Wednesday, March 30, 2011

MENUTUP BUKU MISKIN TEGAR

Oleh: NURUL ANUAR KARI
KISAH isi rumah berpendapatan rendah dan miskin merupakan kisah lama yang semakin pudar dari ingatan rakyat Malaysia. Perangkaan sekitar 50 peratus rakyat miskin pada 1970 hampir lenyap pada 2009 dengan hanya 3.8 peratus penduduk negara ini masih dalam kategori miskin. Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) isi rumah berpendapatan rendah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mencapai hampir semua sasaran untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin sepanjang 2010.

Definisi miskin tegar bergantung kepada pendapatan isi rumah iaitu kurang RM440 di Semenanjung, kurang RM540 di Sabah dan kurang RM520 di Sarawak. Golongan miskin pula berpendapatan di bawah RM750 di Semenanjung, bawah RM960 di Sabah dan bawah RM830 di Sarawak, mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 dianggap sebagai berpendapatan rendah.
Sasaran cabang NKRA ini melibatkan empat perkara utama iaitu mengeluarkan kesemua 44,643 isi rumah dari kategori miskin tegar, mengeluarkan 40,000 isi rumah dari kategori miskin, melatih dan melahirkan 2,000 orang usahawan wanita serta menawarkan 44,146 rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dijual kepada penghuninya.

Bagaimanapun, usaha turut ditumpukan ke arah mengembangkan potensi individu untuk memastikan golongan terbabit dapat berdikari dalam tempoh jangka panjang melalui prinsip 'bukan memberi ikan tetapi mengajar cara memancing'. Di bawah inisiatif untuk memupuk kemampuan berdikari, pihak kementerian telah melaksanakan bantuan sokongan untuk perumahan serta program bantuan kebajikan dan program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).
1Azam merupakan inisiatif khusus dengan sasaran meningkatkan ekonomi isi rumah berpendapatan rendah dari kancah kemiskinan melalui keusahawanan (Azam Niaga), penggajian (Azam Kerja) serta aktiviti pertanian (Azam Tani) dan perkhidmatan (Azam Khidmat). Pangkalan data eKasih dibentuk sebagai pusat data untuk mengenal pasti, meluluskan bantuan & memantau perkembangan isi rumah berpendapatan rendah.

Namun, berikutan masalah geografi, kekangan masa dan sumber bantuan, terdapat sebahagian sasaran untuk 2010 tidak dapat dicapai sepenuhnya. Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 menyatakan cabang NKRA ini mencapai hampir kesemua sasarannya terutama menghapuskan miskin tegar. Selain itu, 15,868 isi rumah berjaya dikeluarkan dari kategori miskin, 2,000 usahawan wanita berjaya dilatih, 35,095 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL ditawarkan untuk dijual kepada penghuni sepanjang 2010.
Maklum balas Jawatankuasa Antara bangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk laporan NKRA ini turut memuji inisiatif kerajaan menghapuskan segera kemiskinan tegar dengan fokus kepada potensi individu dan bukan sekadar bantuan kewangan. Ahli jawatankuasa tersebut yang juga Wakil Tetap IMF di Singapura, Ravi Balakrishnan turut mencadangkan kerajaan menimbang menggunakan amalan terbaik dari Bolivia yang terbukti berjaya menyediakan kewangan mikro kepada golongan miskin di luar bandar.

Bagaimanapun, ahli jawatankuasa yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman berpendapat kelangsungan program yang dijalankan mungkin semakin mencabar kelak dan kerajaan perlu memastikan mereka yang telah dibantu tidak kembali berada di bawah garis kemiskinan. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM, Profesor Dr. Amir Baharuddin berkongsi pandangan dan merasakan usaha membasmi kemiskinan bukan sesuatu yang mudah tanpa keazaman, kecekalan, pengorbanan serta keikhlasan berkerja secara sukarela.
"Penurunan kadar kemiskinan yang dicapai sudah cukup bagus tetapi kerajaan perlu meneruskan dan memantau usaha ini supaya tidak terhenti setengah jalan. "Langkah menumpukan perhatian kepada mengembangkan potensi individu juga satu tindakan bijak kerana bantuan kewangan sahaja tidak elok untuk jangka panjang. Golongan miskin tegar yang baru dikesan selepas ini lebih mudah dibantu kerana bilangannya lebih kecil dan tumpuan seterusnya adalah meningkatkan taraf hidup golongan miskin pula."

Untuk 2011, beberapa sasaran baru telah ditetapkan untuk dicapai menjelang 31 Disember ini termasuk mengurangkan bilangan 57,793 peserta 1Azam yang mendaftar dengan eKasih bagi kategori miskin. Selain itu, permohonan eKasih yang tertunggak sepanjang 2010 akan disahkan dan didaftar menjelang 31 Mac atau menjelang Dis 2011 bagi kes bermula Januari. Tempoh pengesahan tidak melebihi 14 hari untuk Semenanjung atau 28 hari bagi Sabah dan Sarawak.
Seramai 1,000 usahawan wanita juga akan dilahirkan sepanjang 2011 di samping usaha meningkatkan pemilikan 4,965 unit rumah di kalangan isi rumah miskin. Untuk memastikan inisiatif berkenaan berjaya, kerajaan akan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah, skim kredit-mikro, meningkatkan bilangan klinik dan menambah bantuan kewangan untuk golongan yang memerlukan anggota tiruan (prostetik).

Menjelang 2012, bantuan tambahan seperti hostel untuk pelajar sekolah pedalaman serta bantuan untuk rawatan dan pengangkutan ke pusat dialisis juga akan disediakan di samping polisi gaji minimum yang masih dalam perbincangan. Dengan komitmen dan inisiatif yang ditunjukkan semua pihak, sasaran berikutnya NKRA ini tidak lagi terikat sekadar menutup buku kemiskinan malahan mungkin mampu menutup juga buku isi rumah berpendapatan rendah serta sebahagian besar yang berpendapatan sederhana.
Setinggi mana sekalipun sasaran itu akan bergantung kepada kelangsungan program pembasmian kemiskinan serta GTP yang didokong semua kakitangan kementerian dan agensi kerajaan yang perlu bekerjasama untuk negara mencapai wawasan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Petikan U.Malaysia

No comments:

Post a Comment