Pages

Thursday, May 12, 2011

PERJUANGAN UMNO SANGAT BERMAKNA, TERUS RELEVAN – Syed Naquib

Profesor Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Hari UMNO ke-65 melihat UMNO sebagai sebuah parti yang sangat bermakna dan perlu terus diperturunkan kepada generasi akan datang untuk kesinambungan masa hadapan. Katanya, perjuangan UMNO hari ini jika dibandingkan dengan dahulu terlalu banyak perubahan-perubahan yang berlaku bukan sahaja kepada orang Melayu dan Islam tetapi ia juga turut memberi pengaruh kepada perkembangan semasa dari dalam dan luar.

“Dalam perjuangan UMNO ini, alhamdulillah saya lihat sudah mulai ada keinsafan bahawa soal adab itu penting kerana adab itu ilmu yang bukan dipelajari di Universiti tetapi harus diturun temurunkan untuk mereka terus faham maksud perjuangannya.”
Syed Naquib yang dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Jawa Barat adalah tokoh yang merialisasikan berkibarnya bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ apabila Presiden UMNO pertama, Datuk Onn meminta ilham daripada beliau untuk menciptanya. “Pada tahun 1945-46, Datuk Onn mengatakan kepada saya cuba reka berkenaan bendera, walaupun umur saya ketika itu baru dalam 14 tahun.”

Jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau dalam revolusi yang berlaku di Indonesia dan juga tema yang perlu ada dalam bendera tersebut maka beliau mencipta ‘Sang Saka Bangsa’ sebagaimana yang ada hari ini.
“Soal merah putih dalam bendera UMNO ini tentu sekali terpengaruh kepada pengalaman Revolusi Indonesia. Kemudian Datuk Onn mengatakan dalam bendera ini harus ada fahaman kesetiaan, keberanian, mengenai kewibaan Sultan dan Islam serta kekuatan orang Melayu. Ini yang dimahukannya.

“Setelah saya fikir-fikir maka pada merah putih itu di tengah-tengah saya letakkan satu warna kuning untuk menandakan kewibawaan para Raja, mengenai keris saya berikan warna hijau sebagai agama Islam dan keris adalah simbol yang paling digunakan oleh orang Melayu sebagai kekuatan. Jadi, idea-idea itu semua yang digabungkan dalam satu bendera.”
Beliau yang mendapat pendidikan dalam bidang keagamaan, kebudayaan, sastera, bahasa dan banyak menyumbang kepada penghasilan karya-karya besar telah menyuntik semangat nasionalisme dan falsafah dalam tradisi masyarakat Melayu.

“Berkenaan dengan relevannya perjuangan UMNO maka ia tetap relevan bukan hanya sekarang tetapi di masa-masa lain pun, apa lagi sekiranya sudah banyak perubahan untuk membuat pembetulan dalam kesilapan-kesilapan lampau. Ini bermakna ia akan terus relevan apatah lagi sekarang banyak fahaman intelektual yang didatangkan kepada pemuda kita.

“Menuntut ilmu itu penting walaupun kita harus tuntut ilmu kemajuan seperti sains dan teknologi tetapi ia harus dilandaskan atas dasar tradisional kita sendiri terutamanya soal-soal adab, soal akhlak. Bukan saja semata-mata satu dua perkara, yang disebut integriti tapi tidak ada diberi makna apa yang harus dilakukan bagi mendatangkan integriti itu.”

Jelasnya lagi, semua perkara harus diberi pemahaman berkaitan agama dengan betul apatah lagi perjuangan UMNO hari ini bukan seperti dahulu untuk kemerdekaan atau keluar dari kemiskinan tetapi jauh lebih luas lagi hingga ke dunia luar.

“Saya fikir tugas seperti ini akan menjadikan UMNO terus relevan, iaitu kita harus dengar dan perhatikan kata-hikmat daripada orang yang mempunyai ilmu tentang hal-hal macam ini dan lebih dari itu kita perlu praktikannya. Kalau kita tidak mahu dengar ini semua maka akan timbul banyak masalah.” Tegasnya, UMNO harus sedar dan menggunakan ilmu dengan mendengar dan belajar daripada orang yang benar-benar tulen ilmunya dan bukan yang hendakkan pangkat atau yang mahukan cita-cita sahaja.

