Nasharuddin dengan PAS seperti telur di hujung tanduk. Polemik tentang nasib Nasharuddin Mat Isa dalam PAS telah bermula ketika dia menjawat jawatan Timbalan Presiden lagi.
Ketika itu dia dan beberapa tokoh utama parti itu yang dikatakan termasuk Presiden, Datuk Seri Haji Hadi, Timbalan Murshidul Am, Dato’ Haron Din dan Naib Presiden, Dato’ Hassan Ali, adalah merupakan kumpulan yang kuat menyokong usaha perbincangan perpaduan dengan UMNO.
Sehingga gerakan itu sudah tidak menjadi rahsia lagi, kumpulan itu yang tampak kuncinya berada di tangan Nasharuddin, disedari oleh rakan pakatan, PKR dan DAP.
Akibatnya, dalam pemilihan PAS yang berlangsung, satu gerakan senyap yang tidak disedari oleh kepimpinan dan ahli PAS, “tangan luar” telah mencaturkan barisan kepimpinan yang harmoni dengan PKR dan DAP.
Kumpulan itu berjaya menjadikan Nasharuddin dan beberapa rakannya, “sembelihan korban” bagi memastikan kesinambungan PR dan menyekat usaha berbaik dengan UMNO. Hassan Ali “ditendang dengan terhormat”, namun Nasa masih bernafas di celah himpitan yang dahsyat oleh puak pro PR di dalam dan di luar PAS.
Tekanan ke atas Nasa bertambah apabila dia dilihat bersama dengan Hassan Ali dalam siding akhbar selepas bekas Naib Presiden itu dipecat keahliannya.
Namun kemuncak tekanan ke atas kedudukan Nasa sebagai ahli PAS sampai ke kemuncaknya apabila dia dilihat bersama PM dalam pertemuan dengan ilmuan Islam sempena lawatan ke Timur Tangah.
Namun, hayat politik Nasa yang kelam sedikit ‘bercahaya’ apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan bekas Timbalan Presiden itu masih relevan. “Saya sudah cakap dari dulu lagi, Nasharudin masih relevan. Beliau bekas Timbalan Presiden, meskipun tidak terpilih pada muktamar lalu, Nasharudin masih mampu menyumbang kepada perjuangan Pas.”
Ia merupakan sokongan terbuka pertama diterima Nasa daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengambil pendirian Nasa sudah tidak penting. Suara dan tindak tanduknya dianggap tiada kaitan dengan parti.
Dengan kenyataan yang keluar dari mulut Nasa sendiri bahawa tidak ada parti lain selain dari PAS di hatinya, maka Nasharuddin akan menjadi satu ujian besar yang seterusnya kepada beberapa tokoh utama PAS dan barisan kepimpinan tertingginya.
Namun satu lagi insiden yang lebih "menjolok mata" mereka apabila Nasa sekali lagi dilihat bersama dalam rombongan Perdana Menteri ke Palestine. Dengan tidak semena-mena, lahir cerita, kononnya Nasa telah dipecat keahliannya dalam Majlis Syura sejak bulan Januari.
Walaupun alasan yang diberikan ialah disiplin kehadiran mesyuarat, namun ia tidak mampu membendung persepsi bahawa karektor beliau yang semakin "mesra BN" adalah virus yang sangat merbahaya kepada bukan sahaja PAS, malah PR.
Sejauh mana PAS menghormati kebebasan berfikir dan bertindak ahlinya, sejauh mana PAS akur dan taksub kepada rakan pakatan melebihi falsafah perjuangan asasnya, dan sejauh mana pemimpin yang telus dan jujur dalam perjuangan Islam mampu terus bertahan dalam wadah yang dikatakan “sangat Islamik itu”?
Episod seterusnya dalam hubungan Nasharuddin Mat Isa dan PAS, barangkali akan menjadi insiden yang dianggap kecil oleh setengah pihak, namun mungkin berupaya mencorakkan politik Negara selepasnya, apabila ia juga akan mempengaruhi corak hubungan PAS dengan rakan pakatannya.
Justeru spekulasi babak seterusnya dalam cerita ini; iaitu bila Nasharuddin akan dipecat keahliannya dalam PAS? Dan bagaimana pula rakan "sepemikiran" dengan beliau, terutama Dato Dr. Haron Din, akan dianugerahi"pemulauan terhormat"?
.
.