Pages

Tuesday, December 21, 2010

DAP KATA UTUSAN RASIS ? TENGOK CERMIN....

SEORANG wartawan akhbar Utusan mengirim e-mel kepada sebuah syarikat dalam industri pelancongan untuk menawarkan satu bentuk kerjasama. Niat rakan media tadi adalah murni iaitu untuk mempelawa syarikat tersebut menjadi sumber kepada bahan berita bagi ruangannya. Sepanjang penulis menjadi wartawan, pelawaan sebegitu kebiasaannya akan disambut dengan tangan terbuka.

Ini kerana ia memberi peluang kepada pihak terbabit mempromosikan aktiviti atau perkhidmatan mereka kepada orang ramai secara percuma. Ia sebenarnya lebih kepada satu situasi menang-menang kerana kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Namun keadaan sebaliknya berlaku kepada rakan wartawan tadi. Pelawaannya bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi turut disertakan dengan sindiran yang sinis dan menyakitkan hati.

Balasan e-mel yang diterima selepas diterjemah ke dalam bahasa Melayu berbunyi lebih kurang begini: ''Minta maaf, saya memiliki pandangan yang tidak baik terhadap akhbar ini. Akhbar ini menyebarkan sentimen perkauman dan tidak sepenuhnya benar. Saya tidak boleh membenarkan syarikat ini bekerjasama dengan perkara (perkauman dan tidak sepenuhnya benar) sebegitu,".

Kami tidak kisah jika syarikat tersebut menolak untuk bekerjasama. Tetapi untuk mengatakan akhbar ini rasis dan berbohong, ia adalah satu tuduhan yang melampau dan sangat tidak berasas. Adakah wakil syarikat yang mengirim e-mel balasan itu benar-benar membaca akhbar Utusan Malaysia untuk membuat penilaian sedemikian terhadap akhbar ini?

Penulis berpendapat, wakil syarikat itu sebenarnya langsung tidak pernah meluangkan masa untuk meneliti akhbar ini. Kerana jika beliau berbuat demikian, tuduhan sebegitu tidak akan dibuat secara melulu. Penulis juga sangat yakin, wakil syarikat itu juga tidak pernah membaca akhbar lain termasuk akhbar bahasa ibundanya sendiri iaitu akhbar Cina.

Jika wakil syarikat itu benar-benar membaca dan meneliti akhbar Cina, penulis kira tanggapan beliau terhadap akhbar ini akan berubah serta-merta. Rakan-rakan media di akhbar Cina jangan salah faham dengan kenyataan ini. Penulis tidak mengatakan akhbar Cina rasis atau menggalakkan sikap perkauman. Tetapi apa yang cuba penulis jelaskan di sini ialah, pada kebanyakan masa, akhbar-akhbar Cina akan menjadi jaguh dan menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Cina.

Ini termasuklah dalam soal agama, budaya, bahasa, pendidikan, ekonomi, sosial dan banyak lagi. Justeru, apa bezanya perjuangan akhbar-akhbar Cina itu dengan akhbar Utusan Malaysia? Bukankah akhbar ini juga perlu menjadi suara bagi orang Melayu dalam isu-isu yang berkaitan secara langsung dengan masyarakat Melayu dan bumiputera?

Atau mungkin wakil syarikat tadi mahu semua akhbar di negara ini tidak kira berbahasa Melayu, Mandarin, Tamil atau Inggeris hanya fokus kepada masalah masyarakat Cina semata-mata? Baru akhbar di negara ini boleh dikatakan tidak perkauman, tidak berbohong, adil dan bebas?

