Akhbar China Press terbitan 11 Disember menyiarkan sebuah artikel mengenai isu Timbalan Perdana Menteri daripada kaum Cina seperti yang dijanjikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Artikel bertajuk 'Isu Timbalan Perdana Menteri, pisau bermata dua' itu tersiar di ruangan perbincangan rakyat halaman 17 akhbar berkenaan.
Menurut penulisnya yang menggunakan nama samaran Pelangi Timur, isu Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang baru. Malah, Kit Siang sendiri sudah bosan mendengarnya. Justeru kenapa Anwar menimbulkan perkara itu ketika ini? Sudah semestinya beliau mempunyai agenda tersendiri. Ramai yang berpandangan Anwar menimbulkan isu ini kerana berharap mendapat sokongan daripada orang Cina pada pilihan raya umum akan datang.
Apa yang disebut Anwar itu juga sudah tentu membawa mesej tertentu. Jika pakatan pembangkang memerintah kerajaan pusat, adakah beliau menjadi ketua segalanya. Beliau mahu dua lagi parti komponen pakatan pembangkang tunduk dan setuju dengan pandangannya.
Anwar mungkin akan kecewa kerana strategi ini perlu mendapat sokongan penuh. Sedangkan jika kita lihat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah pun bersuara. Kata Nik Aziz, jika Kit Siang mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau perlu menjadi orang Islam yang kuat.
Hubungan Anwar dan Nik Aziz ini sendiri bermasalah. Ia menggambarkan ada perbalahan antara Pas dengan PKR. Lebih jelas, antara Anwar dan Nik Aziz banyak perkara yang perlu diselesaikan. Jika tidak, antara mereka akan timbul banyak perbalahan dan pandangan yang berbeza-beza.
Kerjasama mereka hanya nampak pada permukaan sahaja. Tetapi di bawahnya, mereka saling bertelingkah. Ini tidak menguntungkan penyatuan pakatan pembangkang. Tulis Pelangi Timur lagi, jika pakatan pembangkang mahu menumpukan sasaran ke Putrajaya, mereka tidak boleh mengabaikan pandangan yang berbeza-beza ini.
Tapi itu juga memang mustahil berlaku. Walaupun sepakat, pakatan pembangkang belum tentu melaksanakan tugas-tugas dengan baik. Dalam isu Timbalan Perdana Menteri juga, orang bukan Melayu tidak pernah mengambil berat mengenai perkara itu. Kerana jawatan itu hanya simbolik sahaja dan tidak ada kuasa penuh. Sedangkan orang Cina tidak berminat dengan kuasa yang tidak sepenuhnya.
Jika ia menjadi isu yang begitu hangat sehingga menyebabkan negara menjadi huru-hara, maka orang Cina sendiri akan menjauhinya. Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO mungkin berasa tidak selesa dengan isu ini.
''Tetapi kesannya tidaklah membimbangkan. Sebaliknya isu ini hanya akan melemahkan pakatan pembangkang. Sebab sebelum ini pemimpin UMNO juga pernah berkata, orang bukan Melayu boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri II. Ini menunjukkan isu itu tidak begitu tinggi dan penting," tulis Pelangi Timur. (petikan U.Malaysia)
No comments:
Post a Comment