Pages

Tuesday, June 30, 2009

NIK AZIZ & SAJAK

ULAMAKKAH AKU ?
@ PEMIMPIN ANGKUHKAH IA ?
(antara label & realiti = keliru)

Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi dia bukan maksum
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi belum tentu dia pemimpin yang terbaik
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi belum tentu dia tak buat silap
Ya, Dia mungkin ulamak,
Tapi dia tak boleh tuduh orang kafir
Ya, dia mungkin ulamak,
Tapi kenapa dia sokong projek babi mega
Ya, dia mungkin ulamak,
Tapi bukan dia seorang saja ulamak

Kalau dia berjiwa besar
Dia tak tolak perpaduan
Kalau dia berjiwa besar
Dia tak kata orang lain sentiasa buruk
Kalau dia berjiwa besar
Dia tak sentiasa rasa diri betul
Kalau dia berjiwa besar
Dia tidak besar kepala
Kalau dia berjiwa besar
Dia tidak cakap besar
Kalau dia berjiwa besar
Hal kecil tak diperbesar-besarkan

Kalau dia pemimpin hebat
Dia tak musuhi majoriti rakyat
Kalau dia pemimpin hebat
Dia jadikan dirinya milik semua
Kalau dia pemimpin hebat
Dia akan jadi pendamai
Kalau dia pemimpin hebat
Dia akan buat dua orang berjabat tangan

Bahawasanya dia
Tak mau terima teguran
Bahawasanya dia
Menuduh orang Islam - komunis

Bahawasanya dia berkata
Mencarut itu o.k
Bahawasanya dia berkata
Sikafir pergunakan al Quran itu o.k
Bahawasanya dia berkata
Syaitan boleh dijadikan sahabat itu o.k
?

Kalau dia ulamak, pemimpin umat
Dia bukan ahli sebuah parti - PAS
TAPI, dia sepatutnya pemimpin sejagat.

Monday, June 29, 2009

MANIK URAI: PAS ANGKUH - GENTAR

UMNO : SAKIT - BANGKIT





Pembalakan aktif di Manik Urai







PAS, NYIOR YANG LESU, DEDAUN KERING YANG RAPUH




MANIK URAI-Pas berasa dirinya masih kuat seperti sebelum PRU 12, dengan meletakkan calon dari luar Manik Urai, kerana masih yakin pengikutnya tetap setia. Walau siapapun yang dinamakan, keputusan presiden tetap dihormati.
Sedangkan UMNO yang dikatakan mempunyai ahli semasa yang kurang setia, suka berbalah berebut kerusi, calon yang dipilih presiden pun sering dipertikai, kali ini dengan rendah diri mendepani rakyat dengan calon lokal yang khabarnya begitu rapat dengan masyarakat.
Seperti beberapa pilihanraya kecil yang lepas, isu besar yang masih berlegar dalam parti itu ialah rapuhnya perpaduan, komitmen, kesetiaan kepada parti dan pemimpin, jentera yang lemah, tak terkordinasi dan tak berkesan, masih menghantui.
Kelemahan itu tentu sudah lama diketahui tapi ternyata masih gagal diatasi. Ia sudah menjadi pengetahuan umum, malah menjadi lagu iringan yang begitu mengasyikkan PAS, DAP dan PKR.

Yang paling menarik untuk diperhatikan dalam pertarungan kali ini ialah antara;
PAS yang angkuh seperti arnab tangkas, mendapat sorakan sokongan, sedang seronok bebulan madu dengan lempahan harapan rakyat, tapi dia mungkin boleh terlena.
UMNO/BN yang malu dan rendah diri seperti kura-kura yang sedar lemah tapi terus berusaha memperbaiki diri dan membina keyakinan sesama sendiri.
Untuk terus menjadi arnab yang gembira bukan mudah bagi PR, kerana sifatnya yang semakin angkuh akan menyebabkan dia tersandung jatuh. Sorakan akan semakin berkurangan, bila penyokong makin kenal arnab cuma tahu berlagak, tak tau berlumba.
Untuk BN kembali dari kura-kura menjelma semula menjadi singa, mereka mesti bersedia menghadapi proses yang menyakitkan. Kalau terus terbuai dengan zaman kehebatan yang telah berlalu, kura-kura boleh jatuh ke sungai, lepas ke laut luas tak dapat dikesan.