“Pemimpin mesti belajar dengan orang yang ikhlas dengan dirinya sendiri yang ilmunya itu ditujukan untuk bangsanya, kebaikan bangsanya dan dengan ikhlas juga melakukannya. Saya fikir ini yang kita hadapi selain cabaran-cabaran daripada intelek barat dalam melihat ketamadunan kita,” ujarnya.

Beliau yang merupakan ahli falsafah dan ketamadunan Islam telah menulis lebih 20 buku dan monograf, baik dalam bahasa Inggeris, Melayu dan banyak selain diterjemahkan ke dalam bahasa lain, seperti bahasa Arab, Persia, Turki, Urdu, Malayalam, Indonesia, Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, India, Korea, dan Albania. Ketokohan beliau meliputi pelbagai bidang termasuk bertanggungjawab merancang dan merekabentuk bangunan kampus Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa (ISTAC).

Syed Naquib adalah penerima ketujuh sejak anugerah Tokoh Melayu terbilang diwujudkan pada tahun 2005 dengan dimulakan kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir (2006), Datuk Ibrahim Hussein (2007), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (2008), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (2009) dan Tan Sri Zainuddin Maidin (2010). – Dipetik dari MediaUMNO 11 May 2011

Wednesday, May 11, 2011

KRISTIAN AGAMA RASMI? REAKSI MESTI BIJAK, TANGANI DGN BIJAKSANA

PM MINTA RAKYAT BERTENANG
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat bertenang berhubung dakwaan wujudnya usaha mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sehingga siasatan mengenainya selesai.
Katanya, dakwaan tersebut tidak akan memberi faedah kepada sesiapa pun, justeru mana-mana pihak sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu tersebut.
‘‘Saya tidak mahu membuat kesimpulan tanpa bukti, ia boleh menjadi api dalam sekam. Kalau tidak bendung, boleh jadi polarisasi yang amat serius’’
Perdana Menteri ditanya laporan mengenai pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang antara lain didakwa membawa agenda menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan. Laporan tersebut memetik laman blog http://bigdogdotcom.wordpress.com. menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.
Perdana Menteri mengingatkan agama adalah perkara sensitif dan semua pihak mesti menjaga keadaan supaya tidak berlaku sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan. Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi, di samping itu, agama lain bebas dianuti.
Tegasnya, prinsip tersebut sangat penting dan dijadikan antara sendi utama pembentukan Malaysia, tidak boleh dipersoalkan. ‘‘Kalau ada sesiapa yang cuba gugat ketenteraman, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku. Yang penting adalah keharmonian Malaysia.’’

APA REAKSI KITA ?
Orang Islam sering dikaitkan dengan keganasan. Mengapa ? Salah satu puncanya ialah, terlalu mudah melatah dengan provokasi. Sedangkan Islam adalah agama yang sangat mementingkan keilmuan dan kebijaksanaan, sangat mementingkan kredibiliti dan nilai kasih sayang.
Lalu soalnya, adakah kenyataan tersebut (1)benar dikeluarkan oleh sekumpulan yang (2)sedar bahawa Islam sebagai agama rasmi itu sudah termaktub dlm perlembagaan ?

Jika ia berita tidak benar, dan cuma manipulasi media, apakah implikasinya, dan apakah sikap atau reaksi yang seharusnya.
Jika benar ia telah secara sedar dilafazkan, apakah kelompok itu terlalu ‘tolol’ untuk tidak mengetahui status yang ada dalam perlembagaan? Justeru, kalau begitu, apakah hasrat mereka yang sebenarnya?
Syarat wajib dalam hukum persaingan ialah kita perlulah lebih bijak dari pesaing kita. Justeru apakah sebarang sikap dan reaksi yang telah dan akan diluahkan, menggambarkan ‘kebijaksanaan luarbiasa’ atau sekadar stereotaip dan klise kelemahan atau sikap negatif yang telah diwarisi sejak sekian lama ?
Tepuk dada Tanya hati....

Wednesday, April 27, 2011

SEBUAH LAGI PNB ?

Kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah lagi entiti seumpama Permodalan Nasional Bhd. (PNB), sebaliknya mahu terus memberikan tumpuan kepada dasar-dasar mengukuhkan firma itu pada masa depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berpuas hati dengan prestasi PNB yang kini muncul sebagai firma pelaburan terbaik di dunia.

