Thursday, April 7, 2011

NAJIB SELEPAS DUA TAHUN SEBAGAI PM

Genap dua tahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara. Sepanjang dua tahun ada pasang surutnya. Ada zaman kegemilangan dan zaman penuh onak dan duri, cabaran pula menggunung tinggi. Apakah signifikan kepimpinan Najib sejak 3 April 2009? Sewaktu Najib mengambil alih tadbir urus kepimpinan negara, beliau berhadapan dengan suasana politik tidak menentu, krisis ekonomi global dan hubungan etnik yang rapuh.
Seiring dengan persekitaran sedemikian, Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar untuk dijadikan dokumen rujukan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang membolehkan ‘pasukan’ beliau diberikan penelitian pencapaian jika sokongan ke atas kepimpinan Najib mahu diterjemah kepada sokongan terhadap parti yang beliau pimpin pada PRU-13 nanti.

Konsep 1Malaysia dilihat menjadi ‘penggerak’ kepada gaya kepimpinan Najib. Kajian yang dilakukan Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mendapati 84 peratus daripada 15,353 responden yang ditemui sepanjang Jun dan Julai 2010 mempunyai pemahaman yang jelas ke atas konsep tersebut, berbanding 69 peratus pada Oktober 2009. Malahan, konsep 1Malaysia berada pada tahap membina kesedaran dan kefahaman sejak April 2009 kini memasuki fasa baru iaitu untuk diterap dalam proses pengukuhan jati diri warga Malaysia dan merupakan fasa paling penting jika mahu menguji penerimaan sebenar konsep ini.

Ramai menganggap salah satu kejayaan Najib pada pilihan raya kecil adalah kerana penekanan berterusan ke atas konsep ini yang perlahan-lahan membolehkan kepimpinan beliau mendapat kepercayaan. Jika di peringkat awal, ramai yang sangsi dengan konsep ini sehingga menyoal mengapa ‘SATU’ Malaysia diperkenal hari ini, tetapi proses membina keyakinan secara tidak bermusim membolehkan ia menjadi salah satu mekanisme untuk Najib menjana perubahan. Teras kemuafakatan yang mahu dibina oleh beliau mencerna nilai kemanusiaan dan melangkaui nilai kepentingan diri dalam mengupas persoalan etnosentrik dan prejudis yang sukar ketika tahun 2008.

Hubungan etnik di Malaysia mempunyai sejarah yang sentiasa berubah mengikut rentak persekitaran dan kedudukan semasa. Isu-isu berkaitan keagamaan, kebudayaan, etnik serta ras merupakan isu yang perlu ditangani secara berhemah. Ia tidak boleh dijadikan penanda aras kejayaan konsep 1Malaysia tanpa mengambil kira sejauh manakah pemimpin politik yang sepatutnya menjadi ‘idola’ menyalahguna kedudukan mereka untuk menjadi popular dengan menggunakan isu seperti ini tanpa memahami apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Fahaman politik berbeza tidak boleh menjadi senjata untuk memperkudakan isu sensitif yang boleh menggugat nilai kemasyarakatan yang terbina sekian lama. Kebanyakan isu sensitif wajar mencari mekanisme bersifat dialog dan perbincangan sebelum membuat keputusan akhir kerana kesannya ke atas masyarakat, satu usaha yang boleh direncanakan selepas dua tahun mentadbir negara. Begitu juga dari sudut ekonomi. Walaupun harga barangan naik tetapi masyarakat dididik memahami kegawatan global. Walaupun begitu, MBE perlu diberikan pemahaman berterusan kerana wujud tanggapan bahawa ia akan memberi kesan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Begitu juga dengan PTE yang sedang dilaksanakan. Apa yang penting buat masa ini adalah bagaimana transformasi dilakukan terutama melalui pendekatan sistem penyampaian yang dipuji, kos efektif dan lancar.

