Pages

Thursday, July 30, 2009

"SELANGOR JADI NEGERI SAMSENG"


“SELANGOR JADI NEGERI SAMSENG”
MENJELANG 5 TAHUN PR BERKUASA


Dalam tempoh setahun PR berkuasa, pertumbuhan pusat hiburan, rumah urut dan judi di Selangor telah meningkat 6 kali ganda, dari 700 kepada 4000.
Ini satu angka yang WOW!!! .
Satu strategi marketing luarbiasa yang sangat berkesan, dari kepimpinan korporat barangkali.
4,000 itupun angka yang berjaya dikesan. Kalau kita andaikan 25 peratus lagi gagal dikesan bermakna ada tambahan 1,000 lagi, jadi jumlahnya mungkin 5,000.

Kata orang, setiap pusat hiburan, biasanya dilindungi atau “membela” sekumpulan samseng. Kalau satu pusat itu “membela” 10 orang samseng, 5,000 premis bermakna ada 50,000 samseng. Kalau peningkatan itu berlaku secara konsisten selama 5 tahun PR berkuasa, bermakna ada kira-kira 25,000 premis, dan 250, 000 orang samseng akan berlegar di negeri itu.

Inikah hasil dari perjuangan “Islamik” PAS ?
Siapakah yang benar-benar bersahabat dengan syaitan ?
APA LAGI YANG BOLEH MEMBUAT PAS DAN PKR INSAF,
KEMBALI KE PANGKAL JALAN ?


Wednesday, July 29, 2009

LAYAN TUNTUTAN @ KUATKAN PERPADUAN

ADAKAH SEMUA INI
KONDUSIF UNTUK PERPADUAN ?

Untuk mewujudkan perundingan ke arah perdamaian, satu tempoh yang boleh dipanggil sebagai “gencatan senjata” adalah sangat diperlukan. Ia boleh dijadikan satu jangka waktu untuk bertenang, semua pihak memuhasabah diri, dan menyediakan persekitaran iklim dan mood yang kondusif ke arah perbincangan yang positif.

Dalam hal cadangan perundingan dan perpaduan UMNO dan PAS, adakah semua pihak sedar tentang itu, dan melakukan apa yang sepatutnya, untuk memastikan matlamat yang disasarkan tercapai.

Misalnya sikap para pemimpin bawahan yang suka membuat kenyataan provokatif, kecaman melampau, dan sengaja menimbulkan suasana hubungan semakin tidak selesa.
Begitu juga media arus perdana, mahupun media picisan, atau media arus baru, terutama yang sepatutnya mendukung mesej perpaduan Melayu, perlu menjauhi liputan yang besifat melaga-lagakan.

Keberanian pelbagai pihak membuat tuntutan melampau, penghakisan hak Melayu yang membimbangkan, HANYA BERPUNCA KERANA MELAYU LEMAH DAN TIDAK BERPADU. Maka jawapannya, jangan layan sebarang tuntutan, sebaliknya perkuatkan perpaduan.

Tapi ke arah mewujudkan perbincangan, semua pihak mesti bertanggungjawab menyediakan suasana yang kondusif.
SEMAKIN LAMA KITA BERPECAH – MELAYU SEMAKIN RUGI
SEMAKIN LAMA KITA LEMAH - SEMAKIN BANYAK KITA HILANG

Friday, July 24, 2009

KERANA KUASA-KORBANKAN JATIDIRI & AKIDAH

Nak Ambil Hati, Berpada-pada...
Bila Tersilap, Jangan Angkuh...

Peristiwa Anwar dan Nizar terlibat dengan perbuatan pelanggaran tingkahlaku seorang Islam dan Melayu - Jatidiri dan Akidah, dalam cuba nak tunjuk simpati yang luarbiasa dan ekstrem kepada kematian Beng Hock.
Apakah sikap dan respon mereka jika kesilapan besar itu dilakukan oleh seorang pemimpin BN?
Silap yang sebesar semut pun boleh direka menjadi sebesar gajah dan pengikutnya pun percaya…
Nasihat saya, orang Melayu dan Islam, kalaupun ghairah sangat nak berpolitik atau nak berkuasa, nak tunjuk hebat, ingat, di atas kita semua ada kuasa yang lebih besar dan hebat sedang memerhati. Sekali balak turun, bukan kita sahaja yang akan kena, tapi anak cucu yang tak berdosa yang sangat kita sayangi akan turut terkena bencana.
Apa lagi yang boleh membuat mereka tunduk insaf,
akui kesilapan dan balik ke pangkal jalan....
Sekarang ni semua orang berlagak macam dah tak ada jalan kembali. Kalau dah rosak, biarlah semua hancur lebur.
Apa nak jadi, jadilah. Apa aku peduli...

