Pages

Thursday, June 23, 2011

ORANG MELAYU JADI TARUHAN

PERHIMPUNAN haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) dipengerusikan oleh S.Ambiga, seorang peguam wanita yang pernah mengguris perasaan umat Islam apabila terlibat dalam Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commission (IFC).

Apa yang pernah dituntut oleh IFC yang disokong Ambiga? Antara tuntutan paling ketara ialah ''Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.'' - Terdapat 13 lagi tuntutan lain yang dilihat menggugat agama Islam. Tetapi Ambiga kini seolah-olah diangkat sebagai heroin oleh orang Islam yang berada dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Alasan yang diberikan ialah apa yang diperjuangkan oleh Ambiga sekarang ada persamaan dengan perjuangan kedua-dua parti tersebut. Justeru orang Melayu dalam kedua-dua parti ini sudah menyatakan komitmen mereka untuk menjadi benteng utama perhimpunan haram Bersih.

Masing-masing menyatakan kesediaan untuk menggerakkan ribuan Melayu daripada parti masing-masing bagi menyertai perhimpunan haram tersebut. Menurut maklumat diterima penulis, ketika ini orang Melayu dalam Pas dan PKR sedang menyusun strategi bagaimana hendak berhadapan dengan pihak polis pada hari berkenaan. Mereka juga dikatakan sudah bersedia untuk 'berkampung' di Dataran Merdeka, Masjid Kampung Baru, Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Pemimpin-pemimpin utama mereka yang juga terdiri daripada orang Melayu akan turun ke Perak dalam tempoh terdekat bagi melancarkan perhimpunan haram tersebut. Dari satu pihak lain, dua kelompok orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Pribumi) dan Pergerakan Pemuda UMNO sudah melaungkan amaran bahawa mereka juga akan turun ke jalanan pada 9 Julai ini.

Akhirnya apabila ia menjadi kenyataan, kita akan melihat pertembungan sesama Melayu di tengah Kuala Lumpur. Ini belum lagi termasuk orang Melayu yang berhimpun di negeri-negeri bagi tujuan sama, manakala yang akan turut mengalami kerugian ialah peniaga-peniaga Melayu yang mencari sesuap nasi di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sudah tentu terpaksa menutup perniagaan mereka pada hari berkenaan.

Sebab itulah Ambiga menolak pelawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berunding dengan beliau. Ambiga tahu beliau tidak akan rugi apa- apa. Bukanlah beliau atau kaum beliau yang akan terjerit-jerit di jalan raya, memegang poster memaki hamun kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pihak polis. Begitu juga kaum lain, mereka juga sudah menyatakan tidak akan menurunkan penyokong mereka kerana amat memahami apa yang bakal dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan ia perhimpunan haram.

Kesudahannya yang akan bertembung dan kemudiannya bergaduh ialah orang Melayu, kaum lain hanya akan melihat daripada tingkap-tingkap bangunan dan kaca-kaca televisyen bagaimana orang Melayu yang sudah terkongkong dengan pemikiran politik sempit mereka sedang berkejaran sesama sendiri di jalanan. Yang paling malang, sekumpulan anggota keselamatan yang pastinya juga orang Melayu terpaksa berkorban demi menjaga keamanan akan berdepan dengan orang Melayu yang berhimpun secara haram tersebut.

Dalam soal ini, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan orang Melayu dalam Perkasa mahupun Pemuda UMNO. Keduanya turun ke jalanan selepas peringatan mereka kepada orang Melayu yang berada dalam Pas dan PKR supaya tidak menjadi kuda tunggangan kepada individu seperti Ambiga, tidak pedulikan.

Malahan orang Melayu dalam kedua parti itu juga turun ke jalanan akibat mata dan hati mereka sudah ditutup dan dikaburi dengan ketaksuban sehingga mereka terlupa orang yang mencetuskan perhimpunan haram itu tiada pun kaitan dengan politik. Ambiga bukan ahli politik, beliau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya tetapi kenapa Ambiga sibuk dengan agenda perhimpunan haram berkenaan.

Tidakkah orang Melayu yang turun ke jalanan menyahut seruan Bersih itu faham mereka hakikatnya diperkotak-katikkan melalui mainan pihak lain yang bertujuan menambah parah perpecahan Melayu? 'Permainan' ini diatur begitu rapi dan terancang supaya orang Melayu yang menjadi 'benteng utama' Bersih menjadi 'pak turut' kepada pihak lain atas alasan menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya.

Lebih malang lagi, gerakan ini disokong pemimpin utama Melayu dalam PKR yang amat gembira dengan apa yang bakal terjadi pada 9 Julai ini. Ternyata perhimpunan haram itu, tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada orang Melayu. Sebaliknya Melayu akan mengalami kerugian dari segala segi biarpun sehari sebelumnya mereka juga sama-sama bersolat Jumaat dan sujud kepada Allah yang satu.

Namun semuanya dilupakan kerana api kebencian dan perpecahan yang ditiup kononnya untuk mewujudkan pilihan raya bersih dan adil telah melumuri jiwa dan minda mereka. Kita tidak pasti sampai bila Melayu akan terus menjadi alat kepada pihak lain meraih keuntungan.
Mungkin orang Melayu yang nekad untuk turun ke jalanan ini sudah tidak boleh dinasihatkan lagi kerana mereka tidak mahu mendengar tetapi ingatlah pesanan pantun lama ini:

Kata tua kata bermanfaat,

Banyak manfaat dapat dirasa,

Hina bangsa tiada muafakat,

Tidak muafakat umat binasa!!!

Oleh itu janganlah sampai akibat menjadi mainan halus kelompok lain, orang Melayu suatu masa nanti menjadi pelarian di tanah air sendiri. Semua itu tidak mustahil akan berlaku jika orang-orang Melayu dalam PKR dan Pas masih tidak sedar akan agenda tersembunyi pihak yang tidak sekiblat dengan mereka. Fikirkanlah! Petikan dari : ZULKIFLEE BAKAR. U. Malaysia

No comments:

Post a Comment