Friday, June 26, 2009

MALAPETAKA DI TERANGGANU?

Terengganu Terus Bergolak.
APAKAH INI TANDA MALAPETAKA?

Nampaknya usaha Hishamuddin untuk menjinakkan 'penyu-penyu liar di Batu Buruk',
makin sukar. Mereka terus bertelagah.
Bila para pemimpin dah makin lupa kepada asas, menyimpang dari penghayatan dan iktibar yang Tuhan beri, semakin tak sedar diri, bahawa kapal yang dinaiki semakin bocor.
Segelintir yang celik bertungkus lumus menampal kebocoran yang semakin banyak, tapi sebahagian pula sibuk bertembak dan menyebabkan lebih banyak peluru sesat dan mencipta lebih banyak kebocoran.
Langsung buta dan tak ambil iktibar perang uhud. Tentera dah banyak terkorban, tercedera, tapi semakin sibuk pula berebut harta rampasan perang yang semakin sedikit. Masyaallah. Apa lagi yang boleh membuat mereka sedar. Kembali ke pangkal jalan.
Wahai para pemimpin tikus yang sedang membaiki labu, Wahai ketam kekenyangan yang dah tak mampu pun mengajar anak berjalan. Tolehlah ke belakang, lihatlah para pengikut, kekasih UMNO yang compang-camping, tetapi sedang menangis meratap, sambil bertungkus lumus menampal setiap lubang pada bahtera yang semakin tenggelam ini.
Berhenti membuat kerja tolol, berperangai seperti spastik, dan cepatlah bantu mereka menampal setiap kebocoran, atau semua akan karam bersama, dan kamu akan mati dengan sumpahan para pengikut (ahli & rakyat) tak berdosa yang akan sama terkorban....

Monday, June 22, 2009

PEMIMPIN:JIWA BESAR@CITA-CITA BESAR?

Isu Perpaduan, Apa Bezanya
BERJIWA BESAR & BERCITA-CITA BESAR?


Perdebatan tentang kerajaan perpaduan yang berlaku sekarang ini sekurang-kurangnya telah memperlihatkan kepada masyarakat tentang ciri atau kepribadian sebenar para pemimpin yang ada di hadapan mereka. Pendedahan itu sepatutnya memudahkan mereka membuat penilaian siapakah pemimpin sebenar yang patut mereka dukung, dan siapakah yang tidak layak untuk berada dalam gelanggang politik.


PEMIMPIN BERJIWA BESAR

Semakin tinggi diberi kuasa, dia semakin merendah diri, semakin tawaduk
Menghadapi setiap isu dan krisis dengan positif dan optimis.
Bersedia melupakan perselisihan, bersifat pemaaf dan bersikap terbuka.
Bersifat pelindung, sentiasa menasihat, tapi turut sedia menerima pandangan/teguran
Kepentingan rakyat keseluruhan sentiasa diberi keutamaan.


PEMIMPIN BERCITA-CITA BESAR

Semakin diberi kuasa, dia semakin tamak kuasa, tidak mahu berkongsi, angkuh.
Menghadapi isu dan perbincangan dengan prejudis/prasangka dan pesimis.
Bersikap memendam rasa, pendendam dan jumud.
Bersifat penakluk, diktator. Sentiasa mahu memberi nasihat dan arahan, tetapi
tidak bersedia menerima nasihat dan terguran.
Sentiasa memikirkan kepentingan diri atau kelompok kecil, bukan rakyat keseluruhan.

Rakyat sepatutnya tidak terkeliru menilai pemimpin berdasarkan imej dan label semata-mata, dan mereka seharusnya tahu meletakkan seseorang tokoh di tempat yang sepatutnya...

