Pages

Wednesday, April 27, 2011

SEBUAH LAGI PNB ?

Kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah lagi entiti seumpama Permodalan Nasional Bhd. (PNB), sebaliknya mahu terus memberikan tumpuan kepada dasar-dasar mengukuhkan firma itu pada masa depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berpuas hati dengan prestasi PNB yang kini muncul sebagai firma pelaburan terbaik di dunia.

''Setakat ini, memang kerajaan tiada perancangan seperti itu (penubuhan PNB kedua) kerana apa yang kita ada sekarang sudah cukup baik," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) kali ke-12 yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebuah negara pun di dunia berjaya mengguna pakai model PNB sebagai satu instrumen untuk menyusun semula masyarakat dan melakukan transformasi minda secara besar-besaran. ''Saya difahamkan setiap tahun banyak delegasi dari negara membangun berkunjung untuk mempelajari model PNB.

''Kalau ada yang berjaya pun mungkin di Fiji iaitu Fijian Holdings Ltd., yang pegawai-pegawai mereka telah datang ke PNB untuk tujuan latihan dan menubuhkan struktur mirip PNB. Begitupun, saiz dana yang diuruskan tidaklah sebesar PNB," Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan model PNB dan memastikan ia berjaya mencapai objektif.

Ini kerana, tambah beliau, di peringkat makro, kejayaan sesuatu skim penyusunan semula, pengagihan pendapatan dan kekayaan masyarakat memerlukan komitmen, dokongan serta kemahuan politik yang tinggi di pihak kerajaan untuk melaksanakannya. Pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan tinggi tidak kurang pentingnya supaya kekayaan negara dapat diagih-agihkan kepada kaum yang ketinggalan dan pada masa sama tidak meminggirkan peluang kaum lain.

Katanya, di sebalik aspek-aspek itu, rakyat jangan lupa kestabilan dan perpaduan masyarakat juga merupakan kunci utama. ''Faktor-faktor ini telah menjadikan model penubuhan PNB yang diilhamkan lebih 30 tahun lalu menjadi realiti kerana kerajaan, Yayasan Pelaburan Bumiputera, PNB dan masyarakat bersatu sehingga terbentuk satu institusi terserlah dan berintegriti." Petikan U.Malaysia 

ULASAN: Cadangan seumpama ini pernah saya kemukakan beberapa bulan lepas, melalui komunikasi di FB bersama dato' Zuraidah Atan. Berdasarkan kejayaan besar PNB dalam mengembleng 'tenaga ekonomi Melayu', saya yakin penubuhan organisasi yg seumpamanya, walaupun sudah tentu ada perbezaannya, adalah jalan pantas dan efektif membangunkan Melayu dan meningkatkan ekuiti Melayu.
Konsep korperasi misalnya, adalah satu lagi pilihan yang seumpamanya yang perlu diberi 'motivasi baru' dalam konteks menjana 'tenaga ekonomi Melayu'.
Saya kira, "JALAN PENYELESAIAN" spt itu perlu difikirkan dgn serius oleh pihak kerajaan.

No comments:

Post a Comment