Thursday, February 17, 2011

NASIB INTERLOCK DI TANGAN MIC ?

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

APAKAH maksud tersirat MIC apabila Presidennya G. Palanivel berkata, MIC hanya akan menyatakan pendiriannya selepas meneliti versi novel Interlok yang sudah dipinda? Siapa Palanivel untuk menentukan kedudukan Interlok, karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang digunakan dalam mata pelajaran sastera Tingkatan Lima?
Kenyataan ini sedikit angkuh malah dengan sendirinya menafikan kewibawaan sebuah panel bebas yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran. Difahamkan panel bebas yang dirahsiakan namanya tanpa sebab itu sedang melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan Palanivel menafikan hasil perbincangan sebelum ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran hingga tertubuhnya sebuah panel bebas. Maknanya hasil pindaan yang dibuat oleh panel itu nanti akan disemak MIC. Hebat sekali MIC. Tentu sekali kalau pindaan itu tidak menepati kehendak orang India, MIC akan menolak versi pindaan itu. Kenapa Palanivel tidak memberi sepenuh kepercayaan kepada panel dilantik oleh Kementerian Pelajaran? Difahamkan panel itu terdiri daripada sasterawan, ahli akademik dan juga wakil kaum India.

Bukankah sikap begini bertentangan dengan amalan tolak ansur khususnya kalangan sasterawan Melayu hingga membenarkan Interlok disunting atas kehendak politik kaum India?
Membenarkan Interlok (sebenarnya tidak ada perkara sensitif) disunting oleh panel bebas mencerminkan pengorbanan besar kalangan sasterawan Melayu. Belum pernah karya Sasterawan Negara diperlakukan sedemikian selepas sebuah panel yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran memilih Interlok.

Kenyataan Palanivel boleh dianggap sengaja menunjukkan ego selepas banyak tuntutan mereka dilayan. Apalah gunanya panel bebas kalau MIC tidak mengiktiraf hasil kerja mereka? Tetapi tidak ada pula kalangan sasterawan dan orang Melayu yang berkata, mereka juga mahu melihat dulu sebarang pindaan sebelum bersetuju.  Kalau tuntutan Palanivel ini dilayan, ternyata ada layanan yang berat sebelah dalam menangani 'kontroversi dangkal' yang dicetuskan oleh orang India.

Adakah ini cara Palanivel menghargai sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh sasterawan Melayu termasuk pengarangnya, Abdullah Hussain? MIC harus belajar menjadi lebih beradab apabila ada pihak memilih jalan jernih dan sanggup mencemarkan maruah sendiri apabila membenarkan sebuah karya dipinda atas tuntutan satu kaum. Nampaknya, selagi pindaan itu tidak menepati kefahaman kaum India, selama itulah MIC tidak setuju. Mungkin kerana mahu memujuk MIC, jangan terkejut kalau selepas ini diadakan pula panel bebas kedua untuk meminda (sebenarnya mencincang) Interlok.

Banyak pihak melihat Interlok bukan isu perkataan 'paria', bukan juga gambaran watak Maniam yang datang dengan kapal untuk menyambung nyawa di Tanah Melayu. Interlok sebenarnya dijadikan 'kambing hitam' politik. Lihatlah bagaimana orang India yang berbeza fahaman politik - MIC, PKR, PPP termasuk pertubuhan haram Hindraf boleh bersatu memperjuangkan isu yang sama.
Maka penyelesaian isu Interlok juga perlu pendekatan politik. Orang Melayu sangat tersinggung cara kita menyelesaikan isu Interlok.
Tetapi dalam jiwa yang membara, orang Melayu diasuh bijak menyembunyikan lara. Tetapi selama manakah lara itu dapat disembunyikan?

2 comments:

  1. novel interlok

    mengapa MIC, hindu malaysia naik toncang & samseng?

    sebab melayu UMNO pondan & dayus dengan Cina & India ..... toleransi & perpaduan la kunun...

    pemimpin melayu UMNO hanya berani cengai dengan Islam & PAS saja.... sanggup bunuh melayu kerana politik sekular umno.. cth memali, felda lubuk merbau, batu buruk, ...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas respons. Malangnya saya tak berapa nak komen balas kalau tidak ada fokus. dan percubaan anda membuat perkaitan yang sangat dangkal, gagal menunjukkan cara berfikir yang patut dihargai.

    ReplyDelete