Sekiranya sektor swasta, awam, perangka dan pelaksana dasar serta rakyat sebagai kumpulan sasar saling bergandingan dan mempunyai hubungan saling perlu memerlukan dan mahu memahami sepenuhnya MEB, maka dasar ekonomi Najib akan melonjak selepas dua tahun mentadbir urus, bukan sahaja atas kapasiti sebagai Perdana Menteri tetapi juga selaku Menteri Kewangan. Apa yang ketara adalah sepanjang dua tahun ini, Najib sedang menerajui perubahan dan sudah diiktiraf oleh masyarakat umum berbanding dengan kedudukan sejurus pasca PRU-12 pada Mac 2008. Jika populariti Najib berada pada kedudukan 44 peratus pada April 2009, pada Disember 2010 ia meningkat kepada 69 peratus. Najib merupakan salah satu faktor suntikan kemenangan di pilihan raya kecil Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi walaupun tewas di Sibu serta kemenangan di Tenang dan Merlimau.

Kemenangan dan kekalahan merangkumi pelbagai faktor tetapi tahun 2009-2011 juga melihat Najib berjaya menukar momentum yang jauh berbeza dari tahun sebelumnya. Barisan Nasional (BN) memulihkan semula strategi pendekatan ‘keahlian terus BN’ yang membolehkan lahirnya Sahabat BN, Rakan Muda BN dan individu serta organisasi mahupun pertubuhan untuk menjadi sebahagian parti ini. Ia merupakan satu pembaharuan yang disesuaikan dengan kedudukan politik semasa agar masyarakat melihat parti sedang berubah walaupun ia bersifat luaran. Konvensyen BN memperlihatkan kesungguhan Najib membina semangat, motivasi dan keazaman untuk menang. Yang penting, Najib memberi nafas baru kepada pencarian ‘kepimpinan’.

Yang menunjangi peningkatan mendadak BN adalah nilai kepimpinan transformasi Najib. Tahun 2011 adalah kritikal bagi pembangkang kerana mereka akan cuba meneruskan tradisi bersifat populis tanpa memanjangkan agenda pembaharuan yang dijanjikan dalam manifesto 2008. Kini, ia menjadi pertembungan Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengantara barisan pembangkang. Yang menarik adalah bagaimana Najib mengekori dari belakang ketika mengambil alih teraju kepimpinan negara dan kini yang menjadi liabiliti adalah Anwar. Bersetuju atau tidak, pembangkang sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan pengundi. Sekiranya gagal mengatasi segera, mereka boleh dilabel tidak efektif. BN juga perlu mencari kekuatan dan inilah cabaran besar Najib untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kepada kekuatan BN. Beliau akur dengan tuntutan persekitaran semasa yang mahu konsultansi berterusan dengan rakyat agar pencapaian dasar mahupun polisi kerajaan memberi refleksi daripada usaha mendahulukan rakyat. Kepekaan itulah yang menjadi kelebihan Najib.

Dengan kedudukan yang lebih stabil yang memberi legitimasi politik ke atas pentadbiran beliau, kini Najib memberi tumpuan ke atas transformasi politik yang dirungkai dalam gabungan besar BN yang jelas sehingga berubah pendekatan yang bersifat ofensif. Beralaskan kepada siri walkabout dan jelajah seluruh negara, sudah pasti beliau mahu memastikan isu kepartian ditangani secara berhemah termasuk isu calon dan jentera parti kerana kekuatan BN bergantung kepada keupayaan menggembleng keseluruhan jentera secara holistik dan berpasukan.

Barangkali latihan pilihan raya perlu mengasah amalan ‘politik pujukan’ dan bukan ‘politik konfrantasi’ terutama untuk menangani isu ketelusan, good governance, kenaikan harga barang, jenayah, rasuah dan kesamarataan yang dicanang oleh pembangkang, di samping pencapaian PTK, NKRA, PTE, MEB dan 1Malaysia. Ia harus dilakukan secara kreatif untuk mempengaruhi sentimen, imaginasi dan persepsi umum kerana akhirnya yang mahu dilihat dan dirasai rakyat adalah hasil akhir dari sebarang gagasan besar beliau.
PROF. MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ; Timb. Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

No comments:

Post a Comment