Pages

Tuesday, August 25, 2009

SUFIAH YANG LUARBIASA

KECEMERLANGAN YANG LUARBIASA
PENDERITAAN SEORANG IBU

Halimahton Yusof, ibu kepada pelajar perempuan genius, Sufiah Yusof, akan berkongsi pengalaman mendidik anak pintar dengan Permata Negara dan Permata Pintar. Penaung projek itu yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerjasama tersebut akan dimulakan dalam waktu terdekat.

Beliau melakukannya secara sukarela tanpa bayaran kerana menganggapnya tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara. Permata Negara adalah program bertujuan merangsang minda kanak-kanak melalui imaginasi yang baik supaya dapat membantu perkembangan peringkat awal terutama di bawah usia 5 tahun. Permata Pintar pula bertujuan membantu kanak-kanak pintar cerdas berusia 9 hingga 15 tahun menjalani proses pembelajaran untuk merangsang minda.
Halimahton akan menggunakan pengalamannya bagi memastikan kanak-kanak lain menjadi pintar berterusan tanpa tekanan, bukan seperti yang dialami Sufiah. Adik Sufiah, Iskandar, 23, akan menyertai berkongsi pengalaman sehingga turut dikategorikan pelajar genius.

"Diharap dengan usaha ini, semua pihak akan lebih memahami cara mendidik anak genius dan belajar daripada kesilapan. Berhubung harapan Halimahton yang ingin Sufiah pulang, saya menyeru masyarakat di negara ini mendoakan agar gadis itu kembali kepada keluarga dan ajaran Islam," ujar Rosmah.
Kisah Sufiah mula mendapat perhatian meluas dan menggemparkan dunia apabila kanak-kanak pintar itu layak memasuki Universiti Oxford. Pada tahun 2000, ketika berusia 15 tahun, Sufiah melarikan diri dari universiti apabila dikatakan tertekan dengan sikap bapanya yang sentiasa memaksanya belajar bagi memastikan kecemerlangan prestasi akademiknya terus berkekalan.

Selepas perkahwinannya dengan seorang peguam pelatih, Jonathan Marshall pada 2004 menemui kehancuran, Sufiah terus mencetuskan kontroversi. Dalam laporan akhbar, Sufiah kini dikatakan terpesong jauh dari landasan Islam apabila menjadi pekerja khidmat seks di Manchester bagi menampung perbelanjaan kehidupannya.

ULASAN : Dalam rancangan SUDUT PANDANG di ASTRO AWANI 20 ogos lepas, saya ada menghuraikan bahawa sikap taksub kita kepada subjek sains dan matematik perlu diimbangi dengan pembinaan jatidiri dan sahsiah. Sebab yang hendak kita bina ialah manusia, mereka punya roh dan perasaan. Perlu dikaji dari mana-mana sudut dalam sistem pendidikan kita, bagaimana untuk melahirkan generasi kuat jatidiri, hebat daya saingnya.
Jangan sampai kita tersalah perhitungan sehingga melahirkan the lost generation
yang tercabut akarnya, tidak kenal diri, tidak kenal sejarah, tidak kenal bangsa.

Kita sangat mengkagumi pencapaian luarbiasa Sufiah, tapi kita sedih dengan nasibnya, kita juga sangat tersentuh hati dengan penderitaan ibunya, Puan Halimaton.
Beliau sekali lagi menampilkan kehebatannya, mengetepikan kemungkinan rasa malu dan penderitaannya, untuk berkongsi ilmu dan iktibar yang sangat luarbiasa itu.
Mungkin tragedi Sufiah ini Tuhan lahirkan sebagai pengajaran sangat besar kepada seluruh bangsa kita yang sedang dalam proses membina tamadun.
Justeru, saya percaya, ungkapan ringkas yang sempat saya kupas melalui ASTRO AWANI itu, perlu diberi perhatian yang serius.

No comments:

Post a Comment