Pages

Monday, April 19, 2010

BILA KEPUTUSAN SUDAH DIBUAT

PRK : ULU SELANGOR
Bila Keputusan Sudah Dibuat.


Salah satu ciri amalan demokrasi yang matang ialah keupayaan untuk merapatkan barisan selepas sesuatu keputusan dibuat. Sebarang polemik, perdebatan, kritikan dan apa-apa perbezaan pendapat, boleh berlaku sebelum keputusan dibuat, tetapi selepas satu keputusan atau ketetapan diambil, semua itu menjadi tidak releven dan mesti dihentikan.

Proses seterusnya selepas itu ialah, melaksanakan segala tugas yang perlu bagi memastikan matlamat bersama mencapai kejayaan cemerlang. Seluruh tenaga, fikiran jentera dan fokus mesti tertumpu ke arah itu.

PRK Ulu Selangor. Polemik tentang kewajaran menukar calon berlangsung dengan sengit. Krisis keyakinan kepada calon lama MIC membawa kepada usaha penolakan sebarang kemungkinan calon parti itu menjadi wakil dalam PRK ini. Percubaan untuk melobi supaya BN menukar calon, khususnya kepada UMNO telah berlaku.

Namun, apabila pucuk pimpinan telah mengambil keputusan, Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan menjadi wakil BN, seluruh ahli dan jentera dari semua parti dalam BN mesti segera merapatkan barisan. Fokus yang jitu perlu untuk memastikan calon itu Berjaya dengan cemerlang.

UMNO sebagai sebuah parti yang matang, dan BN sebagai gabungan yang sangat berpengalaman, sepatutnya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menghadapi keadaan seperti itu. Nilai-nilai setia kepada parti, setia kepada pemimpin yang dipilih, bersatu melupakan sebarang perbezaan bagi menghadapi musuh bersama, adalah ramuan yang telah lama menjadikan UMNO dan BN mengukir pelbagai kejayaan.
Maka seharusnya dalam keadaan UMNO dan BN sedang bangkit semula membina kekuatan, ciri itu mesti segera diperkukuhkan. Apa maknanya kita berorganisasi, berparti, jika nilai kesetiaan dan komitmen itu tidak ada ? Sebuah bahtera yang sedang belayar, baik anak kapal atau penumpangnya, boleh memberi saranan dan idea, tetapi mesti patuh kepada nakhoda.

Kalau ada anak kapal dan penumpang yang curang dan nakal, melakukan apa-apa yang boleh menyebabkan kerosakan atau kebocoran, jika bahtera itu tenggelam, seluruh anggota yang ada di dalamnya akan karam bersama.

Justeru sebenarnya, sebagai sebuah pasukan, kita tidak ada pilihan lain selain dari bersatu, komited dan taksub melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan berkesan, untuk memastikan kejayaan bersama - PRK ULU SELANGOR.

No comments:

Post a Comment