Pages

Tuesday, June 16, 2009

1MALAYSIA - RUMAH API

1 MALAYSIA;

ANTARA JAMBATAN & RUMAH API

Sejak Dato’ Seri Najib mengutarakan gagasan utama kepimpinannya iaitu, ”1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Sebahagiannya bersifat akademik, ada pula bersifat spekulatif, sebahagiannya bersifat ekpektasi, tidak kurang pula yang menjadi provokatif (akibat daripada salah persepsi dan manipulasi) oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari suasana pemahaman yang kurang jelas masyarakat.
Polemik yang berpanjangan dan menarik itu, barangkali boleh kita ibaratkan seperti orang buta melihat gajah. Semua yang memberikan pandangan dari perspektif masing-masing, sebenarnya betul dan tidak salah, selagi pandangan itu berniat ikhlas dan bertujuan baik, serta tidak mendatangkan kesan yang tidak sihat. Ia telah menyuburkan budaya perdebatan terbuka yang bersifat ilmu dan kreatif.
Di celah-celah polemik itu, timbul beberapa soalan bukan sahaja dari kalangan pembangkang, malah di kalangan rakan dalam BN. Misalnya soalan;
.Sejauh manakah Najib benar-benar bersedia dan telah menghadam semasak-masaknya gagasan itu sebelum dia melancarkannya.
.Kedua apakah baik tindakan melahirkan gagasan yang menimbulkan satu polemik besar dan berpanjangan di peringkat nasional seperti itu?
Satu fakta yang barangkali kurang terlintas di dalam pemikiran para pengkritik ketika ini barangkali ialah realiti bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang bijaksana. Walaupun mendapat kelebihan dilahirkan sebagai anak Perdana Menteri, namun perjalanan politiknya yang bermula selepas ketiadaan bapanya bukanlah suatu laluan yang mudah.
Daripada seorang pemuda yang mentah politik ketika pulang dari luar negara, dan menjadi wakil rakyat, sehingga menjadi seorang Perdana Menteri; Berkolek dan dilanda pelbagai badai besar dalam politik negara dan parti selama empat dekad, di mana ramai senior dan sebaya, mahupun junior yang karam gagal mengharungi arus; Najib berjaya sampai ke garisan akhir – antara kebijaksanaan dan takdir.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri, apakah dia tidak mempersiapkan diri daripada segi perancangan dan pemikiran untuk mengambil alih tampuk. Tentu satu tanggapan yang silap jika ada yang cuba memandang rendah keupayaan pemikiran dan kredibiliti kepimpinan yang dimilki oleh Najib.
Najib ditakdirkan menjadi Perdana Menteri ketika prestasi UMNO dan BN berada pada tahap paling rendah dalam sejarah. Pada tahap ini, atas pelbagai faktor; nilai setia kepada pemimpin, malah setia kepada negara, juga berada pada tahap paling buruk sejak kemerdekaan. Nilai rasa kepunyaan kepada keharmonian dan kehidupan bernegara, tergugat dengan begitu besar. Budaya kurang ajar dan biadap, anti-establishment begitu meluap-luap. Rakyat seakan kehilangan jatidiri dan dengan agresif dikelirukan dengan pelbagai unsur dan pendekatan.
Satu Malaysia, lahir di tengah-tengah kemelut itu, sebagai satu rumah api.
Semua orang melihat diri sendiri. Semua orang membetulkan arah bahteranya. Ramai yang sebelumnya tersesat jauh perjalanannya, tetapi masih yakin arahnya betul, mula berfikir dan terdorong untuk berpatah balik. Sementara yang angkuh dan tak mahu mengakui diri tersesat, dan meneruskan perjalanan, sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan sesat.
Najib mungkin memang sedar gagasan yang dikemukakan itu akan menimbulkan polemik pada peringkat awalnya, tetapi percayalah, dia sangat meyakini bahawa hasil akhirnya akan menjadi titk temu yang akan melahirkan perpaduan yang jitu dan Malaysia yang hebat.
Hujahnya di sini ialah; adalah lebih baik mengetengahkan sesuatu yang kabur dan mengelirukan pada peringkat awal, tetapi motif akhirnya mewujudkan fokus yang tinggi dan titik temu yang luar biasa; daripada membiarkan banyak perkara yang jelas dan difahami tetapi telah dikelirukan dan dimanipulasi serta dikaburkan, oleh pelbagai pihak yang berkepentingan (seperti contohnya isu hak istimewa, DEB, kuota, institusi raja, dsb).
Satu Malaysia juga sebenarnya ialah satu jambatan lurus yang telah dibina oleh Najib untuk semua kembali kapada landasan asas dan kemudian melonjak mencapai dan menggenggam tahap tertinggi perpaduan dan kemajuan.
Polemik yang meluas telah meningkatkan fokus seluruh rakyat. Secara psikologi, itu adalah cara mendidik untuk mereka kembali kepada asas yang sangat berkesan. Agak provokatif, tetapi sangat mendidik. Semua orang mahu memberi pendapat, mahu terlibat dalam polemik dan perbincangan, dan semua orang diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, tetapi dalam satu wadah dan ke arah satu matlamat.
Pada tahap ini, walapun masih di peringkat krisis, kita sudahpun dapat merasakan bahawa rakyat sedang meraikan rasa keterlibatan kepada masa depan negara, berbanding sebelumnya yang penuh rasa tidak peduli, marah dan kecil hati. Mungkin tidak terlalu lama, segala polemik itu akan sampai kepenghujungnya dan kita akan melihat majoriti rakyat melangkah seiring mendukung cita-cita bersama, membina negara dan menjadikannya tempat terbaik untuk didiami oleh semua orang, seperti yang dihasratkan oleh Perdana menteri, dan tentunya oleh kita semua.
Apa yang sangat perlu sekarang ini ialah semua orang, apatahlagi para pemimpin dan ahli UMNO dan BN, memberikan keyakinan dan pemahaman serta komitmen yang tinggi kepada kepimpinan Najib, kemudian tampil memberikan pemahaman kepada rakyat, dan membantu, menyambung setiap hasrat dan perancangan kepimpinan.
Proses pemilihan pemimpin sudah berlalu (baik dalam parti atau PRU), maka setiap lapisan rakyat berkewajipan memfokuskan sokongan kepada pemimpin yang terpilih melalui proses demokarasi yang kita bersama iktiraf. Seluruh rakyat pula harus faham bahawa tugas memulihkan semula ekonomi dan perpaduan, jauh lebih besar dari politiking dalaman kelompok dan antara kelompok yang remeh tetapi kini semacam tidak berkesudahan.