Thursday, July 16, 2009

KERANA MARAH - NEGERI TERGADAI

ADAKAH INI SATU
KONSPIRASI ?

4 Exco Selangor disiasat.
Ada yang disyakki rasuah, ada yang disyakki terlibat dengan kumpulan haram.
Sebelum ini, Exco ada lelaki simpanan dan bergambar bogel.
Inilah barisan pemimpin yang dihadiahkan oleh PAS, DAP dan PKR kepada rakyat.
Inilah habuan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang marahkan BN dan 'membaling undi' kepada PR.
Inilah barisan impian yang diharap lebih hebat dari BN.
Anehnya, tentu akan ada yang tetap menganggap mereka sebagai wira...
Anehnya, kita jarang mahu belajar dari sejarah, membuta tuli ketika sedang marah...

Tuesday, July 14, 2009

KEMBALI KE PANGKAL JALAN

PAKATAN RAKYAT
SERIGALA LAPAR DAPAT KUASA.

Perang babi di Kedah, Perang tanah di P.Pinang, Perang saudara, kacau bilau di Selangor.
Cukup cukuplah untuk buat rakyat faham dan jelas, bahawa PR adalah ibarat sekumpulan serigala lapar, yang rakus berebut dan menyiat-nyiat mangsa buruan. Kalau dulu mereka mengutuk BN habis-habisan walaupun jika ada silap kecil, hari ini secara terang dan gelap, ’membahagi habuan, jawatan dan peluang’ sesuka hati, dan membuta tuli.
Lihatlah di Selangor, belum pun sampai setengah penggal, isu berebut jawatan majlis tempatan, EXCO, malah jawatan MB, terus hangat didebatkan. Kerja hakiki semakin diabaikan.

Godaan kuasa dan harta sebagai pemerintah memang dahsyat. Rakyat menolak BN dalam PRU lalu kerana ramai wakil rakyat yang terkulai dengan godaan itu, rakyat meluat. Tapi terbukti apa yang ditakuti, berlaku secara lebih teruk dalam PR hari ini.
Jadi, rakyat dah patut sangat berhenti merajuk, kembali ke pangkuan BN yang sedang hebat menggerakkan perubahan dan kesedaran. Tak mengapa, marahkan anak tangan-tangankan, tapi jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Jangan pula, kerana Isteri tua merajuk, pergi ke rumah isteri muda. Tapi kalau dua-dua rasanya tak boleh pakai, pergi ke pilihan ketiga. Orang Melayu terutamanya, jangan sembarangan membuang BN seperti Quran buruk. UMNO adalah parti keramat yang penuh mistik dan misteri. Sinonim dan sebati dengan Melayu dan Malaysia. Hayatilah rentetan sejarah dan insiden atau pencapaian yang luarbiasa.
Kalau ada kerosakan kecil, sama-sama sabar dan betulkan, jangan dihumban parti yang jasa dan keupayaannya masih tiada tandingan.

Jangan kerana salah persepsi, konon berada di mulut buaya, dengan gelojoh melompat, tapi tergelincir ke mulut naga. Kembalilah menjadi padi (makin tunduk makin berisi), menjadi ubi (diam-diam berisi), menjadi tuah (setia dalam bijaksana), jangan jadi jebat (yang derhaka membuta tuli), menjadi lalang (yang ikut arah angin) menjadi enau dalam belukar dan menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan. Jangan korbankan anak hanya kerana telor ikan tembakul. Tinggalkan lebai malang dan si luncai. Jadilah Tun Perak, Hang Nadim, dan Panglima Hitam.