Apa yang boleh disimpulkan daripada e-mel wakil syarikat itu ialah satu bentuk ketidakfahaman yang jelas orang ramai terhadap peranan media. Sebagai akhbar arus perdana, Utusan Malaysia menjunjung tinggi semangat perpaduan dan kebersamaan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Itu adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pengamal media sekali pun. Begitu pun penulis mengakui akhbar ini terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008, agak lantang dan ke hadapan dalam perjuangan berkaitan isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

Namun pembaca terutama yang bukan Melayu perlu faham, selepas pilihan raya 2008, terlalu banyak serangan ditujukan terhadap orang Melayu dan agama Islam. Ia termasuk dalam isu bahasa, biasiswa, kuota, ekuiti, kedudukan raja-raja, sehinggalah kepada kesucian kalimah Allah. Malah, suara-suara sedemikian masih lagi kedengaran sehingga ke hari ini. Sedangkan perkara-perkara itu sudah disebut dengan jelas di dalam perlembagaan sebagai hak-hak istimewa orang Melayu. Maka, Utusan Malaysia perlu menjelaskan kedudukan sebenar mengenai perkara tersebut kepada khalayak pembaca agar orang ramai tidak dipesongkan daripada hakikat sebenar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mencetuskan isu tersebut.

Penulis tidak melihat apa yang dilakukan oleh akhbar ini serta akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lainnya itu sebagai satu tindakan perkauman. Ia sebaliknya lebih kepada tanggungjawab dalam mempertahankan apa yang hak dan memperbetulkan salah tanggapan di kalangan sesetengah pihak yang bersikap oportunis.

Apakah dalam hal ini, orang Melayu boleh berharap kepada akhbar Cina, Tamil atau Inggeris untuk memainkan peranan itu? Begitu pun, penulis tidak menyalahkan wakil syarikat itu kerana penulis yakin beliau tidak berseorangan dalam berpandangan sedemikian. Ramai sebenarnya yang mendapatkan gambaran yang tidak tepat mengenai Utusan Malaysia. Sentimen politik juga tidak menyebelahi akhbar ini apabila pembangkang boleh disifatkan berjaya membalikkan imej akhbar ini sebagai rasis dan tali barut kerajaan.

Lihat sahaja bagaimana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh pendokong dan peminat akhbar ini sebagai bukan rakyat Malaysia sebenar kerana kononnya menggunakan fahaman ekstremis. Sikap pemimpin politik seperti ini yang menyalahkan akhbar kerana melaporkan kepincangan parti dan pentadbirannya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Guan Eng serta pemimpin politik sealirannya tidak boleh mengharapkan media memuji beliau melangit ketika kebajikan rakyat terutamanya masyarakat Melayu di Pulau Pinang tidak diendahkan. Penulis tidak mahu menulis panjang mengenai sikap ahli politik sebegini kerana cukup faham agenda di sebalik tindakan mereka menghentam akhbar ini. Tetapi pembaca di luar sana perlu lebih realistik dalam menilai akhbar ini dan tidak terikut-ikut dengan sentimen yang dimainkan oleh ahli politik.

Nasihat penulis kepada wakil syarikat tadi serta pembaca lain di luar sana, luangkan masa meneliti kandungan akhbar ini dan fahami apa yang kami perjuangkan. Penulis yakin jika peranan Utusan Malaysia sebagai 'Penyebar Fikiran Rakyat' benar-benar difahami, wakil syarikat tersebut serta ramai lagi yang berpandangan seperti beliau akan menjadi pembaca setia Utusan Malaysia selepas ini. Petikan U.Malaysia


ULASAN : Tesis saya di peringkat M.A ialah: AKHBAR DAN ISU PERKAUMAN 1987; TUMPUAN KHUSUS KPD WATAN, THE STAR & SIN CHEW JIT POH. Apabila juara-juara perkauman Cina cuba menuduh akhbar Melayu spt Utusan sebagai rasis, saya fikir dia sedang cuba memperbodohkan masyarakat. Pertama spt tulisan di atas akhbar-akhbar berbahasa Cina adalah medium yg jauh lebih rasis. Kedua dlm kajian itu terbukti bahawa tokoh-tokoh DAP dan Cina yg lain ketika itu telah menjadi demagogue yg sgt berkesan membakar semangat perkauman di kalangan kaum Cina.
SEMOGA MASYARAKAT FAHAM ITU DAN TIDAK MUDAH TERPENGARUH DGN LAKONAN-LAKONAN POLITIK YG CUBA MENGELIRUKAN MEREKA.