Wednesday, June 17, 2009

PERPADUAN: IKHLASvsPRASANGKA

PERPADUAN:
IKHLAS VS PRASANGKA



Sejak berlaku kegawatan politik beberapa tahun lalu, kita lihat beberapa perlakuan negatif semakin meningkat. Sikap biadap, kurang ajar, prasangka, tuduhan dan tuntutan melampau, provokasi dan dengki, bercampur baur dalam masyarakat. Di tengah-tegah kemelut itu, tiba-tiba Datuk Seri Najib melahirkan keyakinannya terhadap keikhlasan, orang yang boleh dianggap setengah orang sebagai musuh politik UMNO, Presiden PAS, Dato’ Seri Hadi Awang, untuk berbincang.
Saya fikir, hati kita patut tersentuh bila menghayati bahawa kenyataan itu dikeluarkan oleh Najib juga dengan ikhlas (dari psikologi riak wajah dan patah-patah perkataan yang diungkapkan). Rakyat, terutama para pemimpin, lebih khusus lagi pemimpin Melayu, patut mengambil iktibar dari keikhlasan pemimpin nombor satu itu. Kenyataan yang ringkas tapi penuh makna dan implikasi. Semoga semua pihak mula mengendurkan setiap ketegangan, membuang prasangka, melihat ke depan dengan cara yang lebih baik.
Akhirnya, keikhlasan itu akan teruji tahap dan kualitinya, dari sejauh mana pihak yang terlibat dalam perbincangan itu sanggup mengenepikan ego dan prasangka, citarasa dan cita-cita peribadi, dan memberikan keutamaan yang hakiki kepada masa depan bangsa.
Sebarang unsur seperti kebimbangan satu pihak kepada kemungkinan diperalat oleh pihak yang lain, atau kecelaruan emosi dari rekod sejarah yang negatif dari perspektif masing-masing, adalah gangguan kepada keihklasan yang patut dikikis.
Dalam persekitaran yang Melayu sudah terhimpit di sudut, saya optimis, bahawa kedua-dua pemimpin itu akan berupaya memikir dan merangka sesuatu yang penting untuk survival bangsa Melayu, dan negara Malaysia. Marilah kita berdoa agar kita akan melihat tahap seterusnya yang lebih positif dari keikhlasan tersebut.

