Pages

Monday, April 5, 2010

POLISI AFIRMATIF KEKAL

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan menghapuskan polisi afirmatif tetapi akan menyemak pelaksanaannya secara adil dan telus berdasarkan kepada merit dan keperluan. Perdana Menteri berkata, untuk menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB) supaya bersifat lebih mesra pasaran, kebajikan bukan Melayu dan bukan bumiputera juga harus dijaga.
Menurut beliau, semua pihak tidak wajar terlalu taksub dengan satu pandangan sahaja tetapi ia sepatutnya dilihat dalam konteks yang akan memberi perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat. “Tetapi, tindakan afirmatif tetap kekal kerana kedudukan bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya, yang bermakna kita harus meneruskan tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan. Kelemahan yang jelas kelihatan dalam cara pelaksanaan kita sebelum ini.
“Sebagai contoh, jika kita mahu menghapuskan kemiskinan, jika kita mahu menangani 40 peratus populasi yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, kita juga harus menjaga kebajikan bukan Melayu dan bukan bumiputera juga. “Bila kita bercakap tentang bumiputera ia bukan sahaja mengenai Melayu, ia juga tentang Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain-lain, mereka juga bumiputera dan mereka ada hak yang sama,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV.

No comments:

Post a Comment