Pages

Tuesday, June 28, 2011

BERSIH: MANIPULASI TREND & EKSPLOITASI RAKYAT

Pengaruh dalam konteks politik, sangat kuat hubungannya dengan PERSEPSI. Salah satu faktor kejayaan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) pada PRU 12 lepas ialah keberkesanan propaganda mereka mewujudkan persepsi buruk rakyat kepada pihak pemerintah.
Sebaliknya kegagalan Barisan Nasional mengekalkan kemenangan 2/3 pula ialah kebergantungan berlebihan kepada medium propaganda tradisi (media arus perdana) yg sudah tidak berkesan.

Akibatnya, tidak pernah berlaku sejak pilihanraya diadakan di Negara ini, darjah persepsi buruk rakyat kepada BN berada pada tahap yang paling tinggi.
Penggunaan pelbagai strategi propaganda yang efektif, seperti “mencipta lebel”, serangan pribadi secara bertalu @ berulang-ulang, membina stereotaip negative, membina testimoni melalui bekas pemimpin BN atau kakitangan kerajaan yang memburukkan BN dan sebagainya; tiba-tiba menjadi sangat berjaya dengan bantuan media baru.

BN pula ‘terleka’ dengan kurang memberi tumpuan kepada medium itu. Sehingga kini, PRU 12 telah 3 tahun berlalu, BN kelihatan masih tertinggal dari penguasaan media baru.
Sementara PR pula terus meningkatkan cengkaman, serta terus ‘menuai’ hasil dari persepsi buruk yg berjaya dibina di kalangan sebahagian rakyat.

BERSIH. Isunya cuma sekadar cadangan kepada SPR, tentang beberapa perkara yang boleh diperbaiki dalam sistem pilihanraya, yang sebenarnya sudah jauh lebih baik dari sebelumnya, tetapi sejauh mana perlunya suatu demonstrasi besar-besaran melibatkan ratusan ribu pengikut perlu dibuat ?
Ternyata, ia hanya menunjukkan kebijaksanaan PR memanipulasi trend persepsi negatif yang telah mereka bina, serta bertindak mengeksploitasi ‘fikiran dan tenaga’ pengikutnya untuk matlamat menggegarkan kerajaan BN.

Maka sebenarnya, bagi mereka isu tidak penting. Kalau bukan soal SPR, mereka boleh memilih apa sahaja isu lain, tetapi yang penting, mereka mahu menggerakkan tenaga massa, sebesar yang mungkin bagi menunjukkan bahawa BN kerajaan yang sangat teruk dan gagal.
Ini dilakukan pada ketika persepsi dan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN kelihatan sedang berada pada tahap agak rendah berbanding sebelumnya, sementara keyakinan kepada pembangkang berada pada tahap tertinggi dalam sejarah Negara.

Mungkin kerajaan BN tidak mudah ditumbangkan dengan demonstrasi seperti pengalaman di Mesir, tetapi jika mereka berjaya mengumpul jumlah yang besar turun ke jalanraya, mereka yakin itu akan memberi impak psikologi yang besar kepada moral rakyat untuk menyokong pembangkang dengan lebih yakin pada PRU akan mendatang.

Jika benarlah begitu, maka PR sebenarnya adalah sekumpulan parti politik yang sangat pintar dan tangkas memanipulasi situasi dan mengeksploitasi penyokong, demi mencapai matlamat politik mereka sendiri, iaitu menang pilihanraya.

No comments:

Post a Comment