Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama menentang keras penganjuran Seksualiti Merdeka yang mahu memperjuangkan hak golongan homoseksual berlandaskan hak asasi manusia. Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Aidit Ghazali berkata, semua pihak perlu membantah sekeras-kerasnya penganjuran program tersebut kerana ia suatu yang jijik, luar tabie dan tidak selari dengan nilai-nilai suci agama.
“Program ini bukan setakat barah kepada negara malah boleh dianggap satu musibah kerana perjuangan mereka yang mahu menghalalkan hubungan golongan-golongan tersebut sememangnya bertentangan dengan agama dan nilai moral. Mereka yang anjur program ini adalah golongan yang menipu diri sendiri kerana ia langsung tidak mencerminkan moral masyarakat di negara ini.”
“Jadi, saya menyeru semua persatuan agama termasuk agama-agama lain, pihak media dan orang ramai agar membantah penganjuran tersebut,” Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan dengan program itu yang dianjurkan oleh Majlis Peguam, Amnesty International Malaysia dan Justice For Sister. Program berkenaan akan mengadakan beberapa aktiviti seperti bengkel, forum, pameran dan persembahan seperti Drag Queens.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, program tersebut adalah satu provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan terhadap masyarakat negara ini kerana majoritinya tidak pernah bersetuju dengan pendirian golongan tersebut.
“Malah saya difahamkan di Amerika Syarikat (AS) hanya enam daripada 50 buah negeri yang mengiktiraf golongan ini. Ia jelas menunjukkan majoriti masyarakat dunia tidak menghalalkan perkara yang menentang undang-undang itu,” Tambah beliau, semua pihak tanpa mengira agama perlu menentang dan mengecam penganjuran aktiviti tersebut yang boleh menjejaskan pembangunan modal insan golongan muda khususnya. “Penganjur perlu menarik balik program tersebut dan sekiranya mereka berkeras, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas mengikut peruntukkan undang-undang yang ada.
Timbalan Pengerusi Hindu Sanggam Wilayah Persekutuan, P. Chandiran menegaskan kerajaan harus memainkan peranan penting dalam mengekang program seumpama itu. “Jelas dan nyata program itu bertentangan dengan budaya dan kehidupan masyarakat kita. Jadi kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan berkaitan agar penularan gejala itu dapat dibendung. “Tidak mustahil sekiranya gejala ini tidak ditangani segera ia akan menjadi barah di kalangan masyarakat kita di masa hadapan,” ujarnya. petikan U. Malaysia.
No comments:
Post a Comment