Tuesday, June 16, 2009

1MALAYSIA - RUMAH API

1 MALAYSIA;

ANTARA JAMBATAN & RUMAH API

Sejak Dato’ Seri Najib mengutarakan gagasan utama kepimpinannya iaitu, ”1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Sebahagiannya bersifat akademik, ada pula bersifat spekulatif, sebahagiannya bersifat ekpektasi, tidak kurang pula yang menjadi provokatif (akibat daripada salah persepsi dan manipulasi) oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari suasana pemahaman yang kurang jelas masyarakat.
Polemik yang berpanjangan dan menarik itu, barangkali boleh kita ibaratkan seperti orang buta melihat gajah. Semua yang memberikan pandangan dari perspektif masing-masing, sebenarnya betul dan tidak salah, selagi pandangan itu berniat ikhlas dan bertujuan baik, serta tidak mendatangkan kesan yang tidak sihat. Ia telah menyuburkan budaya perdebatan terbuka yang bersifat ilmu dan kreatif.
Di celah-celah polemik itu, timbul beberapa soalan bukan sahaja dari kalangan pembangkang, malah di kalangan rakan dalam BN. Misalnya soalan;
.Sejauh manakah Najib benar-benar bersedia dan telah menghadam semasak-masaknya gagasan itu sebelum dia melancarkannya.
.Kedua apakah baik tindakan melahirkan gagasan yang menimbulkan satu polemik besar dan berpanjangan di peringkat nasional seperti itu?
Satu fakta yang barangkali kurang terlintas di dalam pemikiran para pengkritik ketika ini barangkali ialah realiti bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang bijaksana. Walaupun mendapat kelebihan dilahirkan sebagai anak Perdana Menteri, namun perjalanan politiknya yang bermula selepas ketiadaan bapanya bukanlah suatu laluan yang mudah.
Daripada seorang pemuda yang mentah politik ketika pulang dari luar negara, dan menjadi wakil rakyat, sehingga menjadi seorang Perdana Menteri; Berkolek dan dilanda pelbagai badai besar dalam politik negara dan parti selama empat dekad, di mana ramai senior dan sebaya, mahupun junior yang karam gagal mengharungi arus; Najib berjaya sampai ke garisan akhir – antara kebijaksanaan dan takdir.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri, apakah dia tidak mempersiapkan diri daripada segi perancangan dan pemikiran untuk mengambil alih tampuk. Tentu satu tanggapan yang silap jika ada yang cuba memandang rendah keupayaan pemikiran dan kredibiliti kepimpinan yang dimilki oleh Najib.
Najib ditakdirkan menjadi Perdana Menteri ketika prestasi UMNO dan BN berada pada tahap paling rendah dalam sejarah. Pada tahap ini, atas pelbagai faktor; nilai setia kepada pemimpin, malah setia kepada negara, juga berada pada tahap paling buruk sejak kemerdekaan. Nilai rasa kepunyaan kepada keharmonian dan kehidupan bernegara, tergugat dengan begitu besar. Budaya kurang ajar dan biadap, anti-establishment begitu meluap-luap. Rakyat seakan kehilangan jatidiri dan dengan agresif dikelirukan dengan pelbagai unsur dan pendekatan.
Satu Malaysia, lahir di tengah-tengah kemelut itu, sebagai satu rumah api.
Semua orang melihat diri sendiri. Semua orang membetulkan arah bahteranya. Ramai yang sebelumnya tersesat jauh perjalanannya, tetapi masih yakin arahnya betul, mula berfikir dan terdorong untuk berpatah balik. Sementara yang angkuh dan tak mahu mengakui diri tersesat, dan meneruskan perjalanan, sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan sesat.
Najib mungkin memang sedar gagasan yang dikemukakan itu akan menimbulkan polemik pada peringkat awalnya, tetapi percayalah, dia sangat meyakini bahawa hasil akhirnya akan menjadi titk temu yang akan melahirkan perpaduan yang jitu dan Malaysia yang hebat.
Hujahnya di sini ialah; adalah lebih baik mengetengahkan sesuatu yang kabur dan mengelirukan pada peringkat awal, tetapi motif akhirnya mewujudkan fokus yang tinggi dan titik temu yang luar biasa; daripada membiarkan banyak perkara yang jelas dan difahami tetapi telah dikelirukan dan dimanipulasi serta dikaburkan, oleh pelbagai pihak yang berkepentingan (seperti contohnya isu hak istimewa, DEB, kuota, institusi raja, dsb).
Satu Malaysia juga sebenarnya ialah satu jambatan lurus yang telah dibina oleh Najib untuk semua kembali kapada landasan asas dan kemudian melonjak mencapai dan menggenggam tahap tertinggi perpaduan dan kemajuan.
Polemik yang meluas telah meningkatkan fokus seluruh rakyat. Secara psikologi, itu adalah cara mendidik untuk mereka kembali kepada asas yang sangat berkesan. Agak provokatif, tetapi sangat mendidik. Semua orang mahu memberi pendapat, mahu terlibat dalam polemik dan perbincangan, dan semua orang diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, tetapi dalam satu wadah dan ke arah satu matlamat.
Pada tahap ini, walapun masih di peringkat krisis, kita sudahpun dapat merasakan bahawa rakyat sedang meraikan rasa keterlibatan kepada masa depan negara, berbanding sebelumnya yang penuh rasa tidak peduli, marah dan kecil hati. Mungkin tidak terlalu lama, segala polemik itu akan sampai kepenghujungnya dan kita akan melihat majoriti rakyat melangkah seiring mendukung cita-cita bersama, membina negara dan menjadikannya tempat terbaik untuk didiami oleh semua orang, seperti yang dihasratkan oleh Perdana menteri, dan tentunya oleh kita semua.
Apa yang sangat perlu sekarang ini ialah semua orang, apatahlagi para pemimpin dan ahli UMNO dan BN, memberikan keyakinan dan pemahaman serta komitmen yang tinggi kepada kepimpinan Najib, kemudian tampil memberikan pemahaman kepada rakyat, dan membantu, menyambung setiap hasrat dan perancangan kepimpinan.
Proses pemilihan pemimpin sudah berlalu (baik dalam parti atau PRU), maka setiap lapisan rakyat berkewajipan memfokuskan sokongan kepada pemimpin yang terpilih melalui proses demokarasi yang kita bersama iktiraf. Seluruh rakyat pula harus faham bahawa tugas memulihkan semula ekonomi dan perpaduan, jauh lebih besar dari politiking dalaman kelompok dan antara kelompok yang remeh tetapi kini semacam tidak berkesudahan.