang dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Jawa Barat adalah tokoh yang merialisasikan berkibarnya bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ apabila Presiden UMNO pertama, Datuk Onn meminta ilham daripada beliau untuk menciptanya. “Pada tahun 1945-46, Datuk Onn mengatakan kepada saya cuba reka berkenaan bendera, walaupun umur saya ketika itu baru dalam 14 tahun.”

Jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau dalam revolusi yang berlaku di Indonesia dan juga tema yang perlu ada dalam bendera tersebut maka beliau mencipta ‘Sang Saka Bangsa’ sebagaimana yang ada hari ini.
“Soal merah putih dalam bendera UMNO ini tentu sekali terpengaruh kepada pengalaman Revolusi Indonesia. Kemudian Datuk Onn mengatakan dalam bendera ini harus ada fahaman kesetiaan, keberanian, mengenai kewibaan Sultan dan Islam serta kekuatan orang Melayu. Ini yang dimahukannya.

“Setelah saya fikir-fikir maka pada merah putih itu di tengah-tengah saya letakkan satu warna kuning untuk menandakan kewibawaan para Raja, mengenai keris saya berikan warna hijau sebagai agama Islam dan keris adalah simbol yang paling digunakan oleh orang Melayu sebagai kekuatan. Jadi, idea-idea itu semua yang digabungkan dalam satu bendera.”
Beliau yang mendapat pendidikan dalam bidang keagamaan, kebudayaan, sastera, bahasa dan banyak menyumbang kepada penghasilan karya-karya besar telah menyuntik semangat nasionalisme dan falsafah dalam tradisi masyarakat Melayu.

“Berkenaan dengan relevannya perjuangan UMNO maka ia tetap relevan bukan hanya sekarang tetapi di masa-masa lain pun, apa lagi sekiranya sudah banyak perubahan untuk membuat pembetulan dalam kesilapan-kesilapan lampau. Ini bermakna ia akan terus relevan apatah lagi sekarang banyak fahaman intelektual yang didatangkan kepada pemuda kita.

“Menuntut ilmu itu penting walaupun kita harus tuntut ilmu kemajuan seperti sains dan teknologi tetapi ia harus dilandaskan atas dasar tradisional kita sendiri terutamanya soal-soal adab, soal akhlak. Bukan saja semata-mata satu dua perkara, yang disebut integriti tapi tidak ada diberi makna apa yang harus dilakukan bagi mendatangkan integriti itu.”

Jelasnya lagi, semua perkara harus diberi pemahaman berkaitan agama dengan betul apatah lagi perjuangan UMNO hari ini bukan seperti dahulu untuk kemerdekaan atau keluar dari kemiskinan tetapi jauh lebih luas lagi hingga ke dunia luar.

“Saya fikir tugas seperti ini akan menjadikan UMNO terus relevan, iaitu kita harus dengar dan perhatikan kata-hikmat daripada orang yang mempunyai ilmu tentang hal-hal macam ini dan lebih dari itu kita perlu praktikannya. Kalau kita tidak mahu dengar ini semua maka akan timbul banyak masalah.” Tegasnya, UMNO harus sedar dan menggunakan ilmu dengan mendengar dan belajar daripada orang yang benar-benar tulen ilmunya dan bukan yang hendakkan pangkat atau yang mahukan cita-cita sahaja.

“Pemimpin mesti belajar dengan orang yang ikhlas dengan dirinya sendiri yang ilmunya itu ditujukan untuk bangsanya, kebaikan bangsanya dan dengan ikhlas juga melakukannya. Saya fikir ini yang kita hadapi selain cabaran-cabaran daripada intelek barat dalam melihat ketamadunan kita,” ujarnya.

Beliau yang merupakan ahli falsafah dan ketamadunan Islam telah menulis lebih 20 buku dan monograf, baik dalam bahasa Inggeris, Melayu dan banyak selain diterjemahkan ke dalam bahasa lain, seperti bahasa Arab, Persia, Turki, Urdu, Malayalam, Indonesia, Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, India, Korea, dan Albania. Ketokohan beliau meliputi pelbagai bidang termasuk bertanggungjawab merancang dan merekabentuk bangunan kampus Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa (ISTAC).

Syed Naquib adalah penerima ketujuh sejak anugerah Tokoh Melayu terbilang diwujudkan pada tahun 2005 dengan dimulakan kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir (2006), Datuk Ibrahim Hussein (2007), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (2008), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (2009) dan Tan Sri Zainuddin Maidin (2010). – Dipetik dari MediaUMNO 11 May 2011

Wednesday, May 11, 2011

KRISTIAN AGAMA RASMI? REAKSI MESTI BIJAK, TANGANI DGN BIJAKSANA

PM MINTA RAKYAT BERTENANG
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat bertenang berhubung dakwaan wujudnya usaha mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sehingga siasatan mengenainya selesai.
Katanya, dakwaan tersebut tidak akan memberi faedah kepada sesiapa pun, justeru mana-mana pihak sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu tersebut.
‘‘Saya tidak mahu membuat kesimpulan tanpa bukti, ia boleh menjadi api dalam sekam. Kalau tidak bendung, boleh jadi polarisasi yang amat serius’’
Perdana Menteri ditanya laporan mengenai pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang antara lain didakwa membawa agenda menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan. Laporan tersebut memetik laman blog http://bigdogdotcom.wordpress.com. menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.
Perdana Menteri mengingatkan agama adalah perkara sensitif dan semua pihak mesti menjaga keadaan supaya tidak berlaku sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan. Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi, di samping itu, agama lain bebas dianuti.
Tegasnya, prinsip tersebut sangat penting dan dijadikan antara sendi utama pembentukan Malaysia, tidak boleh dipersoalkan. ‘‘Kalau ada sesiapa yang cuba gugat ketenteraman, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku. Yang penting adalah keharmonian Malaysia.’’

APA REAKSI KITA ?
Orang Islam sering dikaitkan dengan keganasan. Mengapa ? Salah satu puncanya ialah, terlalu mudah melatah dengan provokasi. Sedangkan Islam adalah agama yang sangat mementingkan keilmuan dan kebijaksanaan, sangat mementingkan kredibiliti dan nilai kasih sayang.
Lalu soalnya, adakah kenyataan tersebut (1)benar dikeluarkan oleh sekumpulan yang (2)sedar bahawa Islam sebagai agama rasmi itu sudah termaktub dlm perlembagaan ?

Jika ia berita tidak benar, dan cuma manipulasi media, apakah implikasinya, dan apakah sikap atau reaksi yang seharusnya.
Jika benar ia telah secara sedar dilafazkan, apakah kelompok itu terlalu ‘tolol’ untuk tidak mengetahui status yang ada dalam perlembagaan? Justeru, kalau begitu, apakah hasrat mereka yang sebenarnya?
Syarat wajib dalam hukum persaingan ialah kita perlulah lebih bijak dari pesaing kita. Justeru apakah sebarang sikap dan reaksi yang telah dan akan diluahkan, menggambarkan ‘kebijaksanaan luarbiasa’ atau sekadar stereotaip dan klise kelemahan atau sikap negatif yang telah diwarisi sejak sekian lama ?
Tepuk dada Tanya hati....