''Setakat ini, memang kerajaan tiada perancangan seperti itu (penubuhan PNB kedua) kerana apa yang kita ada sekarang sudah cukup baik," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) kali ke-12 yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebuah negara pun di dunia berjaya mengguna pakai model PNB sebagai satu instrumen untuk menyusun semula masyarakat dan melakukan transformasi minda secara besar-besaran. ''Saya difahamkan setiap tahun banyak delegasi dari negara membangun berkunjung untuk mempelajari model PNB.

''Kalau ada yang berjaya pun mungkin di Fiji iaitu Fijian Holdings Ltd., yang pegawai-pegawai mereka telah datang ke PNB untuk tujuan latihan dan menubuhkan struktur mirip PNB. Begitupun, saiz dana yang diuruskan tidaklah sebesar PNB," Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan model PNB dan memastikan ia berjaya mencapai objektif.

Ini kerana, tambah beliau, di peringkat makro, kejayaan sesuatu skim penyusunan semula, pengagihan pendapatan dan kekayaan masyarakat memerlukan komitmen, dokongan serta kemahuan politik yang tinggi di pihak kerajaan untuk melaksanakannya. Pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan tinggi tidak kurang pentingnya supaya kekayaan negara dapat diagih-agihkan kepada kaum yang ketinggalan dan pada masa sama tidak meminggirkan peluang kaum lain.

Katanya, di sebalik aspek-aspek itu, rakyat jangan lupa kestabilan dan perpaduan masyarakat juga merupakan kunci utama. ''Faktor-faktor ini telah menjadikan model penubuhan PNB yang diilhamkan lebih 30 tahun lalu menjadi realiti kerana kerajaan, Yayasan Pelaburan Bumiputera, PNB dan masyarakat bersatu sehingga terbentuk satu institusi terserlah dan berintegriti." Petikan U.Malaysia 

ULASAN: Cadangan seumpama ini pernah saya kemukakan beberapa bulan lepas, melalui komunikasi di FB bersama dato' Zuraidah Atan. Berdasarkan kejayaan besar PNB dalam mengembleng 'tenaga ekonomi Melayu', saya yakin penubuhan organisasi yg seumpamanya, walaupun sudah tentu ada perbezaannya, adalah jalan pantas dan efektif membangunkan Melayu dan meningkatkan ekuiti Melayu.
Konsep korperasi misalnya, adalah satu lagi pilihan yang seumpamanya yang perlu diberi 'motivasi baru' dalam konteks menjana 'tenaga ekonomi Melayu'.
Saya kira, "JALAN PENYELESAIAN" spt itu perlu difikirkan dgn serius oleh pihak kerajaan.

Friday, April 22, 2011

GERAKAN "1MELAYU 1BUMI" TIDAK BAIK UTK NEGARA

Gerakan ‘1Melayu, 1Bumi' tidak baik untuk negara - Tun M
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, idea gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang dicadang Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah tidak baik untuk negara.
"Saya harap ia tidak berlaku.... Jika kita laksanakan juga, akan terdapat sistem dua parti dalam politik... jika satu dikuasai oleh Melayu dan satu lagi oleh Cina, ia akan membawa mala petaka kepada negara,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu selepas melancarkan Perdana Global Peace Foundation dan Jelajah Keamanan 2011 di sini hari ini.

Semalam Perkasa mengumumkan gerakan “1Melayu, 1Bumi” akan menjadi sebahagian daripada ”Perhimpunan Melayu” yang akan diadakan pada 30 April ini di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar.
Dr. Mahathir turut menasihatkan rakyat untuk memikirkannya secara mendalam mengenai sistem politik perkauman dan menegaskan bahawa ia akan menjadi mala petaka kepada negara jika berlaku. - Bernama

ULASAN: BILA ORANG YG KETIADAAN KEBIJAKSANAAN GHAIRAH NAK BERJUANG. DAN APABILA ORANG YANG BIJAKSANA SEMAKIN HILANG DARI BARISAN HADAPAN....PERLU SENTIASA ADA YG BERUPAYA MENEGUR. 

