Pages

Monday, August 23, 2010

JANGAN BIARKAN MELAYU JADI GILA

PULAU Mutiara terus menyajikan cerita menarik. Terbaru ialah mengenai isu khutbah solat Jumaat. Semalam, polis Pulau Pinang mengesahkan, pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat isu khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, kepada nama Guan Eng, dalam doa khutbah Jumaat.

Khatib didakwa membaca doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri P. Pinang."
Polis memperingatkan semua pihak supaya jangan menggunakan platform yang ada seperti ini untuk memecah-belahkan rakyat.

Apa yang diharapkan, isu ini dapat diselesaikan segera kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam terutama di Pulau Pinang. Pelik juga apabila nama pemimpin negeri disebut dalam khutbah itu sedangkan selama ini, tidak ada nama Menteri Besar/Ketua Menteri malahan Perdana Menteri disebut dalam doa itu. Biasanya hanya nama Agong, sultan atau raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri disebut.

Mungkin jika perkara itu berlaku melibatkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN), sudah tentu akan ada desakan pihak sebelah sana supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja, jawatankuasa khas, tribunal, kertas putih atau macam-macam lagi.

Begitu jugalah dengan isu-isu lain yang menarik perhatian di Pulau Pinang seperti berkaitan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus berhubung 'lidah biawak', isu Kampung Buah Pala, Kampung Pokok Asam, Bazar Ramadan Komtar, isu penjaja Melayu dan macam-macam lagi yang berkait rapat dengan kerajaan negeri. Kalau itu melibatkan kerajaan BN, maka akan ada dakwaan tidak telus, tidak mentadbir dengan cekap, tidak amanah dan entah apa lagi malahan mungkin pemimpinnya disuruh letak jawatan.

Apa yang diharapkan, isu-isu ini tidak dilihat sebagai rasis atau perkauman. Bukan kerana ia hanya melibatkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu. Sebaliknya satu kes lain membuktikan seorang peniaga Cina juga kurang senang dengan langkah pengurusan Komtar sehingga dia cuba membakar dirinya. Maknanya sudah tentu ada yang tidak kena. Begitu juga penduduk kaum India di Kampung Buah Pala.

Sebagai sebuah negara yang akan mencapai usia kemerdekaan yang ke-53 , kita mahu keharmonian masyarakat berbilang kaum dikekalkan. Kita perlu resah apabila masih ada di kalangan rakyat negara ini yang membangkitkan isu-isu yang boleh menyakiti hati orang lain. Ini termasuklah mempertikaikan institusi raja Melayu, mempersendakan lagu Negaraku, kepala babi dibuang di pekarangan masjid, membangkitkan isu kuota Melayu atau bumiputera dalam 'kek' ekonomi, biasiswa dan sebagainya yang semuanya berkaitan hak istimewa orang Melayu.

Begitu juga dengan isu demonstrasi mengarak kepala lembu di Shah Alam dan isu bakar Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati Kuala Lumpur. Syukurlah, dua kes ini sudah selesai apabila 12 yang menyertai perhimpunan mengarak kepala lembu didenda RM1,000 manakala dua lagi yang memijak kepala lembu didenda RM3,000. Manakala kes bakar gereja pula, dua beradik dipenjara lima tahun. Begitulah berakhirnya dua isu panas yang menimbulkan keresahan hubungan kaum di negara ini. Diharapkan isu lain juga dapat diselesaikan dengan segera.

Kita juga harus berbangga apabila UMNO dapat mengambil tindakan pantas setelah seorang pemimpin bahagian, Ahmad Ismail didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur rasis semasa berkempen pada PRK Permatang Pauh. Begitu juga dengan Nasir Safar yang memohon maaf secara terbuka dan meletak jawatan sebagai Pegawai Khas PM apabila beliau didakwa memberi ucapan berunsur hasutan. Langkah segera juga diambil oleh kerajaan apabila seorang pengetua sekolah di Kulai, Johor didakwa memberi ucapan berbau perkauman. Walaupun pengetua itu sudah meminta maaf tetapi sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Begitulah berhemahnya orang Melayu yang tidak keberatan menghulurkan tangan memohon kemaafan. Maka dalam kita menuju sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-53 janganlah ditiupkan kembali sentimen perkauman. Jangan sesekali menimbulkan perkara yang membuatkan kaum lain sakit hati, mencari sesuatu yang membuka ruang untuk 'bergaduh' atau memperjuangkan perkara yang boleh menimbulkan prasangka sesama kita. Ingatlah apabila ada pihak yang cuba menyinggung kaum lain, ia umpama bara yang boleh membakar pada bila-bila masa. Hanya perlukan secebis kertas untuk menyemarakkan api.

Justeru, janganlah kita ulangi kesilapan Ahmad Ismail, Nasir Safar, pengetua sekolah dan sebagainya. Elakkan tindakan atau kenyataan seperti yang dicetuskan oleh Namewee (isu Negaraku), Wee Ka Siong, Chua Soi Lek, Tony Pua dan apa saja yang boleh menyentuh hati dan perasaan orang Melayu di negara ini.

Seorang rakan risau melihat gelora yang berlaku selepas tsunami politik 2008. Beliau bertanya, kenapa perlu ada demonstrasi pijak kepala lembu? Kenapa ada Melayu bakar gereja? Kenapa Ahmad Ismail, Nasir Safar dan pengetua sekolah bercakap demikian? Kenapa Nik Ali bersuara? Kenapa Pak Ali berani menepuk bahu Guan Eng? Kenapa Melayu 'serang' Guan Eng semasa ke majlis berbuka puasa?

Tanya sahabat itu lagi : ''Apa sudah jadi dengan orang Melayu? Adakah mereka sudah tidak mampu membendung kemarahan?''. Penulis tidak memberi jawapannya. Cuma penulis terkedu seketika apabila, beliau bertanya ''Adakah itu semua menunjukkan orang Melayu sudah gila?''. Setelah merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, penulis setuju apa yang dimaksudkan dengan 'gila' itu. Semoga Melayu tidak benar-benar 'gila'. HASSAN MOHD. NOOR : U.Malaysia

3 comments:

  1. Salam.
    Orang Melayu yang masih mengaku dirinya Melayu, tak gila dan belum gila.

    Orang Melayu akan jadi gila, kiranya perasaan dan fikirannya terus menerus diganggu dengan bermacam-macam tekanan, lebih-lebih lagi dari mereka yang "bukan Melayu".

    Oleh itu usahlah ada pihak yang cuba membuat orang Melayu benar-benar jadi gila.

    Kerana anda pasti tidak suka, kiranya orang Melayu dah jadi gila.

    ReplyDelete