Pages

Friday, July 10, 2009

PPSMI - JANGAN HENTAM KEROMO

NAK BANGUNKAN BANGSA
TAK BOLEH HENTAM KEROMO
Nak bangunkan bangsa, bukan macam nak buat kilang bertih/keropok. Ada cara untuk mempercepat pembinaan tamadun, tapi tak ada jalan singkat menjanjikan kejayaan. Kebangkitan empayar Rom memakan masa hampir seratus tahun, tetapi kebangkitan Islam di bawah pimpinan Nabi dan para sahabat cuma mengambil masa sekitar 30 hingga 40 tahun sahaja. Ada modelnya, tapi pun bukan jalan singkat.
Kaji kekuatan dan kelemahan tamadun dan bangsa-bangsa besar lain, adaptasi pengalaman dan ilmu mereka, tetapi kita bina tamadun berteraskan acuan sendiri.
PPSMI adalah manefestasi membangunkan bangsa dengan tergesa-gesa, mengguna acuan orang lain, akibat ketidakyakinan kepada acuan sendiri, akibat keserakahan menghadapi provokasi globalisasi.
Nak bina tamadun, bukan macam nak bina istana pasir. Anggaplah macam nak bina piramid. Berjaya dibina dan kukuh bertahan beribu tahun. Jangan lupa bahawa yang nak kita bina ialah manusia, bangsa kita. Baik matematik, sains, atau teknologi, atau benda apapun yang terhebat di dunia, ia cuma sekadar alat. Perkara yang wajib diberi fokus utama ialah manusia itu sendiri. Bukan bermakna alat itu tidak penting, tetapi mungkin nombor dua.
Bahasa adalah salah satu komponen yang sangat dominan dalam aspek budaya dan jatidiri. Satu perkara yang tidak nampak, tidak boleh dinilai oleh ujikaji makmal. Ia bukan sekadar manifestasi naluri dan perasaan, atau world view, malah salah satu unsur dalam roh, dan denyut nadi sesuatu bangsa. Kesilapan besar kita apabila menganggap enteng perkara yang tidak boleh kita lihat atau pegang, sedangkan ia perkara tunjang kepada jawapan kenapa kita boleh berdiri. Seperti graviti. Seperti falsafah hidup. Seperti weistanchung.
Ia satu perkara yang agak akademik, filosofik, sehingga barangkali para pendukung bahasa dan budaya, sukar nak berkomunikasi dengan rakyat dan meyakinkan pemimpin untuk mendengar nasihat mereka, betapa kita sedang berdepan isu yang sangat pokok, tapi gagal difahami dan dianggap remeh.
Langkah Najib mengembalikan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu, satu langkah yang tepat dalam keperluan membina bangsa dan tamadun, mengikut acuan sendiri.
Salah satu ciri globalisasi ialah kemungkinan bangsa kecil ditelan oleh gelombang besar yang didominasi bangsa tertentu. Dan dasar PPSMI sebelum ini ialah satu langkah membenarkan bangsa kita ditelan oleh ular besar itu. Tidak pula bermaksud kita mesti jumud, bertahan dan menolak segala kebaikan. Kita mesti terbuka, terima segala kehebatan, tapi dalam masa yang sama, kita bina kehebatan sendiri.

Tun Dr. Mahathir sendiri mengakui pada detik akhir sebelum berundur, selama 22 tahun memimpin, beliau gagal mengubah sikap orang Melayu. Tun Abdullah juga sudah mengesan kepincangan itu, dengan memberikan fokus yang besar kepada aspek bina insan, intergriti, mentaliti kelas pertama. Namun masih tidak ada satu perancangan, apa lagi pelaksanaan yang jitu dan konkrit.
Ini adalah satu vakum yang terbiar selama beberapa dekad. Dan Najib sudah mula melihat vakum itu. Maka sewajarnya beliau memberi fokus yang besar kepada segala aspek berkaitan isu membina manusia, membina jatidiri, membina bangsa ini. Kita tidak harus terperangkap dengan memberi fokus besar kepada isu luaran yang cuma kosmetik.
Kita boleh membantu seorang usahawan berjaya dalam sekelip mata, tetapi tanpa kekuatan dalaman yang kukuh, dia boleh jadi bankrap keesokan harinya. Atau dia menjadi seorang yang sangat berjaya sepanjang hidupnya, tapi tanpa pembinaan budaya usahawan atau budayaniaga di kalangan generasi pelapis, kejayaannya gagal diwarisi hatta oleh generasi keduanya pun. Bagi bangsa yang memiliki jatidiri dan daya saing yang tinggi, kejayaan oleh satu generasi akan menjadi landasan kepada kejayaan lebih besar generasi seterusnya.
Kebudayaan adalah teras dalam membina bangsa atau tamadun. Sementara bahasa pula adalah teras kepada kebudayaan, satu aspek non-fizikal, yang sangat dominan tetapi selama ini dipandang remeh, malah dipinggirkan setiap kali kita merangka sebarang dasar. Saya fikir Najib jelas tentang itu, dan beliau perlu diberi sokongan dan nasihat yang sewajarnya untuk menjayakan segala gagasannya itu.

No comments:

Post a Comment