RAMAI RAKYAT TAK PEDULI DASAR NEGARA

Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak peduli ataupun memahami dasar-dasar negara yang diguna pakai sekarang. Kekecewaan itu disuarakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang berharap kesemua dasar negara perlu 'dimasyarakatkan' kepada rakyat Malaysia.
"Macam-macam dasar dirangka dengan menggunakan tenaga dan sumber yang begitu besar, namun pada amalannya agak mengecewakan apabila masih ramai tidak mengetahui atau memahami mengenai dasar-dasar ini," katanya ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Firdaus berkata, usaha 'memasyarakatkan' dasar negara itu penting demi memastikan kesinambungan pemerintahan dan kestabilan negara pada masa depan.

Ia juga katanya, perlu sebagai usaha menjamin generasi muda pada masa depan tidak lupa bahawa dasar-dasar sedia ada adalah penting kepada mereka.
"Kesilapan kita kini adalah kecuaian kita 'memasyarakatkan' pelbagai dasar yang ada dengan berkesan sedangkan proses penggubalannya menggunakan tenaga dan masa yang begitu banyak demi kepentingan negara," katanya.

Sebagai contoh, Firdaus berkata, begitu ramai tidak menyedari komponen-komponen yang terkandung di dalam Wawasan 2020 terutama mengenai sembilan strategi yang dirangka untuk memajukan negara.
"Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan, Rancangan Malaysia, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pendidikan dan sebagainya. Sehubungan itu, saya menyeru supaya kerajaan meningkatkan usaha 'memasyarakatkan' dasar-dasar ini," katanya.

Thursday, April 7, 2011

NAJIB SELEPAS DUA TAHUN SEBAGAI PM

Genap dua tahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara. Sepanjang dua tahun ada pasang surutnya. Ada zaman kegemilangan dan zaman penuh onak dan duri, cabaran pula menggunung tinggi. Apakah signifikan kepimpinan Najib sejak 3 April 2009? Sewaktu Najib mengambil alih tadbir urus kepimpinan negara, beliau berhadapan dengan suasana politik tidak menentu, krisis ekonomi global dan hubungan etnik yang rapuh.
Seiring dengan persekitaran sedemikian, Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar untuk dijadikan dokumen rujukan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang membolehkan ‘pasukan’ beliau diberikan penelitian pencapaian jika sokongan ke atas kepimpinan Najib mahu diterjemah kepada sokongan terhadap parti yang beliau pimpin pada PRU-13 nanti.

Konsep 1Malaysia dilihat menjadi ‘penggerak’ kepada gaya kepimpinan Najib. Kajian yang dilakukan Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mendapati 84 peratus daripada 15,353 responden yang ditemui sepanjang Jun dan Julai 2010 mempunyai pemahaman yang jelas ke atas konsep tersebut, berbanding 69 peratus pada Oktober 2009. Malahan, konsep 1Malaysia berada pada tahap membina kesedaran dan kefahaman sejak April 2009 kini memasuki fasa baru iaitu untuk diterap dalam proses pengukuhan jati diri warga Malaysia dan merupakan fasa paling penting jika mahu menguji penerimaan sebenar konsep ini.

Ramai menganggap salah satu kejayaan Najib pada pilihan raya kecil adalah kerana penekanan berterusan ke atas konsep ini yang perlahan-lahan membolehkan kepimpinan beliau mendapat kepercayaan. Jika di peringkat awal, ramai yang sangsi dengan konsep ini sehingga menyoal mengapa ‘SATU’ Malaysia diperkenal hari ini, tetapi proses membina keyakinan secara tidak bermusim membolehkan ia menjadi salah satu mekanisme untuk Najib menjana perubahan. Teras kemuafakatan yang mahu dibina oleh beliau mencerna nilai kemanusiaan dan melangkaui nilai kepentingan diri dalam mengupas persoalan etnosentrik dan prejudis yang sukar ketika tahun 2008.

