Pages

Saturday, August 6, 2011

UNISEL MANGSA PERCATURAN POLITIK

Desas-desus mengenai kedudukan Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang kedengaran sejak hujung minggu lalu akhirnya benar-benar terjadi apabila beliau nekad meletak jawatan dengan notis 24 jam! Seperti tindakan Kamikaze, keputusan seperti itu jarang berlaku. Tindakan itu benar-benar memaparkan sikap seorang ketua yang bertanggungjawab ke atas pegawai bawahannya. Beliau tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai kanannya tanpa mengikut prosedur.

Namun, oleh kerana arahan melucutkan jawatan pegawai tersebut datangnya daripada kuasa seorang Menteri Besar, maka jalan terbaik adalah beliau melepaskan jawatan Naib Canselor Unisel secara sukarela. Ternyata kemelut yang melanda Unisel yang berjaya dihidu sejak kerajaan negeri mengambil langkah menjenamakan semula universiti daripada nama asal Universiti Industri Selangor. Peletakan jawatan Rosti menyaksikan kemelut itu ibarat 'bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru' lagi.

Apa yang tidak kena dengan Rosti sebenarnya? Sedangkan pelantikannya dibuat sendiri Abdul Khalid Ibrahim. Rosti yang berasal dari Klang itu dipelawa pulang ke Selangor untuk melakukan tugas 'khidmat negara' dan beliau bersetuju menyahut seruan murni itu. Khalid melihat pengalaman Rosti yang pernah menjadi Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai aset penting memajukan lagi Unisel.

Namun, apa yang menghairankan mengapa beliau tidak bersikap mempertahankan Rosti sebagaimana beliau begitu hebat mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki membabitkan masalah pengurusan kewangan yayasan itu. Ihlam adalah orang pilihan Menteri Besar. Beliau dipanggil pulang ke tanah air untuk menerajui Yayasan Selangor meskipun panel pemilihan mencadangkan orang lain.

Berbeza dengan Rosti, Menteri Besar sedia maklum bahawa tekanan yang dihadapi bekas Naib Canselor Unisel itu adalah akibat politik dalaman yang ada unsur politik kepartian apabila terdapat usaha terancang peringkat tertinggi untuk menyingkirkan beliau sejak Januari lagi.

Faktor sentimen politik dan kem peringkat atasan kelihatan lebih dominan untuk membuatkan Rosti meletakkan jawatan meskipun dalam keadaan beliau dikatakan mendapat kepercayaan warga kampus termasuk 5 daripada 7 dekan di Unisel. Abdul Khalid juga sedia maklum tentang kemelut itu lebih awal dan mungkin telah menyaksikan betapa serabutnya perbalahan di kalangan manusia akademik di Unisel itu.

Beliau telah menubuhkan pasukan petugas khas dianggotai tiga ahli lembaga pengarah Unisel sendiri. Namun ia gagal diselesaikan, sebaliknya membiarkan kemelut itu berlarutan sekali gus memberikan tekanan kepada Rosti yang akhirnya terpaksa meletak jawatan. Difahamkan berlaku perebutan politik di Unisel apabila Pas dikatakan cuba memasukkan elemen pengaruhnya dalam pentadbiran universiti itu. Apatah lagi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dipegang oleh Dr. Halimah Ali dari Pas.

Menteri Besar dikatakan asyik ditekan agar mengambil tindakan ke atas Rosti. Pelbagai alasan dikeluarkan termasuk menimbulkan pelbagai kelemahan beliau. Namun apa yang ketara ialah soal politik dijadikan alasan utama mengapa Naib Canselor perlu diganti. Sepatutnya masalah harus diselesaikan di peringkat dalaman seperti Lembaga Pengurusan Unisel dan bukannya bertindak sehingga peringkat membawa dakwaan-dakwaan tertentu membabitkan kontrak-kontrak telekomunikasi hingga ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gerakan terancang pengurusan atasan Unisel antaranya menimbulkan persoalan mendakwa Rosti lebih mengutamakan Putrajaya berbanding Selangor. Beliau dituduh tidak menghayati dan tidak menyokong perjuangan pakatan pembangkang antaranya dikatakan tidak tunjuk muka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Sedangkan apa kaitan seorang Naib Canselor turun pada pilihan raya kecil itu. Selama ini parti pembangkang sering mengkritik Barisan Nasional jika terdapat jentera kerajaan digunakan semasa kempen.

Kem parti pembangkang dalam Unisel juga tidak puas hati apabila Rosti tidak hadir ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Unisel. Beliau juga dikritik apabila dikatakan tidak selesa dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Selangor itu dalam wacana 'Pendita Za'aba' di universiti itu. Ketika program itulah Anwar tanpa segan silu menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk. Sesi wacana tersebut telah diambil kesempatan oleh Anwar untuk menggunakan pemikiran kritikal Za'aba bagi menghentam kerajaan.

Rosti juga dikritik kerana dikatakan tidak membenarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk berceramah di Unisel atas jemputan persatuan pelajar universiti tersebut. Dan yang terbaru apabila Rosti tidak memberikan kerjasama program politik melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Difahamkan masalah pengaruh parti politik itu telah dibawa kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda dikatakan murka dengan keadaan tersebut. Menteri Besar sepatutnya mengingati kembali titah Sultan Selangor semasa majlis penyampaian watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru pada Mac lalu yang mengingatkan agar Unisel tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian.

Ini kerana ia akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak terhadap universiti tersebut. Selain itu Abdul Khalid perlu ingat tindakan Dr. Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad lebih awal mendahului Sultan Selangor telah mencalarkan imej pentadbiran kerajaan negeri. Pengurusan tertinggi Unisel wajar dibersihkan daripada campur tangan individu-individu yang cuba menanam pengaruh politik masing-masing.

Antara usaha terpenting sekarang adalah menyelesaikan masalah penurunan kemasukan pelajar baru seperti Fakulti Perniagaan yang dikatakan mengalami penurunan mendadak dari 5,000 kepada 2,600 pelajar sedangkan fakulti lain menunjukkan pertambahan. Pada masa sama, kepimpinan tertinggi Unisel perlu menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa.
Petikan U.Malaysia Oleh HELMI MOHD. FOAD