Pages

Friday, April 22, 2011

RAMAI RAKYAT TAK PEDULI DASAR NEGARA

Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak peduli ataupun memahami dasar-dasar negara yang diguna pakai sekarang. Kekecewaan itu disuarakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang berharap kesemua dasar negara perlu 'dimasyarakatkan' kepada rakyat Malaysia.
"Macam-macam dasar dirangka dengan menggunakan tenaga dan sumber yang begitu besar, namun pada amalannya agak mengecewakan apabila masih ramai tidak mengetahui atau memahami mengenai dasar-dasar ini," katanya ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Firdaus berkata, usaha 'memasyarakatkan' dasar negara itu penting demi memastikan kesinambungan pemerintahan dan kestabilan negara pada masa depan.

Ia juga katanya, perlu sebagai usaha menjamin generasi muda pada masa depan tidak lupa bahawa dasar-dasar sedia ada adalah penting kepada mereka.
"Kesilapan kita kini adalah kecuaian kita 'memasyarakatkan' pelbagai dasar yang ada dengan berkesan sedangkan proses penggubalannya menggunakan tenaga dan masa yang begitu banyak demi kepentingan negara," katanya.

Sebagai contoh, Firdaus berkata, begitu ramai tidak menyedari komponen-komponen yang terkandung di dalam Wawasan 2020 terutama mengenai sembilan strategi yang dirangka untuk memajukan negara.
"Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan, Rancangan Malaysia, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pendidikan dan sebagainya. Sehubungan itu, saya menyeru supaya kerajaan meningkatkan usaha 'memasyarakatkan' dasar-dasar ini," katanya.

No comments:

Post a Comment