Hubungan etnik di Malaysia mempunyai sejarah yang sentiasa berubah mengikut rentak persekitaran dan kedudukan semasa. Isu-isu berkaitan keagamaan, kebudayaan, etnik serta ras merupakan isu yang perlu ditangani secara berhemah. Ia tidak boleh dijadikan penanda aras kejayaan konsep 1Malaysia tanpa mengambil kira sejauh manakah pemimpin politik yang sepatutnya menjadi ‘idola’ menyalahguna kedudukan mereka untuk menjadi popular dengan menggunakan isu seperti ini tanpa memahami apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Fahaman politik berbeza tidak boleh menjadi senjata untuk memperkudakan isu sensitif yang boleh menggugat nilai kemasyarakatan yang terbina sekian lama. Kebanyakan isu sensitif wajar mencari mekanisme bersifat dialog dan perbincangan sebelum membuat keputusan akhir kerana kesannya ke atas masyarakat, satu usaha yang boleh direncanakan selepas dua tahun mentadbir negara. Begitu juga dari sudut ekonomi. Walaupun harga barangan naik tetapi masyarakat dididik memahami kegawatan global. Walaupun begitu, MBE perlu diberikan pemahaman berterusan kerana wujud tanggapan bahawa ia akan memberi kesan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Begitu juga dengan PTE yang sedang dilaksanakan. Apa yang penting buat masa ini adalah bagaimana transformasi dilakukan terutama melalui pendekatan sistem penyampaian yang dipuji, kos efektif dan lancar.

Sekiranya sektor swasta, awam, perangka dan pelaksana dasar serta rakyat sebagai kumpulan sasar saling bergandingan dan mempunyai hubungan saling perlu memerlukan dan mahu memahami sepenuhnya MEB, maka dasar ekonomi Najib akan melonjak selepas dua tahun mentadbir urus, bukan sahaja atas kapasiti sebagai Perdana Menteri tetapi juga selaku Menteri Kewangan. Apa yang ketara adalah sepanjang dua tahun ini, Najib sedang menerajui perubahan dan sudah diiktiraf oleh masyarakat umum berbanding dengan kedudukan sejurus pasca PRU-12 pada Mac 2008. Jika populariti Najib berada pada kedudukan 44 peratus pada April 2009, pada Disember 2010 ia meningkat kepada 69 peratus. Najib merupakan salah satu faktor suntikan kemenangan di pilihan raya kecil Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi walaupun tewas di Sibu serta kemenangan di Tenang dan Merlimau.

Kemenangan dan kekalahan merangkumi pelbagai faktor tetapi tahun 2009-2011 juga melihat Najib berjaya menukar momentum yang jauh berbeza dari tahun sebelumnya. Barisan Nasional (BN) memulihkan semula strategi pendekatan ‘keahlian terus BN’ yang membolehkan lahirnya Sahabat BN, Rakan Muda BN dan individu serta organisasi mahupun pertubuhan untuk menjadi sebahagian parti ini. Ia merupakan satu pembaharuan yang disesuaikan dengan kedudukan politik semasa agar masyarakat melihat parti sedang berubah walaupun ia bersifat luaran. Konvensyen BN memperlihatkan kesungguhan Najib membina semangat, motivasi dan keazaman untuk menang. Yang penting, Najib memberi nafas baru kepada pencarian ‘kepimpinan’.

Yang menunjangi peningkatan mendadak BN adalah nilai kepimpinan transformasi Najib. Tahun 2011 adalah kritikal bagi pembangkang kerana mereka akan cuba meneruskan tradisi bersifat populis tanpa memanjangkan agenda pembaharuan yang dijanjikan dalam manifesto 2008. Kini, ia menjadi pertembungan Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengantara barisan pembangkang. Yang menarik adalah bagaimana Najib mengekori dari belakang ketika mengambil alih teraju kepimpinan negara dan kini yang menjadi liabiliti adalah Anwar. Bersetuju atau tidak, pembangkang sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan pengundi. Sekiranya gagal mengatasi segera, mereka boleh dilabel tidak efektif. BN juga perlu mencari kekuatan dan inilah cabaran besar Najib untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kepada kekuatan BN. Beliau akur dengan tuntutan persekitaran semasa yang mahu konsultansi berterusan dengan rakyat agar pencapaian dasar mahupun polisi kerajaan memberi refleksi daripada usaha mendahulukan rakyat. Kepekaan itulah yang menjadi kelebihan Najib.

Dengan kedudukan yang lebih stabil yang memberi legitimasi politik ke atas pentadbiran beliau, kini Najib memberi tumpuan ke atas transformasi politik yang dirungkai dalam gabungan besar BN yang jelas sehingga berubah pendekatan yang bersifat ofensif. Beralaskan kepada siri walkabout dan jelajah seluruh negara, sudah pasti beliau mahu memastikan isu kepartian ditangani secara berhemah termasuk isu calon dan jentera parti kerana kekuatan BN bergantung kepada keupayaan menggembleng keseluruhan jentera secara holistik dan berpasukan.