Monday, December 20, 2010

KITA ADALAH PEWARIS YANG SETIA

Dari darah,

Dari keringat dan dari air mata

Para pejuang silam

Nostalgia ini adalah penggugah

Kepada rasa kasih nenek moyang

Penggoncang rasa rindu dan tanggungjawab

Pada generasi yang bakal dilahirkan.

Kita adalah pendukung sumpah dan amanah, pejuang perkasa !



Di sini,

Mari kita bongkar segala kekuatan

Mari kita bongkar segala rahasia

Mari kita hayati segala amanah para wali,

Mari kita kembali suburgagahkan

Akalbudi kebijaksanaan dan tunjang jatidiri,

Menerobos segala caci maki

Menentang segala penggugatan teras dan tiang seri



Usah dipersiakan darah Jebat

Usah dikhianati janji Tuah

Jangan dihina tangisan Maharajalela

Jangan dinodai amanah Zaaba !

Mari kita tukar luka sejarah

Menjadi madu dan bangkitkan kekuatan luarbiasa !

Kita tidak perlu meratapi cahaya yang padam

Kita tidak perlu untuk terus kehilangan

Mari kita bina perpaduan yang goyah

Mari kita jalin kesetian pada bangsa kepada Tuhan



Kini,

Kita terpulas angin kencang perjuangan

Menitiskan titik-titik hitam sejarah dan watan

Terjebak dengan hujah yang mengelirukan,

Bersengketa sesama sendiri konon tajam ideologi

Bertimbang pada wasangka berdalil pada riak dusta.

Membisikan kebenaran tapi menutup pintu hati

Menanam kejujuran tapi menabur jarum fitnah

Menghulurkan tangan tapi melafazkan dendam curiga

Mengikat persaudaraan tapi luntur di tengah perlumbaan,

Petah berhujah tapi mencemar akidah

Sanggup mengalah kerana kuasa !!!

Memilih kera dari anak sendiri

Mengasah muslihat tapi memperdaya bangsa

Menjangkau globalisasi tapi menukar haluan hakiki

Menjulang kebebasan tapi daif berfikir dan merencana



Kita bukan bangsa yang ditenggelami emosi

Kita bukan bangsa yang kehilangan strategi

Kita bukan bangsa yang menolak paradigma

Kita bukan bangsa yang dangkal fakta dan hujah

Kita bukan bangsa yang rela menjual maruah !



Kita bukan bangsa yang daif berfikir

Kita bukan bangsa yang menyerah kepada takdir

Kita bukan bangsa yang dibelengu kebebalan

Kita bukan bangsa dayus bila ada yang cuba membongkar pusara nenek moyang !

Kita tidak rela hidup dijajah semula !!!



Kita bukan bangsa berjiwa kecil

Melayu adalah bangsa besar dalam kesejagatan

Yang merencana dan memayungi penuh ehsan

Mengukir Malaysia maju gagah perkasa

Mendukung maruah pengibar bendera Melayu Islam seluruh alam

Kita adalah warga dunia bermaruah tinggi penegak kebenaran !



Kita bukan pewaris yang bakal mengemis

Kita adalah pewaris yang gagah, perkasa dan setia.



Oleh :
zainal mohd jais/ahmad sarju
MPM 27 Feb 2010
KSS,  K. Lumpur

Thursday, December 16, 2010

JANJI TPM ANWAR ISU LAPOK & KALUT

Akhbar China Press terbitan 11 Disember menyiarkan sebuah artikel mengenai isu Timbalan Perdana Menteri daripada kaum Cina seperti yang dijanjikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Artikel bertajuk 'Isu Timbalan Perdana Menteri, pisau bermata dua' itu tersiar di ruangan perbincangan rakyat halaman 17 akhbar berkenaan.

Menurut penulisnya yang menggunakan nama samaran Pelangi Timur, isu Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang baru. Malah, Kit Siang sendiri sudah bosan mendengarnya. Justeru kenapa Anwar menimbulkan perkara itu ketika ini? Sudah semestinya beliau mempunyai agenda tersendiri. Ramai yang berpandangan Anwar menimbulkan isu ini kerana berharap mendapat sokongan daripada orang Cina pada pilihan raya umum akan datang.