Friday, July 10, 2009

PPSMI - JANGAN HENTAM KEROMO

NAK BANGUNKAN BANGSA
TAK BOLEH HENTAM KEROMO
Nak bangunkan bangsa, bukan macam nak buat kilang bertih/keropok. Ada cara untuk mempercepat pembinaan tamadun, tapi tak ada jalan singkat menjanjikan kejayaan. Kebangkitan empayar Rom memakan masa hampir seratus tahun, tetapi kebangkitan Islam di bawah pimpinan Nabi dan para sahabat cuma mengambil masa sekitar 30 hingga 40 tahun sahaja. Ada modelnya, tapi pun bukan jalan singkat.
Kaji kekuatan dan kelemahan tamadun dan bangsa-bangsa besar lain, adaptasi pengalaman dan ilmu mereka, tetapi kita bina tamadun berteraskan acuan sendiri.
PPSMI adalah manefestasi membangunkan bangsa dengan tergesa-gesa, mengguna acuan orang lain, akibat ketidakyakinan kepada acuan sendiri, akibat keserakahan menghadapi provokasi globalisasi.
Nak bina tamadun, bukan macam nak bina istana pasir. Anggaplah macam nak bina piramid. Berjaya dibina dan kukuh bertahan beribu tahun. Jangan lupa bahawa yang nak kita bina ialah manusia, bangsa kita. Baik matematik, sains, atau teknologi, atau benda apapun yang terhebat di dunia, ia cuma sekadar alat. Perkara yang wajib diberi fokus utama ialah manusia itu sendiri. Bukan bermakna alat itu tidak penting, tetapi mungkin nombor dua.
Bahasa adalah salah satu komponen yang sangat dominan dalam aspek budaya dan jatidiri. Satu perkara yang tidak nampak, tidak boleh dinilai oleh ujikaji makmal. Ia bukan sekadar manifestasi naluri dan perasaan, atau world view, malah salah satu unsur dalam roh, dan denyut nadi sesuatu bangsa. Kesilapan besar kita apabila menganggap enteng perkara yang tidak boleh kita lihat atau pegang, sedangkan ia perkara tunjang kepada jawapan kenapa kita boleh berdiri. Seperti graviti. Seperti falsafah hidup. Seperti weistanchung.
Ia satu perkara yang agak akademik, filosofik, sehingga barangkali para pendukung bahasa dan budaya, sukar nak berkomunikasi dengan rakyat dan meyakinkan pemimpin untuk mendengar nasihat mereka, betapa kita sedang berdepan isu yang sangat pokok, tapi gagal difahami dan dianggap remeh.
Langkah Najib mengembalikan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu, satu langkah yang tepat dalam keperluan membina bangsa dan tamadun, mengikut acuan sendiri.
Salah satu ciri globalisasi ialah kemungkinan bangsa kecil ditelan oleh gelombang besar yang didominasi bangsa tertentu. Dan dasar PPSMI sebelum ini ialah satu langkah membenarkan bangsa kita ditelan oleh ular besar itu. Tidak pula bermaksud kita mesti jumud, bertahan dan menolak segala kebaikan. Kita mesti terbuka, terima segala kehebatan, tapi dalam masa yang sama, kita bina kehebatan sendiri.

Tun Dr. Mahathir sendiri mengakui pada detik akhir sebelum berundur, selama 22 tahun memimpin, beliau gagal mengubah sikap orang Melayu. Tun Abdullah juga sudah mengesan kepincangan itu, dengan memberikan fokus yang besar kepada aspek bina insan, intergriti, mentaliti kelas pertama. Namun masih tidak ada satu perancangan, apa lagi pelaksanaan yang jitu dan konkrit.
Ini adalah satu vakum yang terbiar selama beberapa dekad. Dan Najib sudah mula melihat vakum itu. Maka sewajarnya beliau memberi fokus yang besar kepada segala aspek berkaitan isu membina manusia, membina jatidiri, membina bangsa ini. Kita tidak harus terperangkap dengan memberi fokus besar kepada isu luaran yang cuma kosmetik.
Kita boleh membantu seorang usahawan berjaya dalam sekelip mata, tetapi tanpa kekuatan dalaman yang kukuh, dia boleh jadi bankrap keesokan harinya. Atau dia menjadi seorang yang sangat berjaya sepanjang hidupnya, tapi tanpa pembinaan budaya usahawan atau budayaniaga di kalangan generasi pelapis, kejayaannya gagal diwarisi hatta oleh generasi keduanya pun. Bagi bangsa yang memiliki jatidiri dan daya saing yang tinggi, kejayaan oleh satu generasi akan menjadi landasan kepada kejayaan lebih besar generasi seterusnya.
Kebudayaan adalah teras dalam membina bangsa atau tamadun. Sementara bahasa pula adalah teras kepada kebudayaan, satu aspek non-fizikal, yang sangat dominan tetapi selama ini dipandang remeh, malah dipinggirkan setiap kali kita merangka sebarang dasar. Saya fikir Najib jelas tentang itu, dan beliau perlu diberi sokongan dan nasihat yang sewajarnya untuk menjayakan segala gagasannya itu.