Barangkali latihan pilihan raya perlu mengasah amalan ‘politik pujukan’ dan bukan ‘politik konfrantasi’ terutama untuk menangani isu ketelusan, good governance, kenaikan harga barang, jenayah, rasuah dan kesamarataan yang dicanang oleh pembangkang, di samping pencapaian PTK, NKRA, PTE, MEB dan 1Malaysia. Ia harus dilakukan secara kreatif untuk mempengaruhi sentimen, imaginasi dan persepsi umum kerana akhirnya yang mahu dilihat dan dirasai rakyat adalah hasil akhir dari sebarang gagasan besar beliau.
PROF. MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ; Timb. Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

Friday, April 1, 2011

CARI PENDEKATAN BARU BANGUNKAN BUMIPUTERA – DAIM

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin meminta kerajaan mengguna pakai pendekatan baharu untuk membangunkan usahawan bumiputera bebas, yang mampu bersaing secara berkesan. “Saya rasa agenda ini belum selesai dan kerajaan mesti berusaha untuk mengenal pasti model keusahawanan mampan untuk bumiputera,” katanya dalam Siri Syarahan Tun Abdul Razak bertajuk “Politik Ekonomi Pembangunan - Pengalaman Malaysia”
“Model ini mesti meliputi nilai-nilai Islam yang padu memandangkan Islam menggalakkan minat komersial yang kukuh di kalangan umatnya,” Pada masa lepas, beliau berkata kerajaan menggunakan instrumen seperti lesen, margin harga terpilih, pemerolehan kerajaan, permit import atau AP, selain bantuan kewangan untuk membantu usahawan bumiputera.

“Adakah model ini melahiran usahawan yang mantap atau tidak? Saya rasa jawapannya mungkin “tidak”. Sekarang, dalam kedudukan kewangan kerajaan yang tidak berapa kukuh, pergantungan ke atas sektor awam tidak lagi boleh dilakukan,” katanya. Mengenai Model Baru Ekonomi (NEM), Daim berkata, lebih banyak dialog dan komunikasi mengenainya perlu dilakukan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai serta kaedah untuk bumiputera meraih manfaat menerusi liberalisasi ekonomi.

Beliau yakin profesional bumiputera kini lebih bersedia untuk berhadapan dengan saingan lebih besar, selagi terdapat dasar awam yang jelas mengenai pertumbuhan ekonomi, dengan agihan konsisten. Mengenai dasar awam untuk pembangunan ekonomi, Daim berkata, isu terbaharu yang membimbangkan ialah perlunya untuk menangani tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti, bagi membendung salah pengurusan dan amalan rasuah.

Beliau berkata, pemahaman lebih baik masyarakat mengenai perlunya sistem tender terbuka, dasar saingan dan undang-undang perdagangan yang adil, menunjukkan pentingnya peratusan ekonomi yang mencukupi dan pada masa sama memperkukuh saingan sihat dan ketelusan. “Sejauh mana prinsip-prinsip ini dipatuhi, bergantung kepada kesediaan masyarakat bertindak berasaskan transformasi pasaran dalam konteks rejim kawal aturan ekonomi yang sihat. “Berdasarkan ketidaksaksamaan yang sedia ada, tempoh masa lebih panjang diambil untuk membuat perubahan dan penyesuaian dalam menghadapi saingan lebih hebat dan peraturan berasaskan pasaran,”

Mengenai DEB, Daim berkata, dasar itu memberi manfaat semua komuniti secara langsung dan tidak langsung menerusi kesan limpahan dan peningkatan paras pendapatan secara menyeluruh. DEB sering kali dipersalahkan setiap kali prestasi ekonomi negara merosot, walaupun ia mungkin bukan puncanya. “Adakah ekuiti yang lebih baik dicapai dengan mengetepikan pertumbuhan ekonomi, dan kedua, adalah DEB menyumbang kepada pengurangan ketara dalam ketidaksksamaan antara etnik, yang menjadi tumpuan dalam politik ekonomi,” Daim berkata, isu perkongsian manfaat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bagi memastikan pengurangan ketara dalam perbezaan ekonomi, akan terus relevan dalam negara ini untuk dekad-dekad yang akan datang.