Apa yang disebut Anwar itu juga sudah tentu membawa mesej tertentu. Jika pakatan pembangkang memerintah kerajaan pusat, adakah beliau menjadi ketua segalanya. Beliau mahu dua lagi parti komponen pakatan pembangkang tunduk dan setuju dengan pandangannya.

Anwar mungkin akan kecewa kerana strategi ini perlu mendapat sokongan penuh. Sedangkan jika kita lihat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah pun bersuara. Kata Nik Aziz, jika Kit Siang mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau perlu menjadi orang Islam yang kuat.

Hubungan Anwar dan Nik Aziz ini sendiri bermasalah. Ia menggambarkan ada perbalahan antara Pas dengan PKR. Lebih jelas, antara Anwar dan Nik Aziz banyak perkara yang perlu diselesaikan. Jika tidak, antara mereka akan timbul banyak perbalahan dan pandangan yang berbeza-beza.

Kerjasama mereka hanya nampak pada permukaan sahaja. Tetapi di bawahnya, mereka saling bertelingkah. Ini tidak menguntungkan penyatuan pakatan pembangkang. Tulis Pelangi Timur lagi, jika pakatan pembangkang mahu menumpukan sasaran ke Putrajaya, mereka tidak boleh mengabaikan pandangan yang berbeza-beza ini.

Tapi itu juga memang mustahil berlaku. Walaupun sepakat, pakatan pembangkang belum tentu melaksanakan tugas-tugas dengan baik. Dalam isu Timbalan Perdana Menteri juga, orang bukan Melayu tidak pernah mengambil berat mengenai perkara itu. Kerana jawatan itu hanya simbolik sahaja dan tidak ada kuasa penuh. Sedangkan orang Cina tidak berminat dengan kuasa yang tidak sepenuhnya.

Jika ia menjadi isu yang begitu hangat sehingga menyebabkan negara menjadi huru-hara, maka orang Cina sendiri akan menjauhinya. Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO mungkin berasa tidak selesa dengan isu ini.

''Tetapi kesannya tidaklah membimbangkan. Sebaliknya isu ini hanya akan melemahkan pakatan pembangkang. Sebab sebelum ini pemimpin UMNO juga pernah berkata, orang bukan Melayu boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri II. Ini menunjukkan isu itu tidak begitu tinggi dan penting," tulis Pelangi Timur. (petikan U.Malaysia)

Friday, December 10, 2010

MAMPUKAH MELAYU BERSAING PD ABAD BARU ?

B.Harian 2010/12/10

BAGAIMANA Melayu di negara ini bersaing dengan bangsa lain di rantau Asia pada abad ini? Adakah memadai dengan kuasa atau keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hasil perjuangan pemimpin terdahulu atau berbangga dengan jumlah cendekiawan, profesional mahupun pemimpin Melayu?
Tidak ada sesiapa mampu meramal tetapi berdasarkan sejarah, Melayu terkenal dengan warisan budaya, budi bahasa, pelayar terkemuka dan peniaga. Dalam konteks kontemporari dan akan datang, apakah generasi seterusnya mampu menandingi kejayaan Melayu terdahulu yang terbukti kehebatannya. Dalam konteks Malaysia, Melayu golongan majoriti daripada 28.25 j penduduk, bertutur bahasa serta mengamal budaya Melayu dan beragama Islam.

Pensyarah Universiti La Trobe, Australia, Prof Dr Joel Simmons Kahn, ketika membentangkan kertas bertajuk Malay-ness: Other Pasts, Other Futures menggambarkan Melayu sebagai bangsa yang memiliki sifat taat, pasif, berserah, sederhana, jujur, pemurah dan mudah membantu. Beliau berkata, lebih menarik apabila garapan filem Tan Sri P.Ramlee menjadi bayangan siapa sebenarnya Melayu ketika itu.
Joel memberi gambaran menerusi watak dalam filem Penarik Beca apabila P.Ramlee menjadi pemuda miskin dengan latar belakang kampung ketika Melayu belum kenal pembangunan dan perbezaan darjat yang menjadi ukuran kedudukan mereka. Umum sedia maklum, P.Ramlee banyak memaparkan watak baik dan jahat yang digarab secara berkesan. Watak jahat yg sering diwakili golongan atasan menggambarkan bagaimana sikap atau cara mereka menindas golongan bawahan.