PPSMI-KEPUTUSAN SUDAH DIBUAT-SOKONGLAH

NAJIB JAGUH BAHASA MELAYU
Tun Abdul Rahman Yaakub
Petikan daripada Berita Harian

Tun Abdul Rahman Yaakub menyifatkan Datuk Seri Najib sebagai jaguh bahasa Melayu, menyamai ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Keputusan melaksanakan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia. "Saya sokong 100 peratus langkah ini. Ia tindakan yang wajar dipuji.”
Tun Abdul Rahman bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu pada 1970, iaitu suatu penegasan semula dari Penyata Razak, Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Beliau adalah ahli politik veteran, berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, bekas Ketua Menteri Sarawak (1970-1981) dan Yang Dipertua Negeri Sarawak (1981-1986).
Ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1969, Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) mengarahkan beliau mengkaji dan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam semua mata pelajaran.
Pada 1969, Tunku Abdul Rahman meminta beliau mengkaji penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal di semua jabatan kecuali bidang perundangan dan mahkamah.
Abdul Rahman tidak bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir bahawa keputusan itu akan menjejas masa depan generasi muda dan menyukarkan mereka belajar serta mengetahui perkembangan dalam bidang sains.
Beliau berkata, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dapat dilakukan dengan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris. "Justeru, saya lihat keputusan kerajaan pimpinan Najib amat tepat. Mewajibkan lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM satu keputusan tepat.”

Tuesday, July 7, 2009

PERJUANGAN DIKOMODITIKAN

APA JADI PADA MELAYU,
SIAPA PEDULI?


Selama ini, orang yang sentiasa berfikir tentang apa yang akan terjadi kepada negara ini dan apa akan terjadi kepada orang Melayu adalah orang Melayu. Dari dulu sampai sebelum ini. Orang lain saya tak fikir langsung mereka peduli apa akan terjadi kepada negara ini dan orang Melayu. Tapi sekarang kita tengok, tak ada siapa lagi yang peduli, apa nak jadi kepada negara ini dan orang Melayu - termasuk orang Melayu sendiri.
Orang Melayu dalam keadaan paling lemah. Kalau dulu, bila politik Melayu lemah, ada pelbagai NGO, tokoh-tokoh akademik, dsb yang bangkit serius, dengan garang dan teguran dan nasihatnya didengar. Sekarang, semua dah berfikir macam orang bisnes opotunis. “Apa aku dapat?” Perjuangan dah dikomoditikan.
Hari ini, orang Melayu macam lemah dari atas sampai bawah. Semua lesu dan macam pasrah - tak tau pasrah kepada siapa. Orang lain jangan lupa dan sombong, orang Melayu jangan lupa dan tertipu, walaupun ekonomi masih tertinggal tapi teras dan tiang seri negara ini ialah Melayu. Kalau semua tak peduli kepada Melayu, rosak Melayu, hancurlah negara ini. Cuma masanya yang kita tak pasti. Pemimpin politik Melayu Islam nampak sangat tak cerdik dan sombong. Melayu tengah lemah dan dipijak. Tak faham-faham lagi. Perlu sangat parti-parti Melayu duduk semeja berbincang, berpadu.
Bateri Melayu sedang sangat lemah, kena charge. Bersatu Melayu, orang lain hormat. Mereka tak berani tuntut yang bukan-bukan, dan pijak kepala. Mereka berani kerana kita lemah. Jadi jawapannya, jangan layan tuntutan sembarangan. Sebab isu pokoknya ialah Melayu lemah. Melayu kuat, mereka akan berhenti kurang ajar. Tak kan pemimpin Melayu-Islam yang banyak cerdik-cerdik tak faham itu. Jadi, kerja utama para pemimpin dan pemikir Melayu ketika ini ialah memastikan bagaimana nak membangkitkan rasa kepedulian orang Melayu kepada dirinya sendiri. Dan bagaimana perpaduan Melayu dapat segera diwujudkan, dalam masa yang singkat. Tentu ada caranya. Kita dah terhimpit ke dinding, Cuma tindakan segera yang boleh menyelamatkan Melayu.

