Pages

Saturday, February 27, 2010

KITA ADALAH PEWARIS YANG SETIA

(Majlis Perundingan NGO Melayu 27 Feb 2010 Kelab Sultan Sulaiman, K. Lumpur)

Dari darah,
Dari keringat dan dari air mata
Para pejuang silam
Nostalgia ini adalah penggugah
Kepada rasa kasih nenek moyang
Penggoncang rasa rindu dan tanggungjawab
Pada generasi yang bakal dilahirkan.
Kita adalah pendukung sumpah dan amanah, pejuang perkasa !

Di sini,
Mari kita bongkar segala kekuatan
Mari kita bongkar segala rahasia
Mari kita hayati segala amanah para wali,
Mari kita kembali suburgagahkan
Akalbudi kebijaksanaan dan tunjang jatidiri,
Menerobos segala caci maki
Menentang segala penggugatan teras dan tiang seri

Usah dipersiakan darah Jebat
Usah dikhianati janji Tuah
Jangan dihina tangisan Maharajalela
Jangan dinodai amanah Zaaba !
Mari kita tukar luka sejarah
Menjadi madu dan bangkitkan kekuatan luarbiasa !
Kita tidak perlu meratapi cahaya yang padam
Kita tidak perlu untuk terus kehilangan
Mari kita bina perpaduan yang goyah
Mari kita jalin kesetian pada bangsa kepada Tuhan

Kini,
Kita terpulas angin kencang perjuangan
Menitiskan titik-titik hitam sejarah dan watan
Terjebak dengan hujah yang mengelirukan,
Bersengketa sesama sendiri konon tajam ideologi
Bertimbang pada wasangka berdalil pada riak dusta.
Membisikan kebenaran tapi menutup pintu hati
Menanam kejujuran tapi menabur jarum fitnah
Menghulurkan tangan tapi melafazkan dendam curiga
Mengikat persaudaraan tapi luntur di tengah perlumbaan,
Petah berhujah tapi mencemar akidah
Sanggup mengalah kerana kuasa !!!
Memilih kera dari anak sendiri
Mengasah muslihat tapi memperdaya bangsa
Menjangkau globalisasi tapi menukar haluan hakiki
Menjulang kebebasan tapi daif berfikir dan merencana

Kita bukan bangsa yang ditenggelami emosi
Kita bukan bangsa yang kehilangan strategi
Kita bukan bangsa yang menolak paradigma
Kita bukan bangsa yang dangkal fakta dan hujah
Kita bukan bangsa yang rela menjual maruah !

Kita bukan bangsa yang daif berfikir
Kita bukan bangsa yang menyerah kepada takdir
Kita bukan bangsa yang dibelengu kebebalan
Kita bukan bangsa dayus bila ada yang cuba membongkar pusara nenek moyang !
Kita tidak rela hidup dijajah semula !!!

Kita bukan bangsa berjiwa kecil
Melayu adalah bangsa besar dalam kesejagatan
Yang merencana dan memayungi penuh ehsan
Mengukir Malaysia maju gagah perkasa
Mendukung maruah pengibar bendera Melayu Islam seluruh alam
Kita adalah warga dunia bermaruah tinggi penegak kebenaran !

Kita bukan pewaris yang bakal mengemis
Kita adalah pewaris yang gagah, perkasa dan setia.


Oleh : zainal mohd jais/ahmad sarju

Thursday, February 18, 2010

"SI KITUL, 'GUINEA PIG' & BOM JANGKA"

RUPANYA DIA BUKAN SI KITUL,
DIA BUKAN SI LUNCAI,
Dia adalah 'guinea pig' dan bom jangka !!!


Sejarah adalah cermin untuk kita membentuk masa depan yang lebih baik. Sejarah juga adalah asas kepada pengukuhan jatidiri dan patriotisma. Tetapi sejarah juga menunjukkan bahawa keruntuhan sesuatu tamadun, atau kemusnahan sesuatu bangsa itu ialah apabila mereka tidak lagi menghormati sejarah sendiri, malah memperlekeh, lebih buruk lagi cuba memadam sejarah.