7 comments:

  1. bagus punya angkat, bang. apa pun, tahniah kerana dah ada blog.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. satu komentar yang membuka minda untuk difikirkan bersama.... cayalah bro..

    ReplyDelete
  4. Sahabat, kebenaran dan keikhlasan dalam perjuangan, boleh kita lihat. Walaupun kita bukan tuhan, tentu ada cara dan kaedah untuk untuk mengukurnya. Nilai dan perjuangan yang baik oleh seorang pemimpin, perlu kita siram dan baja, supaya buahnya boleh dinikmati oleh generasi selepas kita. Adalah sangat tidak baik misalnya untuk kita memberi label yang buruk kepada usaha yang baik dari seorang pemimpin. Marilah kita semua meletakkan ego masing-masing, dan merenung jauh nasib cucu-cicit yang bakal kita tinggalkan. Kita semua...ada tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

    ReplyDelete
  5. Salam ziarah .Semoga sukses selalu

    ReplyDelete
  6. ya betul.semoga kita memberi layanan sama rata kepada semua pemimpin yang bersuara tanpa mengira platform mereka.

    ReplyDelete
  7. Salam,

    Kita berhadapan dengan kepimpinan yang emosi. Bertindak dan membuat keputusan atas kepentingan peribadi bukan kepentingan masa hadapan, kerana itu kita seolah-olah rela menggadaikan segala-galanya demi sebuah kuasa yang tak boleh dibawa ke mati.

    ReplyDelete