Anggaplah Melayu dalam keadaan DARURAT.

Monday, July 6, 2009

NIK AZIZ KUBUR PERPADUAN

AWAS!
JANGAN DIGANGGU!!
NIK AZIZ SEDANG MABUK CINTA DENGAN DAP!!!

Datuk Nik Abdul Aziz berkata cadangan kerajaan perpaduan demi kepentingan Melayu telah ‘berkubur’ dan Pas tidak akan menyebutnya lagi. Beliau berkata, ruang untuk Pas atau UMNO berbincang lagi mengenai isu tersebut sudah tertutup kerana Pas telah mencapai perpaduan melalui pakatan pembangkang.
“Isu (kerajaan) perpaduan kami dah tanam, dah berkubur. Pakatan adalah lebih melambangkan perpaduan, lebih daripada maksud perpaduan iaitu ia terdiri daripada berbilang kaum. “Melayu buat apa? Tak usahlah timbul isu perpaduan itu lagi kerana kami dah baca talkin, jadi apa masalahnya?” tegas beliau.
Beliau sekali lagi ditanya berhubung cadangan dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di sini hari ini. – Petikan Utusan Malaysia

Wednesday, July 1, 2009

INSAN KERDIL BERJIWA BESAR

Petikan daripada Utusan Malaysia 1 julai 2009.
Marilah kita hayati makna kredibiliti & intergriti. Dalam keserabutan manusia memburu wang dan harta secara membuta tuli, tak toleh halal haram, ada insan kecil yang tak heran dengan jutaan ringgit di depan mata.

LANS KOPERAL & KOPERAL
TOLAK RASUAH RM½ JUTA


Gaji anggota polis biasa bukanlah begitu besar namun Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi Arbayee tidak pernah gelap mata apabila ditawarkan rasuah RM500,000. Suspek yang ditahan sempat berkata "awak ambillah wang di dalam poket seluar saya ini, ada RM10,000 dan akan serahkan lagi RM500,000 kemudian, tolong lepaskan saya dan kawan saya".
Mereka menolak tawaran itu dan membuat laporan. Ketegasan mereka telah menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis syabu yang terbesar di negara ini. Pada 2 Mei lalu, mereka menahan sebuah lori yang mencurigakan, hasil pemeriksaan ia membawa syabu seberat 978 kilogram bernilai RM280 j.
Hari ini mereka mendapat penghargaan tertinggi Sijil Integriti yang ditandatangani dan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri di Parlimen . Mohd. Surani, 44, hampir menitiskan air mata, begitu sebak apabila ditanya perasaannya menerima penghargaan tersebut kerana begitu terharu tindakannya itu mendapat perhatian pucuk pimpinan pasukan dan negara.

"Saya berpegang dengan integriti pasukan ini apabila menolak tawaran rasuah itu," katanya sambil menunjukkan lencana Integriti yang disemat pada pakaian seragamnya.
"Saya harap rakan-rakan kami di luar sana akan menjadikan kami sebagai contoh," katanya. Tarmazi, 25, yang baru lima tahun berkhidmat. P
olis berjaya menyita harta pengedar bernilai RM22 j termasuk wang tunai RM4 j. Selain menerima sijil, cenderamata dan wang saguhati, mereka dinaikkan pangkat Detektif Sarjan dan Koperal.