Pages

Monday, August 2, 2010

ELAK TRAGEDI : HORMATI SENSITIVITI KAUM LAIN

MALAYSIA berada dalam situasi bahaya jika isu-isu melibatkan sensitiviti sesuatu kaum terus dipersoalkan.Malah untuk sekian kalinya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pihak supaya jangan menyentuh soal sensitiviti kaum di negara ini.
Nampaknya segelintir pemimpin politik tidak mahu mendengar titah baginda. Apakah titah perintah Yang di-Pertuan Agong supaya rakyat mesti sentiasa menjaga sensitiviti kaum itu sukar dilakukan? Rasanya cukup mudah. Sebelum mengeluarkan pandangan, fikir baik dan buruknya kepada kaum-kaum lain. Jangan ikut sedap mulut sahaja.

Lebih 50 tahun merdeka, perkara sensitif ini dijaga dan tidak dipersoalkan secara terang-terangan. Malah, isu-isu sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan dijadikan sempadan oleh semua kaum agar perpaduan antara mereka dapat dipertahankan. Tetapi kini seorang demi seorang pemimpin bukan Melayu mempersoal hak istimewa Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum ini.

Terbaru cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu. Cadangan pemansuhan diskaun bumiputera jika dilihat secara tersirat adalah usaha berterusan pihak cauvinis kaum itu untuk melemahkan keyakinan rakyat kepada prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan dan keharmonian yang telah dibina sejak sekian lama.

Bukan pihak berkenaan tidak tahu bahawa perkara berkaitan hak istimewa Melayu telah tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan dan tidak perlu dikupas. Dan ini adalah antara formula kepada perpaduan dan keharmonian agama dan kaum selama ini. Jadi masyarakat di negara ini perlu menghormati prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah kaum bukan bumiputera pun tidak pernah rugi selama ini sejak dasar-dasar membantu bumiputera dilaksanakan.

Malah Perdana Menteri pun akui dasar itu tidak mungkin akan kekal selama-lamanya tetapi pada masa ini, penghapusan diskaun itu belum sesuai dilaksanakan. Jadi, elok parti-parti politik diingatkan selalu agar jangan cuba bertindak melampaui batas. Kita tidak mahu kerana ghairah berpolitik sehingga ia boleh menimbulkan kesan buruk kepada keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ada benarnya. Kita juga bimbang jika cara politik melampaui batas itu diteruskan parti-parti terbabit, ia akan menghancurkan keharmonian dan pembangunan yang dicipta sejak berpuluh tahun lalu. Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri perlu melakukan sesuatu dalam memelihara keharmonian kaum. Tanpa kita sedari perbuatan mempersoal hak bumiputera hanya akan mendedahkan Malaysia kepada risiko keselamatan yang mungkin berakhir dengan tragedi yang tidak diingini.

Ingatlah, dalam politik pun ada had dan batasan dan bukan semuanya boleh dipolitikkan.
Petikan U. Malaysia.

No comments:

Post a Comment