Pages

Monday, November 23, 2009

BELAJAR HIDUP TANPA DR. MAHATHIR

REAKSI DARI KOMEN TUN DAIM

Baru-baru ini timbul beberapa cadangan dari penyokong Dr. Mahathir untuk melantik beliau ke beberapa jawatan. Adakah cadangan itu sesuatu yang bijak, memandangkan zaman beliau sudah berlalu, walaupun jasanya tidak dinafikan. Komen Tun Daim dalam Mingguan Malaysia semalam elok kita renungkan. Baik UMNO, BN, malah orang Melayu perlu mula belajar hidup tanpa Dr. Mahathir.

DAIM:
Keputusan PRU lalu bukan penolakan BN oleh rakyat. Apakah sebab utama perubahan pendapat pengundi? Dr. Mahathir, dialah faktor utama di sebalik perubahan keputusan para pengundi. Dr. Mahathir dengan terbuka dan tegas membangkitkan isu PM pada masa itu, Tun Abdullah yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Apabila Dr. Mahathir, seorang tokoh yang terus dihormati kebanyakan rakyat menyuarakan ketidakyakinan terhadap kepimpinan BN, ia suatu hentaman kuat bagi kerajaan semasa. Ramai pengundi berasa hampa. Pengundi yang ingin mengundi, terus mengundi parti lain daripada BN.

Itulah situasi di Kedah dan Perak. Negeri-negeri di mana BN ditewaskan bukanlah swing states. Mereka hanya mengikut jejak langkah pemimpin iaitu Dr. Mahathir. Jika ada pertentangan pendapat di dalam UMNO, hasilnya tak akan begitu di negeri-negeri tersebut. Kenapa Johor masih kekal dipegang oleh BN? Sebab Johor mempunyai ramai pemimpin taraf nasional yang masih berpengaruh dan berwibawa.

Keputusan PRU lalu adalah kenyataan para pengundi yang selama ini menyokong BN terhadap kegagalan Pengerusi BN pada masa itu menangani hubungannya dengan Dr. Mahathir. Kerana itu UMNO dihentam teruk. Parti komponen lain seperti MCA dari dahulu adalah parti untuk para pengundi bandar dan tidak pernah menonjol. Selangor dan Perak jatuh kerana faktor ini. Pada masa sama para pengundi generasi muda yang memperolehi faedah dari era Dr. Mahathir tiba-tiba merasa diri mereka terkandas tanpa pemimpin. Mereka yang tidak suka kepada Dr. Mahathir memang tidak menyokong UMNO dan BN, tetapi mereka yang mengikuti dan menghormati Dr. Mahathir membandingkan Abdullah dengan Dr. Mahathir.

Akhirnya golongan ini mengundi parti apa saja atau siapa saja calon, asalkan ia bukan daripada komponen BN. Lain-lain sebab telah diperkatakan. BN sombong, terlalu yakin (over confident) dan tidak tunai janji dan bila hendak menghadapi pilihan raya kita jangan mencipta isu, kita mesti selesaikan isu. Kenaikkan harga minyak, isu video Lingam, demokrasi dibiarkan dan tidak dikawal serta perkara lain yang disebutkan tadi. Ternyata bagi saya keputusan itu bukan penolakan terhadap BN atau UMNO secara mutlak, tetapi reaksi kepada aksi Dr. Mahathir. Jika analisis ini betul, ia akan terbukti pada PRU yang berikutnya.

Najib muncul daripada keruntuhan puing-puing dan serpihan pilihan raya. Masih terlalu awal untuk melihat impak penuh polisi beliau. Pendapat saya ialah beliau telah mengambil laluan betul dan kebanyakan rakyat Malaysia yang bersuara lantang mengkritik Abdullah sekarang memerhati dan meneliti situasi Najib.

ULASAN : Semuga Najib tidak menghadapi situasi yang sedemikian.
Adalah sangat mencabar bagi Najib untuk mengurus Negara dengan pelbagai cabaran baru, kemudian terpaksa berhadapan dengan gelombang luarbiasa rakyat, dalam masa yang sama juga terpaksa menjaga hati dan kebajikan dua bekas bosnya yang kadangkala kelihatan masih ghairah untuk berada di arus perdana.
Saya fikir semua orang boleh menyumbang, tapi kalau kita mengaku sebagai sahabat, tentu sumbangan itu dibuat dengan cara yang tidak menimbulkan ‘kesulitan’.

No comments:

Post a Comment