Joel menjadikan filem P Ramlee seperti Penarik Beca, Semerah Padi dan Labu Labi sebagai contoh. Latar hidup dan watak dalam filem itu banyak menggambarkan sikap dan cara hidup orang Melayu. Watak Haji Bakhil umpamanya, seorang ahli perniagaan, berkedudukan dalam masyarakat dan seorang haji. Beliau mencerminkan kedudukan Melayu atasan yang baik, namun kedekut.
Joel pakar antropologi selama 3 dekad berkata, apa yang digambarkan P.Ramlee adalah gaya hidup Melayu selepas merdeka yg ternyata sebelum itu mempunyai cerita tersendiri. “Dari sudut demografi, Melayu tinggal di kampung, bertani sebagai sumber ekonomi dan hidup sederhana. Mereka juga terdiri daripada apa yg saya namakan Melayu lain. Golongan ini terdiri daripada Melayu yang datang dari seluruh kepulauan Melayu dan selatan Thailand malah hingga ke Hyderabad, India. Selepas merdeka, merekalah kaum yang membentuk Melayu dan Bumiputera.

Diberi keistimewaan dan kerana terlalu ingin mengangkat kedudukan Melayu di tengah masyarakat, P.Ramlee lupa memasukkan unsur kaum lain yang ketika itu wujud di negara ini.” Selepas beberapa fasa perubahan seperti penjajahan British, Jepun dan kembali kepada British membuatkan Melayu mula berfikir kedudukan mereka dan nasib jika terus dijajah. Mereka sedar perlu berubah, akhirnya bangkit menentang. Mereka melakukan sedikit demi sedikit perubahan dan berhijrah ke bandar. Melayu mula membabitkan diri dalam perniagaan hingga semakin ramai Melayu yang berjaya.
Persoalannya pada abad baru ini, di manakah kedudukan Melayu? Adakah mereka mampu bersaing untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bangsa Jepun, China dan bangsa lain di Asia untuk membentuk abad baru Asia yang bakal menjadi kuasa baru dalam bidang ekonomi, politik dan membentuk satu identiti bangsa Asia

ULASAN : Tidak salah untuk membuat satu analisis bandingan dari filem-filem P.Ramlee dgn masyarakat Melayu semasa. Satu percubaan yg bagus juga oleh seorang ahli antropologi utk menggunakan filem sbg medium membaca karektor masyarakat.
Walaupun benar karya seni itu satu cerminan masyarakat, namun saya fikir tentu kurang adil utk membuat penyeluruhan kpd karektor umum org Melayu ketika itu dgn menyelak beberapa buah filem sahaja.
Ini kerana;
1. P.Ramlee telah menggunakan filem sbg alat menyindir/mendidik masyarakat. Maka sudah tentu banyak insiden-insiden kecil dalam masyarakat yg secara sengaja diperbesarkan utk memberikan implikasi nasihat. 
Maka tentu yg dipaparkan bukan watak dominan Melayu spt yg diramalkan itu.
2. Kalau benar Prof Dr Joel Simmons Kahn, seorang pakar antropologi berwibawa, dan ingin melihat @ menganalisis manusia Melayu secara tuntas, beliau sepatutnya membuat satu kajian komprehensif. Filem barangkali hanya satu persepuluh dari bahan analisisnya.
3. Apa lagi dalam konteks utk membuat ramalan @ jangkaan, kepada keupayaan masa depan orang Melayu mengharungi persaingan global. Analisis spt itu menjadi sangat dangkal utk menjadi "satu titik tolak yg bermaruah" bagi seorang ahli akedemik, dlm membentuk sikap atau memberikan pandangan.